Khamis, Oktober 11, 2012

MPP FSSK Bertemu YDP Kelab Untuk Bincangkan Masalah Yang Dihadapi

MPP Azrai sedia mendengar pandangan YDP Kelab

10/10/2012 (Rabu) 8.30 p.m. – 10.30 pm: Azrai Bin Ahmad Zamri selaku MPP FSSK Tahun 3 telah mengambil satu langkah proaktif bagi menyelesaikan isu kebajikan mahasiswa di peringkat fakulti dengan mengadakan satu pertemuan bersama kesemua enam orang YDP/Presiden kelab di bawah pusat pengajian FSSK. Pertemuan yang turut disertai oleh YDP PMFSSK ini telah dihadiri oleh YDP Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (PPMK), Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik (PPBL), Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi (PPSPS), Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia (PPPPM) serta Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran (PPSPP).

YDP Kelab komited untuk
 hadir perbincangan
Dua agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat kali ini adalah berkaitan isu penyediaan bilik gerakan dan penyaluran dana bagi setiap kelab yang berdaftar di bawah fakulti. MPP Azrai yang juga merupakan Presiden kelab PPSPS (atau lebih dikenali sebagai PESEPSI) tentunya amat arif berkaitan kedua-dua permasalahan yang dibangkitkan. Dengan komitmen, respon dan sokongan daripada semua pihak yang hadir, akhirnya dua resolusi telah dipersetujui secara sebulat suara untuk dibawa ke perhatian pihak kedekanan fakulti dalam masa terdekat.

Pertama adalah berkaitan isu bilik gerakan kelab atau persatuan fakulti, yang mana setiap YDP telah bersetuju untuk mengekalkan penggunaan bilik gerakan yang sedia ada dengan beberapa cadangan penambahbaikan infrastruktur seperti keadaan siling yang berlubang, ‘air-cond’ yang tidak berfungsi dan jaringan wi-fi yang lemah. Bagi isu penyaluran dana daripada fakulti pula, mereka telah bersetuju agar ianya dibuat secara berkala pada setiap sem terus ke dalam tabung kewangan kelab masing-masing dan tidak lagi perlu melalui prosedur birokrasi yang menyulitkan seperti mana sekarang, di mana dana tersebut hanya dapat dipohon menerusi penganjuran mana-mana program di bawah kelab yang terlibat.

MPP Azrai menukilkan harapan beliau agar; “pertemuan malam tadi tidak menjadi yang pertama dan yang terakhir, sebaliknya dijadikan sebagai satu momentum baru dalam membina jaringan kerjasama yang lebih utuh demi kebajikan mahasiswa FSSK seluruhnya..”


                             Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti