Isnin, Mac 21, 2011

MPM Noraini : Perkembangan terkini isu 'Short Sem'



Dimaklumkan bahawa pada minggu lepas, saya telah membawa isu semester pendek ini ke  peringkat pentadbiran Pusat Pengajian Umum (PPU) setelah mendengar pelbagai luahan dari mahasiswa/wi yang tidak berjaya mendaftar baik untuk subjek Workplace 1 mahupun subjek U2 & U3 serta subjek Pilihan Bebas (PB). Satu pertemuan telah diadakan untuk saya membawa suara mahasiswa dalam mencari penyelesaian isu yang dikira hangat buat tempoh masa ini. Perbincangan yang saya kira cukup harmoni dan menarik antara saya dan ditemani oleh MPP FST, Nurul Mardhiah Kamaruddin bersama dengan pihak pentadbiran akhirnya menemui kata sepakat buat seluruh mahasiswa/wi.

Bagi penyelesaian untuk subjek U2 & U3, seperti yang sedia maklum, seramai 48 orang mahasiswa/wi tahun 2 & 3 yang mendaftar secara manual di kaunter yang telah dibuka untuk permohonan pembukaan kuota bagi subjek U2 & U3 di PMFST tempoh hari telah diterima untuk didaftarkan oleh PPU. Bagi permohonan pelajar tahun 1 pula tidak dapat diterima memandangkan mereka masih mempunyai baki pengajian yang panjang dan boleh mengatur pengurusan akademik mereka untuk semester berikutnya. Walaubagaimanapun, hasil perbincangan saya bersama pihak PPU, mana-mana pelajar yang masih berhasrat untuk mengikuti pengajian semester pendek ini bagi subjek U2 & U3, anda masih berpeluang untuk mendaftar secara manual kepada pensyarah bagi kursus yang diminati pada minggu pertama semester ini bermula. Hal ini kerana bagi subjek ini, hampir kesemuanya adalah berbentuk penyampaian kuliah. Kebanyakan pensyarah akan lebih bersifat terbuka untuk mengambil seberapa ramai pelajar yang diingini untuk mengikuti kelas beliau. Namun, dinasihatkan kepada mahasiswa/wi yang mendaftar secara manual kepada pensyarah agar selalu mengemas kini status pendaftaran mereka kepada pensyarah tersebut yang akan bertindak untuk mendaftarkan pelajar-pelajar di SMPWEB.

Bagi subjek Workplace pula yang menjadi rebutan majoriti mahasiswa/wi tahun 2, dengan ini dimaklumkan bahawa penambahan kelas TIDAK dapat dijalankan. Hal ini kerana kekurangan tenaga pengajar dalam tempoh semester pendek ini akan menyukarkan perjalanan proses pembelajaran kelak. Untuk makluman semua, tenaga pengajar di PPU mempunyai jadual yang telah disusun kemas untuk perlaksanaan semester pendek setiap tahun. Oleh itu, diharapkan agar kelas workplace yang dibuka diutamakan kepada mereka yang akan tamat pembelajaran bagi sesi ini. 


Walaubagaimanapun, satu jalan penyelesaian dan alternatif telah dirangka bagi memudahkan urusan mahasiswa/wi bagi mengikuti kelas subjek ini pada semester akan datang tanpa berlaku masalah pertindaan dengan subjek fakulti. Menurut pihak PPU, persetujuan telah disepakati antara pihak pentadbiran FST dan PPU bagi menjalankan kerjasama bermula semester hadapan iaitu dengan memberi pengkhususan waktu khas untuk mahasiswa/wi mengambil subjek workplace tanpa bertindih dengan jadual makmal mahupun kuliah-kuliah yang lain. Bagi fakulti lain yang mengalami masalah subjek workplace, iaitu seperti FEP, setakat ini, dilaporkan bahawa senarai pelajar FEP yang memohon untuk workplace telah diterima masuk memandangkan pada semester hadapan mereka akan mengikuti Latihan Industri (LI). Manakala fakulti selain daripada ini, didapati tidak mengalami masalah kritikal dan masih boleh ditangani. Namun, sekiranya terdapat sebarang aduan, masalah atau kekeliruan, anda boleh terus menghubungi saya atau mana-mana MPP yang berdekatan untuk sebarang penerangan.