Khamis, Mac 31, 2011

Forum Dilema Jepun berjaya!


Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih di atas komitmen yang tinggi daripada rakan-rakan dan hadirin yang menghadiri program Suara Kampus; Forum Dilema Jepun : Antara Tsunami & Nuklear yang diadakan malam semalam di Dewan Anuwar Mahmud (DAM) di Fakulti Sains & Teknologi UKM.

Forum yang dikendalikan oleh saudara Ahmad Fauzi bin Kamaruddin, Exco PMFST dan dirasmikan oleh Timbalan Dekan Fakulti Sains & Teknologi, Prof Dr Shahidan Radiman. Forum ini telah menjemput dua orang ahli panel yang juga merupakan tenaga pensyarah di UKM sendiri, iaitu Prof Dato' Dr Ibrahim Komoo selaku Pengarah SEADPRI-UKM dan Prof Dato' Dr Sukiman Sarmani selaku pakar penyelidik Tenaga Atom & Nuklear yang menjadi rujukan banyak pihak berkenaan isu nuklear. 


Antara isi penting yang disampaikan oleh Prof Dr Ibrahim berkenaan punca berlaku gempa bumi di Jepun baru-baru ini adalah akibat pertembungan antara dua plat tektonik iaitu plat Euroasia dan Asia Pasifik. Pertembungan dua plat tersebut yang dianggarkan sepanjang 500 - 600 km telah menghasilkan gempa 8.9 magnitud dan menghasil after shock (gempa susulan) lebih daripada 100 kali.



Berkenaan perihal nuklear yang menjadi kebimbangan masyarakat dunia, Prof Dr Sukiman pula menegaskan letupan  yang berlaku di loji nuklear Fukushima itu adalah letupan yang berpunca daripada tindak balas kimia dan bukannya letupan hasil daripada tindak balas pembelahan nuklear. Beliau menegaskan bahawa sisa radioaktif yang dilepaskan di reaktor tersebut tidak berpotensi untuk sampai ke Malaysia kerana faktor-faktor seperti arah tiupan yang menghala ke barat laut dan faktor deposisi akibat hujan yang berlaku di negara-negara di Indo-China.



Program forum yang berakhir pada pukul 11 malam ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan turut mendapat pujian daripada ahli panel kerana menurut mereka, program ilmiah begini sudah lama tidak dianjurkan. Mereka turut menyarankan program-program harus diterus dan diperbanyakkan lagi di Universiti.

Syabas buat semua !






(Gambar : Kredit Encik Abd Raai Osman, Jurufoto UKM)