Rabu, Oktober 10, 2012

TRANSRENGIT : ADUAN MAHASISWA DITERIMA BAIK PIHAK TRANSRENGIT

MPP UKM berbincang bersama En. Mahyudin
10 Oktober 2012 – Dua Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM iaitu saudari Tuan Zul Ajma bt Tuan Ahmad dan Nur Afifah Abd Rahim telah mengadakan perbincangan bersama Pengerusi Eksekutif Syarikat Bas TransRengit, Encik Mahyudin Samihun. 

Objektif perbincangan tersebut dilakukan adalah bagi mengemukakan aduan mahasiswa mahasiswi UKM mengenai perkhidmatan bas TransRengit. Selain itu, ia diadakan bagi mencapai kesepakatan dalam tindakan yang bakal diambil bagi menyelesaikan setiap isu yang dibincangkan.

Sebelum itu, kedua-dua MPP juga telah pergi ke pejabat urusan TransRengit di Shah Alam  bagi berbincang dengan pihak pengurusan namun begitu Pengerusi Eksekutifnya tidak berada di pejabat ketika itu. Oleh itu, kami telah mengatur pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif di UKM  pada sebelah petangnya.


MPP UKM bersama staf TransRengit
di Shah Alam
Menurut Encik Mahyudin, bas TransRengit di UKM dipantau sepenuhnya oleh penyelia bas Unit Kenderaan agar mengikut masa dan jadual perjalanan bas yang telah ditetapkan. Mengenai isu bas lambat, beliau menyatakan bahawa setiap bas yang bergerak dari KKM dan Za’ba akan mengambil masa setengah jam bagi setiap pusingan. Tiga bas pertama akan bergerak dari KKM dan Za’ba seawal jam 7.30 pagi.

Menurut Encik Mahyudin Samihun lagi, beliau cakna akan aduan mengenai pemandu bas yang memandu secara laju selain sikap mereka yang tidak berhemah ketika memandu. Aduan terhadap pemandu-pemandu bas tersebut akan diambil kira dan tindakan berbentuk amaran akan diberikan kepada mereka sebanyak dua kali. Ianya akan dilakukan sekiranya terdapat bukti yang mengesahkan aduan pelajar terhadap pemandu bas yang berkenaan. Sekiranya sabit kesalahan, tindakan dibuang kerja akan dikenakan terhadap pemandu bas tersebut.

Penyerahan surat aduan dan
surat cadangan
Antara lain, terdapat beberapa inisiatif yang akan diambil oleh pihak pengurusan bas trans rengit bagi memberi perkhidmatan yang terbaik buat mahasiswa di UKM. Borang maklum balas mengenai keberkesanan perkhidmatan bas trans rengit akan dilancarkan oleh pihak TransRengit sendiri. Selain itu, pihak TransRengit akan menyediakan tag nama bagi setiap pemandu bas sebagai suatu inisiatif baru. Pihak TransRengit juga akan mengusahakan agar setiap bas TransRengit dilengkapi dengan system GPS bagi kelancaran pergerakan bas-bas di UKM.

Di akhir perbincangan, pihak pengurusan bas TransRengit akan menyediakan dokumen bertulis yang menyatakan dengan jelas tindakan selanjutnya yang bakal diambil oleh pihak mereka. Pihak TransRengit dan ahli MPP UKM turut bercadang untuk mengadakan perjumpaan berkala dalam memastikan perkembangan yang positif dari semua pihak.


MPP turun padang cuba merasai  masalah pengguna bas TransRengit

Mana-mana pelajar yang mempunyai masalah atau aduan berkenaan dengan berkhidmatan bas, diharapkan mencatat waktu kejadian, tarikh, tempat berlaku, nombor plat bas beserta dengan nama pengadu. Jika mahasiswa mempunyai kamera, anda bolehlah mengambil gambar dan menghantarnya kepada pihak kami. Pihak mereka juga mengharapkan agar apa-apa aduan terus berhubung dengan  En Mahyudin di talian 019-3724555.

                                   Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti