KUANTAN : Pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta berpeluang membeli kereta PERODUA dengan bayaran serendah RM299 sebulan.
Tawaran itu diberikan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) yang juga pengeluar kereta nasional kedua, menerusi program pemilikan kereta terbarunya iaitu ‘What's Up Graduates’.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata program itu adalah inisiatif PERODUA untuk memberi peluang kepada kumpulan pelajar tahun akhir memiliki kenderaan sendiri tanpa bayaran pendahuluan.
Katanya, tawaran itu terbuka untuk semua model PERODUA Viva dan MyVi yang bermula semalam dan akan berakhir 31 Mac 2013.
“Program ini ditawarkan kepada pelajar tahun akhir hanya untuk tempoh bayaran bulanan bagi tahun pertama saja, sebab mereka ini bakal memasuki alam pekerjaan sementara gaji pula masih kecil.
“Selepas tahun pertama, bayaran bagi tempoh seterusnya akan beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun sehinggalah habis tempoh pinjaman, sejajar dengan kenaikan gaji mereka,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Expoconvo 2012 Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, dekat sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Badrulhisham Abdul Aziz.