Khamis, Mac 31, 2011

Isu penempatan kolej : PMUKM cakna kebajikan mahasiswa

Biarpun berlangsung program Suara Kampus : Forum Dilema Jepun - Antara Tsunami & Nuklear di Fakulti Sains & Teknologi, agenda kebajikan mahasiswa tetap menjadi keutamaan ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa pada sesi kali ini. 


Berlangsung di pentas tingkat 4, Pusanika adalah perjumpaan Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan, saudara Mohd Izzudin bin Mohd Pisol bersama rakan-rakan mahasiswa UKM yang mengalami masalah penempatan kolej kediaman bagi sesi hadapan (2011/2012). 



Antara aduan yang diterima adalah daripada penghuni Kolej Ibrahim Yaakob dan Kolej Burhanuddin Helmi. Kehadiran yang ramai, melebihi 30 orang sedikit sebanyak menggusarkan pihak PMUKM yang mengharapkan pihak pentadbiran kolej kediaman pada sesi kali ini seharusnya bertindak lebih profesional.


Resolusi hasil pertemuan yang ringkas ini menerbitkan beberapa mekanisme. Antaranya menuntut pihak pentadbiran mengemukakan kriteria-kriteria untuk pemilihan bakal penghuni bagi pelajar senior. Bagi penghuni Kolej Ibrahim Yaakob (KIY) pula, secara khusus mereka memohon suatu pertemuan dialog antara pentadbiran kolej bersama penghuni diadakan dalam masa terdekat. Rata-rata tidak berpuas hati dengan alasan pengubahsuaian kolej yang dijadualkan berlangsung dari bulan 5 hingga 9 nanti. 

Saudara Izzudin dalam pada itu, pada siang tadi telah bertemu dengan pihak pentadbiran KIY. Walaubagaimanapun, secara lisan pihak pentadbiran memaklumkan mereka tidak bersedia untuk mengadakan sidang dialog bersama penghuni dalam masa terdekat ini kerana dikhuatiri ramai penghuni tiada di kolej semasa Minggu Ulangkaji (Study Week).

Apa pun, pihak PMUKM melalui MPM Izzudin dan ahli Biro Kebajikan & Aduan akan tetap berusaha mencari suatu masa untuk mempertemukan pihak pentadbiran KIY dan penghuni KIY. Untuk makluman rakan-rakan, sebarang masalah berhubung penempatan kolej pada sesi hadapan masih boleh diadukan kepada saudara Mohd Izzudin bin Mohd Pisol selaku Pengerusi Biro Kebajikan & Aduan di talian 0193759094.
Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti