Isnin, Mac 07, 2011

Diari MPM FUU, Phang Siew Chin

Mengenali empunya diri yang berasal negeri Pulau Mutiara ini tidak terlalu sukar. Seorang yang aktif dan bertanggungjawab, apatah lagi dengan barisan jawatan yang disandang oleh beliau sebelum kini bergelar ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang bagi sesi 2010/2011.

Phang Siew Chin, 23 tahun yang juga merupakan pelajar jurusan Undang-Undang tahun tiga di UKM. Beliau yang dikenali sebagai seorang yang ramah dan 'kuat bekerja' ketika ditemui memaklumkan beberapa buah aktiviti sejak bergelar ahli MPM dan perancangan beliau selepas ini.

Beliau yang banyak terlibat dalam ALSA (ASEAN Law Students' Association), PERUNDANG, Moot & Debate Club dan juga program Student Mobility mengakui kini beliau terpaksa bijak membahagi masa dan menumpukan gerak kerja ke arah kebajikan seluruh pelajar Fakulti Undang-Undang melalui jawatan MPM ini.

Antaranya baru-baru ini beliau telah berbincang dengan pihak pengurusan kafeteria di Fakulti Undang-Undang berkenaan harga, menu baru dan kebersihan kafeteria. Hasil perbincangan nyata memberangsangkan. Satu notis cadangan menu kafe juga telah dipapar di luar DK dan papan kenyataan MPP untuk perhatian pelajar Fakulti Undang-Undang. Tindakan segera daripada saudari Siew Chin ini nyata mendapat pujian dan respon yang baik daripada para pelajar Fakulti Undang-Undang.

Berkenaan isu pembinaan bangunan baru bagi Fakulti Undang-Undang (FUU) yang turut menempatkan Moot Court, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Timbalan Dekan dan dimaklumkan pada awal bulan ini, sebuah syarikat kontraktor baru telah dilantik menggantikan kontraktor lama. Maka kerja-kerja pembinaan dijangka diselesaikan menjelang bulan September 2011.

Manakala bagi kerosakan jalan raya di sepanjang jalan ke Fakulti Undang-Undang pula, Siew Chin telah mengutarakan permasalahan tersebut ke Jabatan Pengurusan Pembangunan (JPP) dan dimaklumkan masalah tersebut tidak dapat diselesaikan segera. Tetapi pihak JPP memberi jaminan akan keselamatan para pengguna jalan raya tersebut di bawah pemantauan pihak JPP.

Di samping itu, Siew Chin juga bertindak segera menyelesaikan permasalahan tandas wanita yang tersumbat di fakulti dengan membawa ia segera ke pengetahuan pihak pentadbiran FUU. Hasilnya sebagai langkah sementara pihak pentadbiran bersetuju membuka tandas staf wanita untuk kegunaan para pelajar wanita FUU. Pihak pentadbiran juga menasihatkan para pelajar turut membuat aduan bertulis ke pihak penyelenggaraan pusat UKM. Selain itu, semalam juga telah dilaporkan bahawa tandas pelajar wanita berdekatan bilik tutorial telah siap dibaiki.

Isu kecurian turut menimpa para pelajar Fakulti Undang-Undang. Siew Chin segera membantu pelajar-pelajar tersebut seramai 5 orang memohon Tabung Kebajikan Pelajar.



Dalam kesibukan beliau selaku MPM juga, Siew Chin turut dijemput menjadi salah seorang panel hakim The Moot Competition Internal Round 2011 anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (PERUNDANG) yang berlangsung pada 25 Februari yang lalu.



Tahniah Siew Chin! Semoga berjaya di masa-masa hadapan!