Ahad, Oktober 07, 2012

Hubungan Antarabangsa : Medan bertukar pendapat dan pandangan


6 Oktober, Sabtu - Persatuan Pelajar Indonesia UKM (PPI UKM) telah menganjurkan program Penyambutan Mahasiswa Baru Semester 1, Sesi 2012/2013 bertempat di Auditorium Siswa, Pusanika. Sebagai sebuah persatuan yang menaungi persatuan-persatuan di UKM, PMUKM diwakili oleh ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Ahmad Shukran bin Shaharudin dan Mohd Khamis Mohamad Sani telah menghadiri program tersebut.





Program ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik di peringkat PPI UKM bagi memastikan hubungan dan silaturrahim sesama mahasiswa/i Indonesia di UKM terus terjalin terutamanya bagi mahasiswa/i Indonesia yang baru sahaja menjejakkan kaki di bumi UKM untuk sesi 2012/2013. Sebagai sebuah persatuan yang menjadi medium dan wadah utama bagi membawa suara mahasiswa/i Indonesia, PPI UKM dilihat berjaya mengumpulkan sejumlah besar mahasiswa/i baru Indonesia meskipun terdapat mahasiswa/i yang terlibat dengan komitmen lain seperti penglibatan dalam SUKEM. Tahniah buat Ketua Umum PPI UKM, saudara Satria Aji Mufatra.




Hubungan merentas sempadan negara atau hubungan antarabangsa yang sedia terjalin antara PMUKM dengan PPI UKM akan terus terbina dengan memastikan wujudnya kerjasama yang erat antara satu sama lain. Kerjasama dari sudut menyelesaikan beberapa permasalahan kebajikan melibatkan pelajar antarabangsa merupakan perkara asas dalam hubungan yang terbina. Selain itu, menjadi satu kerugian andai hubungan yang wujud tidak dijadikan sebagai peluang untuk masing-masing bertukar pendapat dan pandangan di samping saling mengenali dan memahami adat dan budaya.

Justeru, PMUKM melihat hubungan dan jaringan antarabangsa ini perlu disebarluaskan, bukan sekadar mahasiswa/i Indonesia sahaja bahkan dengan semua mahasiswa/i antarabangsa yang merupakan sebahagian daripada ahli keluarga besar UKM. Bermula dengan diskusi dan perbincangan kecil-kecilan yang akhirnya mampu membawa kepada satu konvensyen yang dapat menghimpunkan semua perwakilan mahasiswa/i UKM yang datang daripada pelbagai negara. 

                                    Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti