Jumaat, Mac 11, 2011

Tangan Yang Menghayun Buaian…



Tahun ini kita memperingati ulang tahun ke-100 Hari Wanita Antarabangsa. Dalam memperingati seratus tahun pengiktirafan dunia terhadap hak persamaan wanita, tema Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun ini ialah “Peluang yang sama bagi pendidikan, latihan dan sains dan teknologi: Laluan kepada pekerjaan yang baik untuk wanita”. Kita boleh berbangga kerana Malaysia merupakan salah satu negara di mana peluang-peluang seumpama ini terbuka kepada kaum wanita. Pada masa ini, kaum wanita terdiri daripada 47.3% tenaga kerja Malaysia, berbanding 30.8% pada tahun 2000. Menjelang tahun 2015, Kerajaan berharap bilangan itu akan meningkat kepada 55%.

Kita telah bertungkus-lumus untuk melakukan transformasi sosial yang merupakan kunci kejayaan kepada mana-mana negara. Seperti yang telah saya sentuh awal tahun ini, pada perayaan ulang tahun ke-10 penubuhan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, bahawa mengubah sikap dan nilai sosial kekal sebagai cabaran terbesar. Walau bagaimanapun, ia ialah satu cabaran yang kita semua mesti atasi supaya negara secara keseluruhannya boleh berubah untuk berjaya pada abad ke-21.

Kaum wanita di Malaysia boleh mendakwa telah menempa banyak kejayaan. Tan Sri Dr. Zeti Aziz sering kali menerima pengiktirafan kerana peranan beliau sebagai Gabenor Bank Negara. Datuk Nicol David model peranan yang tidak asing lagi dalam arena sukan kerana kejayaannya di peringkat antarabangsa. Penghibur remaja Angelica Lee Sinje telah menarik minat yang ramai di kalangan masyarakat Cina di seluruh dunia, bukan hanya kerana nyanyian dan lakonannya yang sering mendapat anugerah, tetapi juga kerana kerja-kerja kebajikannya. Datuk Lim Phaik Gan amat disegani sebagai salah seorang peguam wanita perintis di negara ini, Semasa pentadbiran Allahyarham ayahanda saya, beliau telah melantik Datuk Lim sebagai Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1971 – wanita Malaysia yang pertama memegang jawatan tersebut. Sumbangan beliau begitu berharga kepada pembangunan negara,

Setiap tahun, universiti-universiti tempatan menerima lebih ramai pelajar wanita di kampus-kampus mereka, yang mana berpuluh-puluh tahun dahulu pendidikan merupakan satu kemewahan yang tidak termampu oleh ramai kaum wanita. Kementerian Pengajian Tinggi mencatatkan 58.6% pengambilan baru dalam institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara bagi sesi akademik 2010/11 ialah pelajar perempuan. Malahan, dalam Rancangan Malaysia Ke-10, saya telah turut sama berkongsi maklumat bahawa bilangan pemegang ijazah kelas pertama yang dilahirkan oleh institusi-institusi ini pada 2008 kebanyakannya ialah kaum wanita, pada kadar 62.3%. Aliran ini menunjukkan bahawa semakin ramai kaum wanita yang menyertai tenaga kerja pada tahun-tahun mendatang melengkapkan diri mereka bukan setakat untuk menjadi pekerja yang produktif, tetapi berpotensi besar untuk menjadi pemimpin dalam jurusan masing-masing. Sebagaimana yang terungkap dalam puisi terkenal hasil tulisan William Ross yang berbunyi, tangan yang menghayun buaian itulah yang memerintah dunia.

Sebagai pengiktirafan kepada hari ini, saya harap semua rakyat Malaysia akan menerima peranan kaum wanita yang bekerja keras dalam kehidupan anda, dan terus memberikan galakan dan sokongan kepada mereka supaya kita semua dapat menyumbang dengan jayanya kepada kekayaan dan kemakmuran negara.