Rabu, Mac 02, 2011

Pasukan Bola Tampar UKM Menjuarai Kejohanan Datuk Bandar Shah Alam

Oleh Siti Madihah Ahmad Mahir
Foto oleh Mejar Mohd Jasmy Abdul Rahman
 

BANGI, 1 Mac. 2011 – Pasukan Bola Tampar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul juara setelah menumpaskan empat pasukan elit lain dalam Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam 2011 hujung minggu lepas.
Kejohanan tersebut merupakan suatu pertandingan berprestij kerana hanya disertai oleh pasukan terpilih yang dinilai berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian selama ini.
Pasukan bola tampar UKM dipilih untuk menyertai kerana mempunyai rekod pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan. Pasukan itu pernah menjuarai kejohanan bola tampar MASUM selama lima tahun berturut-turut dari 2006 hingga 2010.
Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam 2011 itu disertai empat pasukan terpilih yang lain iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Segamat VC, Sekolah Sukan Bukit Jalil dan SUKMA Selangor.
Tempat kedua kejohanan dimenangi oleh pasukan MBSA manakala tempat ketiga menjadi milik Segamat VC.
Sebagai juara, pasukan UKM membawa pulang piala iringan dan hadiah wang tunai berjumlah RM 5000.
Pasukan bola tampar UKM terdiri daripada 12 orang pelajar yang dibimbing oleh Mejar Mohd Jasmy Abd Rahman selaku pengurus pasukan dan Encik Zulyadi Zakaria sebagai jurulatih.
Para pemain terdiri daripada Ng Kai Guan, Tan Song Wee, Mohamad Fitri Salim, Puvaneesvaran A/L Kanniapan, Muhammad Azli Zambri, Luk Teck Liong, Sim Hui Peng, Su Sieng Lee, Kiew Chiong Ung, Cheoh Jia Ming, Shahril Nizam Ab. Samad dan Mohd Hafizan Hashim.
Mejar Jasmy berkata yang amat membanggakan, pasukan UKM telah memenangi kesemua perlawanannya membolehkannya menjadi juara.
“Kesemua pemain UKM telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan bertarung habis-habisan demi menaikkan nama baik UKM di persada negara,” katanya.




Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar Shah Alam 2011 telah diadakan bersama Kejohanan Volleython 2011 di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 dan Seksyen 19, Shah Alam.