Rabu, Oktober 03, 2012

Mahasiswa Mula Guna KDS1M


Kad S1M
Nazratul Izzana (kiri) dan rakannya, Wan Nur Hazirah (dua, kiri) ceria selepas dapat menggunakan Kad S1M tersebut, di sini, semal
KUANTAN - “Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan masih mampu memberikan pelbagai insentif dan golongan mahasiswa seperti kami tidak dipinggirkan,” kata penuntut Tahun Dua, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Nazratul Izzana Ishak, 20.


Penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam itu antara 1.5 juta penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini yang mendapat manfaat menerusi Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (S1M) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Menurutnya, penuntut yang mendapat kad terbabit perlu menggunakannya sebaik mungkin dan tidak menyalahgunakan kad itu untuk kepentingan peribadi.

“Saya menghargai usaha kerajaan untuk membantu golongan seperti mahasiswa sekali gus dapat mengurangkan beban kami dan ibu bapa.


“Pemberian diskaun sememangnya memberikan kelegaan buat kami khususnya dalam pembelian untuk kemudahan pembelajaran,” kata penuntut yang berasal dari Selangor itu.

Dia ditemui bersama penuntut UMP lain yang menggunakan kad tersebut secara rasminya di sebuah restoran makanan segera di sini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat PDNKK Negeri, Mohd Aruwan Abdul Aziz.

Kad S1M adalah usaha terbaru kerajaan membantu golongan siswa di negara ini iaitu Bank Rakyat menanggung kos mengeluarkan kad tersebut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Julai lalu.

Ia diberikan percuma kepada penuntut warganegara Malaysia dari institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dengan kadar diskaun 10 hingga 60 peratus dan digunakan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Manakala rakannya, Wan Nur Hazirah Wan Kadir, 21, penuntut Tahun Tiga Sarjana Muda Kejuruteraan Bioteknologi Industri dari Terengganu, turut mengharapkan penuntut IPT di negara ini menghargai kemudahan yang diberikan terhadap mereka sebaik mungkin.


“Kad ini dapat mengurangkan beban saya dan ibu bapa dan pastinya pembelian buku-buku dan bahan pembelajaran menggunakan kad ini amat diperlukan,”

“Saya juga dapat membeli tiket bas pulang ke kampung di Kuala Terengganu dengan harga lebih murah menggunakan kad ini,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 75 outlet dari negeri ini sudah mengambil bahagian menyertai program tersebut.

- Sinar Harian