3
Oktober 2012 - Ahli PMUKM yang baru dilantik mengambil langkah proaktif untuk
duduk bersama berbincang dengan
kepimpinan baru Kelab Mahasiswa Istimewa UKM. Perbincangan ini sebagai langkah
awal untuk menjalinkan hubungan kerjasama dan saling memahami antara kedua-dua
pihak bagi memperjuangkan hak-hak mahasiswa kurang upaya dalam kampus UKM.
Langkah
ini adalah sebagai usaha berterusan pihak PMUKM menyokong penuh suara asertif
pelajar berkeperluan khas di universiti kebangsaan Malaysia yang telah
dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini.
Pada
sesi lepas, PMUKM telah berjaya menggerakkan Kelab Mahasiswa Istimewa yang
telah dipimpin oleh bekas Timbalan Presiden PMUKM sendiri bahkan Kelab Mahasiswa
Istimewa ini telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’
Saifuddin Abdullah.
Menurut
Timbalan Menteri Pelajaran ketika memberi ucapan perasmiannya, kelab ini adalah
antara Kelab Mahasiswa Istimewa yang wujud memperjuangkan keperluan-keperluan
mahasiswa kurang upaya dalam IPT di negara ini.
Antara
perkara yang diperjuangkan oleh kelab ini ialah berkaitan akses ameniti pelajar
kurang upaya di universiti ini. Ia berasas kepada Akta OKU 2008 yang
menekankan kesejahteraan hidup untuk
berdikari bagi orang kurang upaya dinegara ini. Bahkan banyak
deklarasi-deklarasi berhubung persejagatan pendidikan telah diiktiraf oleh
dunia terhadap pendidikan untuk semua tanpa wujud diskriminasi.
“PMUKM
dan Kelab Mahasiswa Istimewa akan adakan kerjasama untuk merangka satu pelan
jangka masa panjang berkaitan dengan universiti mesra OKU dan PMUKM melihat pelan
ini sangat penting demi kesejahteraan semua warga mahasiswa istimewa di kampus
ini” tegas saudara Ahmad Syukran selaku Ahli PMUKM.
Menurut
penulisan kajian ilmiah yang dilakukan oleh Mohd Abdullah ( 2012 ), terdapat
pelbagai halangan yang wujud dalam usaha memberikan sokongan pembelajaran
kepada orang kurang upaya di kampus UKM antaranya ialah persekitaran yang tidak
memahami keperluan yang perlu diberikan kepada mahasiswa kurang upaya. Maka
barisan PMUKM melihat usaha ke arah memberi kesedaran kepada masyarakat
persekitaran perlu dilakukan secara berterusan oleh semua pihak bagi membantu
golongan kurang upaya di kampus UKM.