Khamis, Mac 24, 2011

UKM Terima Anugerah Brandlaureate 2010-2011

KHAMIS, 24 MAC 2011 14:22
CetakPDF
Oleh Radzuan Ghazali
Foto oleh Saliman Leman

Kuala Lumpur, 24 Mac 2011 --  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah BrandLaureate 2010-2011 bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi Awam sempena Malam Anugerah BrandLaureate di Hotel Shangri La di sini malam tadi.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Presiden BrandLaureate, Dr KK Johan kepada Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Selain UKM, beberapa Institusi Pengajian Tinggi Swasta seperti Kolej Universiti Segi dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan berbagai-bagai pertubuhan korporat juga menerima hadiah bagi kategori masing-masing.

Anugerah-anugerah yang disampaikan di majlis itu ialah bagi kategori Penjenamaan Syarikat Terbaik, Penejemanaan Produk Terbaik, Anugerah Istimewa Brand Laureate, Anugerah Penjenamaan Terbaik Tahunan, 10 Anugerah Utama Brand Laureate, Anugerah Korporat dan Anugerah Konglomerat.

Sejumlah 112 individu dan syarikat merangkul anugerah bagi kategori masing-masing.
 
Antaranya ialah akhbar The New Straits Times yang menerima anugerah sebagai  jenama terbaik bagi kategori Akhbar manakala Media Prima pula menerima anugerah sebagai jenama Konglomerat Media terbaik.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti AKhtar Aziz tetamu kehormat majlis itu
 pula diberikan anugerah Wanita Ternama Tahunan Tun Dr Siti Hasmah manakala anugerah Lelaki Ternama Tahunan Tun Dr Mahathir Mohamad diberi kepada Pengasas dan Pengurusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ratu skuasy negara, Dato' Nicol Ann David dan jaguh badminton negara, Dato' Lee Chong Wei pula disampaikan Anugerah Rekod Terbaik 2010-2011.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato' Ir Dr Hassan Basri; Pengarah Pusat Perancangan Korporat dan Kepimpinan, Prof. Dr. Che Husna Azhari; Bendahari, Haji Mohd Abdul Rashid Mohd Fadzil, Pengarah Pusat Kolaborasi Inovatif, Prof Dato' Dr Mohd Noor Embi, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Prof Dr Mohd Marzuki Mustafa dan beberapa orang pegawai kanan UKM lainnya hadir di majlis itu.