Rabu, Oktober 17, 2012

TAHNIAH PROF. DR YASMIN: ALGA BERPOTENSI MELAWAN DAN MEMATIKAN SEL KANSER

Prof Yasmin berucap di syarahan Perdana

KUALA LUMPUR, 12 Okt 2012 – Seorang Professor di Jabatan Biokimia Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM) mendapati bahawa sejenis tumbuhan alga berpotensi melawan dan mematikan sel kanser.
Professor Dr Yasmin Anum Mohd Yusof yang telah banyak melakukan penyelidikan terhadap alga berkata alga jenis Chlorella Vulguris (CV) didapati boleh mengurangkan pembiakkan sel kanser hati malah dapat mempengaruhi apotosis sel kanser itu.
Berucap di syarahan Perdana beliau di sini hari ini, Prof Yasmin berkata sejenis tumbuhan alga boleh mendatangkan fenomena apotosis ia itu mematikan sel.
Sel barah diketahui kerana kemampuannya untuk bercambah dengan cepat selain mempunyai daya tahan yang kuat melindungi dirinya dari sebarang bahan yang mengancamnya. Sel barah juga turut mematikan sel-sel sihat dan mengkitar semula sel itu menjadi sel barah.
Professor Yasmin berkata apa yang menakjubkan mengenai CV adalah ia memberikan tindakan yang sama tetapi mematikan sel barah serta menukarkanya menjadi sel sihat.
Dengan itu ia mampu mengembalikan sel barah menjadi sel sihat semula. Tindakan seperti ini hanya dapat di lihat dalam rawatan kimoterapi, yang mempunyai banyak kesan sampingan negatif seperti menggugurkan rambut.
Kajian yang telah dijalankan Prof Yasmin dan pasukan penyelidiknya ke atas binatang menunjukkan manfaat sampingan oleh alga itu yang perlu di beri perhatian oleh saintis dunia. 
Kajiannya turut menunjukkan bahawa CV mampu mengurangkan inflamasi dalam binatang yang mengidap barah hati.
“Kajian kami juga menunjukkan CV mempunyai kesan anti inflamasi pada tikus yang teraruh dengan kanser hepar,” katanya.
Selain itu alga CV juga mampu melambatkan proses penuaan, mempercepatkan rawatan luka dan melindungi DNA daripada dirosakkan oleh radikal bebas yang terhasil dari penyakit kencing manis.
Beliau dan pasukannya juga telah menemui cara untuk meningkatkan nutrien dalam alga dengan mengawal kadar karbon dioksida dan pengcahayaan yang berikan kepada alga yang dikultur.
Prof Yasmin dan pasukannya turut mendapati bahawa kadar nurtrien dalam CV yang dikultur akan meningkat dengan banyaknya apabila kadar karbon dioksida dinaikkan dari 1 hingga 10 peratus dan pengcahayaan ditambah dari 12 jam hingga 24 jam.
Mereka telah membiakkan alga mereka sendiri dengan mengkulturnya dalam sebuah kolam binaan yang di tempatkan di atas bangunan Fakulti Sains Kesihatan terletak ditengah bandar Kuala Lumpur.
Hasil penemuan mereka itu, Prof Yasmin berkata mereka berhasrat mengkultur alga dalam bio reaktor pula.
Pengkulturan alga dalam bio-reaktor adalah dengan membiakkan alga dalam tiub kaca. Cara ini lebih efisien kerana kualiti air dapat dikawal.
Oleh sebab bio-reaktor, membolehkan alga dihasilkan dengan banyaknya, ia akan memerlukan kuantiti karbon dioksida yang besar. Kegunaan ini dapat pula membantu mengurangkan fenomena pemanasan global.
Prof Yasmin adalah seorang pakar alga dan sering dijemput untuk memberi ceramah di luar negara. Beliau telah menghaslkan lebih 75 artikel yang diterbitkan dalam jurnal di mana 34 daripadanya adalah jurnal terindeks ISI.
Turut hadir pada syarahannya itu ialah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato' Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Dekan Fakulti Perubatan, para pelajar, anggota keluarga dan rakan-rakannya.

                                            Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti