Jumaat, November 02, 2012

SETARA 2011: 35 IPT termasuk UKM terima penarafan Cemerlang



SHAH ALAM: Sebanyak 35 institusi pengajian tinggi (IPT) meliputi universiti dan kolej universiti menerima pengiktirafan cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi pada tahun 2011 (Setara '11). dengan 13 daripadanya adalah IPTA, namun tiada satu pun mencapai Tier 6.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, "Dari segi pencapaian, sebilangan besar universiti dan kolej universiti menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam Setara '11 berbanding pencapaian mereka dalam Setara '09.

"Ini menggambarkan dalam tempoh dua tahun tersebut IPT mengambil berat tentang kualiti pengajaran dan pembelajaran di institusi masing-masing serta memperkenalkan inisiatif berkaitan untuk membudayakan penambahbaikan kualiti berterusan di peringkat institusi masing-masing," katanya.

Mohamed Khaled berkata, peningkatan peratus pencapaian IPT dalam tahap lima ketara daripada 38.3 peratus dalam Setara '09 dengan 18 IPT kepada 67.3 peratus (35 IPT) dalam Setara '11.

'SETARA bukan ranking'
Ujar beliau SETARA bertujuan untuk meningkatkan kualiti, kebertanggungjawaban dan prestasi universiti dan kolej universiti di Malaysia. Tambahnya SETARA adalah sistem penarafan dan bukan sistem kedudukan (ranking) yang menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran di sesebuah universiti atau kolej universiti.

Beliau menambah, pencapaian IPT dikategorikan kepada enam tahap dengan tahap enam iaitu 'Terbilang' sebagai tahap tertinggi dan tahap satu iaitu 'Lemah' sebagai paling rendah.

"Sebanyak 16 universiti dan kolej universiti menduduki tahap empat iaitu sangat baik, dan hanya sebuah universiti pada tahap tiga (Baik).

"Tiada universiti atau kolej universiti yang mencapai tahap Terbilang dan juga dikategorikan pencapaiannya pada tahap dua iaitu memuaskan dan tahap satu (Lemah). Ini merupakan perkembangan yang amat positif dan menunjukkan IPT semakin serius dalam meningkatkan kualiti bidang pengajaran dan pembelajaran mereka di peringkat Ijazah Sarjana Muda,"
tambahnya pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kelima Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di sini, Khamis.

Menurut Mohamed Khaled, pendekatan penarafan (rating) itu menilai sejauh mana sesebuah institusi mencapai penanda aras yang ditetapkan bagi setiap indikator kualiti.

"Penarafan tidak bertujuan untuk memberi kedudukan (ranking) tertentu kepada institusi yang dinilai berbanding institusi lain," katanya.

Tambahnya lagi, instrumen Setara '11 terbahagi kepada tiga aspek iaitu input sebanyak 20 peratus, proses (40 peratus) dan output (40 peratus) dalam pengajaran dan pembelajaran.

"Penilaiannya melibatkan 26 kriteria dan 62 indikator yang secara amnya adalah hampir sama dengan instrumen Setara '09," kata Mohamed Khaled.

Rumusannya SETARA bertujuan untuk mengukur kualiti pengajaran dan pembelajaran pada tahap enam kerangka kelayakan Malaysia peringkat Ijazah Pertama bagi dan kolej universiti di Malaysia.Ia meliputi tiga domain generik iaitu Input, Proses dan Output untuk menilai kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Senarai penuh keputusan SETARA'11 boleh dilihat di capaian berikut. Klik imej untuk besarkan.

UKM peroleh 6 bintang untuk penarafan kerja penyelidikan
Dalam sidang media yang sama, Khaled turut mengumumkan penarafan bintang bagi mengukur program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan mengikut Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) terhadap IPT yang terbabit dalam program berkenaan.

Daripada 32 universiti yang dinilai, empat universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menerima pengiktirafan enam bintang, tertinggi dalam penarafan MyRA.

IPT yang menerima pengiktirafan lima bintang pula ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi PETRONAS. Kedua-dua universiti iaitu UIAM dan UTP telah terpilih untuk masing-masing menerima inisiatif geran bernilai RM5 juta sebagai galakan membangunkan program penyelidikan.

Kedua-dua sistem penilaian SETARA dan MyRA bakal digunakan untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar penting dan untuk membangunkan usaha memantapkan universiti di negara ini.