Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012, temasya yang diadakan buat julung kalinya telah membuka tirai secara rasmi pada 28 Oktober lalu, bertempat di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor. Temasya ini disertai 5,000 atlet dan 1,125 pegawai daripada 101 kontinjen yang terlibat, meliputi 20 IPT awam, 46 IPT swasta, 25 politeknik dan 10 kolej komuniti. Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
SUKIPT yang dijadualkan diadakan secara dwitahunan ini adalah anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Majlis-Majlis Sukan IPT bagi peringkat pelaksana seperti Majlis Sukan universiti Malaysia (Masum), Majlis Sukan Politeknik (MSP), Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM) dan Majlis Sukan Institusi Swasta (MASISWA). Penganjuran ini juga akan diselangselikan dengan penganjuran Karnival Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SIPMA).
- Badminton - Dewan Pusat Sukan, UM
- Bola Jaring - UPM/ MMU
Bola Tampar - Dewan MBSA - Bola Tampar Pantai - UKM
- Catur - Politeknik Shah Alam
- Karatedo - Dectar, UKM
- Memanah - UPM
- Menembak - Lapang Sasar Subang
- Olahraga - Stadium UPM
- Ragbi 7’s - Padang Ragbi, UPM
- Renang - Pusat Akuatik, Bukit Jalil
- Sepak Takraw - Pusat Sukan UiTM
- Taekwondo - Dewan Tertutup, USIM
- Tenpin Boling - Mega Lane/ Indah Prade
- Tenis - Gelanggang Tenis, UPM
Menurut laman sesawang rasmi SUKIPT di http://sukipt.com.my sehingga petang tadi, kontinjen UKM telah berjaya meraih 5 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa menjadikan UKM menghuni tangga ke-9 dengan tuan rumah Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendahului pungutan pingat.
Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2012 bakal melabuhkan tirai pada minggu hadapan, 11 November 2012 (Ahad) dengan majlis penutupan dijadualkan diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam pada pukul 3 petang.
"Sukan Menjana Kecemerlangan IPT @ KPT"