Selasa, Mac 15, 2011

Kehebatan Mahasiswa UKM Berpantun Secara Spontan



Gambar oleh Saliman Leman

BANGI, 15 Mac 2011- Kelab Pengajian Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berjaya mempertahankan kejuaraannya dalam Pesta Pantun Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2011 malam tadi setelah berentap hebat dengan pasukan Kolej Antarabangsa Ibu Zain.

Lapan kumpulan dari kolej kediaman, alumni dan juga kelab fakulti mengambil bahagian dalam kejuaraan itu yang memasuki tahun ke18 sejak ia mula dianjurkan. Tempat ketiga dan keempat pula disandang oleh kumpulan Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Pendeta Za’aba.

UKM boleh berbangga dengan pencapaian pelajarnya yang semakin matang berpantun secara spontan dengan menjual beli pantun empat kerat yang tidak melibatkan sebarang perbincangan, penulisan mahupun catatan.

Ia hanya bergantung kepada kemampuan dan kreativiti asli pemantun dalam masa satu minit yang diberikan.

Kesemua pemantun berjaya menutur lancar pantun mereka sehingga boleh meruntun jiwa dengan tema yang dipertandingkan dalam pusingan pertama iaitu ‘cinta dan kasih sayang’ yang telah menyentuh emosi. Pusingan kedua mengenai jenaka berjaya menguji keintelektualan peserta.

Tajuk pusingan ketiga ditentukan melalui cabutan semasa pertandingan.

Paling mencuit hati penonton adalah gaya, aksi dan kepetahan pemantun terbaik tahun ini, Noradzan Theis setiap kali diusik dengan gurauan personaliti TV3 Encik Ahmad Fedtri Yahya yang bertindak sebagai jurupantun.

Kehebatan mahasiswa-mahasiswa UKM ini adalah hasil daripada keprihatinan pentadbiran tertinggi yang memartabatkan pantun, gurindam dan seloka yang boleh akses melalui lama web Malay Civilisation yang disediakan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM, Prof Ir Dr Othman A. Karim yang menyampaikan hadiah kepada pemenang berkata Taman Pantun UKM akan dinaiktaraf dan di jadikan lokasi pertandingan akan datang.

Penonton berharap dengan usaha UKM memartabatkan pantun, kesenian Melayu itu akan kekal dan bertapak di jiwa anak muda supaya ianya tidak akan pupus.