Khamis, Mac 24, 2011

Juruaudit Puas Hati Persediaan UKM Untuk Autonomi

HAMIS, 24 MAC 2011 11:03
CetakPDF
Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Abd Raai Osman

BANGI, 24 Mac 2011 – Pasukan juruaudit yang meneliti rapi kesediaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diberi autonomi berpuas hati dengan persiapan, bukti dan dokumentasi yang dikemukakan bagi menguatkan penerimaannya.

“Apa yang jelas ialah persiapan telah dibuat dengan rapi oleh pihak atasan universiti di bawah pimpinan Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato Wira  Dr Sharifah Hapsah Shahabudin,” kata Encik Abdul Rahim Yusoff,  juruaudit utama pasukan itu di sini semalam.

Beliau telah membentang pandangan awal pasukan itu setelah menjalani penelitian selama tiga hari terhadap kesediaan UKM untuk diberikan autonomi.

“Jika cadangan dan perakuan kami boleh dilaksanakan, tidak ada sebab kenapa UKM tidak boleh diberi autonomi penuh,” kata Rahim yang mengetuai panel 13 anggota dari Perbadanan Produktiviti Malaysia (PPM) termasuk dua ahli dari SIRIM Berhad dan lima orang pakar sumber rujukan.

Antara pakar sumber itu ialah Prof Emeritus Dr Muhammad Awang, Naib Canselor Kolej Universiti SEGI dan Encik Ahmad Shahab Haji Din, Ketua Pegawai Operasi Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia.

Rahim berkata beliau akan menyiapkan laporan audit itu untuk mendapatkan maklum balas UKM sebelum menyiapkan laporan akhirnya untuk dimajukan kepada Kerajaan.

Dalam rumusannya itu, beliau berkata panel gembira melihat pihak peneraju UKM begitu sedia memberi bukti dan dokumentasi universiti dan telah menunjukkan komitmen yang tinggi ke arah pencapaian autonomi.

Dari segi pentadbiran institusi, Rahim dapat melihat kekuatan UKM mengadakan kerjasama erat antara Lembaga Pengarah dan Senat yang akan mendorong UKM merealisasikan visinya terutama mencapai matlamat menjadi sebuah universiti penyelidikan yang terkehadapan.
 
Lembaga Pengarah telah juga memainkan peranan berkesan dan boleh mendorong UKM mencapai autonomi.

Dari segi urus tadbir sumber manusia, beliau berkata UKM telah membukitkan bahawa ia boleh melatih dan mengekalkan anggota akademik yang berkaliber dan berbakat.

Organisasi-organisasi yang dibangunkan oleh UKM juga boleh digunakan oleh Kerajaan dan pihak yang lain.
 

Dari segi urus tadbir kewangan, pasukan audit itu berpuas hati dengan fungsi jawatankuasa kewangan UKM telah berjalan dengan baik, berkesan dan patut diteruskan. Urus tadbir kewangan itu berada di landasan betul ke arah pencapaian autonomi.

Antara cadangan pasukan audit itu ialah pembentukan suatu kaedah atau mekanisme untuk menilai etika dan integriti sebagai satu langkah “check and balance”.

Latihan dan penerangan dasar baru kewangan harus dipanjangkan sehingga semua pegawai aset dan harta benda memahaminya.

Rahim berkata mereka juga nampak langkah-langkah untuk mengoptimumkan sumber serta budaya komunikasi yang merangkumi (inclusive and participatory) di mana semua staf diberi peluang terlibat dengannya.

Mereka juga berpuas hati dengan usaha pengurusan menyediakan peluang termasuk sistem insentif untuk menarik pelajar terbaik ke universiti disamping mengekalkan bakat yang sedia ada akan terus berkhidmat dengannya.


Berasaskan kebolehan UKM menjana sendiri 21 peratus belanjawannya sekarang, beliau berkata UKM berada di kedudukan baik untuk mencapai sasaran dan cita-citanya.