Selasa, November 20, 2012

USUL KECAM ISRAEL HARI INI

Situasi di bumi Gaza,Palestin


DEWAN Rakyat semalam membuat ketetapan untuk mendengar usul tergempar yang akan dibahaskan pihak kerajaan bagi mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza pada persidangan hari ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemberitahuan berhubung usul berkenaan diedarkan kepada pihak kerajaan dan pembangkang untuk membolehkan usul itu dibahas.

“Pemberitahuan usul itu diedarkan hari ini (semalam) dan usul dibawa ke Dewan Rakyat esok (hari ini),” katanya memberi penjelasan lanjut berhubung usul berkenaan daripada Salahudin Ayub (Pas-Kubang Kerian).

Isu itu dibangkitkan Salahudin yang inginkan penjelasan lanjut berhubung usaha kerajaan selepas dikatakan mahu membawanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam. Namun sebaik sesi pertanyaan bagi jawapan lisan selesai, perkara itu tidak langsung disentuh pihak kerajaan sedangkan dihebahkan menerusi media massa untuk dibahaskan.

“Dalam media semalam (kelmarin), saya diberitahu pihak kerajaan akan kemukakan usul mengenai Gaza dan ada usul tergempar,” katanya. Usul itu antaranya mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah Palestin di Gaza sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin.

Ia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan supaya Israel menghentikan serta-merta serangan ketenteraannya ke atas wilayah Palestin di Gaza melalui gencatan senjata. Ia turut menggesa Perhimpunan Agung PBB supaya mengadakan Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung PBB di bawah Resolusi 377A (V) sekiranya Majlis Keselamatan PBB gagal menjalankan tanggungjawabnya selain menzahirkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Usul itu juga bagi mengambil keputusan menyampaikan resolusi kepada semua Dewan atau Perundangan dan Parlimen yang berkenaan khasnya Kongres Amerika Syarikat, Parlimen Britain dan Parlimen Kesatuan Eropah.

Israel melancarkan serangan terbaru dinamakan operasi ‘Pillar of Defence’ ke atas wilayah Palestin di Gaza yang mengorbankan 40 indidivu termasuk pemimpin Hamas, Ahmed Jaberi, enam kanak-kanak, seorang wanita hamil dan seorang guru, selain mencederakan 345 orang. Tiga rakyat Israel terkorban dan 18 orang lagi cedera akibat serangan balas pihak Hamas.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20

Sumber : hmetro.com.my


AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI