26 November
2012 - Dua orang wakil Biro Pembangunan Mahasiswa PMUKM iaitu saudara Azrai Ahmad
Zamri dan Nurhidayah Juhari telah mengadakan satu sesi pertemuan ramah mesra
bersama para pustakawan Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL). Tujuan utama pertemuan diadakan
adalah untuk mendapatkan saran
idea mengenai bagaimana PMUKM boleh berpartisipasi dalam usaha untuk
memperluaskan pembudayaan ilmu pengetahuan dalam kalangan warga kampus. Perkara
ini selaras dengan salah satu paksi dasar pembawaan PMUKM sesi 2012-2013 iaitu
pembudayaan suasana keilmuan dan pemerkasaan intelektualisme.
Secara asasnya pihak PTSL amat bersetuju dengan beberapa cadangan
yang dikemukakan oleh PMUKM dalam menggerakkan budaya ilmu dan keintelektualan.
Rancangan perlaksanaan beberapa program bersiri yang lebih bersifat terbuka dan
santai diyakini dapat menarik perhatian warga kampus. PMUKM juga perlu
menyediakan platform terbaik bagi
membolehkan kebebasan akademik terus berkembang selari dengan budaya ilmu yang
ingin diterapkan seterusnya dapat melahirkan inovasi idea dan falsafah
pemikiran yang bermanfaat. Beberapa contoh program pembudayaan ilmu sepanjang
tahun yang dilaksanakan oleh pihak PTSL turut dibentangkan seperti kempen
membaca, pertandingan mengulas buku, pertandingan mengakses maklumat, bicara
buku, forum ilmiah dan syarahan Tun Seri Lanang.
Dalam pertemuan tersebut juga, pihak PTSL telah menyatakan kesediaan
mereka bagi menjemput wakil PMUKM untuk turut serta dalam mesyuarat pembangunan
intelektual yang diadakan pada setiap semester. Mereka juga menyambut baik
cadangan PMUKM agar PTSL mengadakan Pesta Buku pada setiap awal
semester. Sebaliknya pula, wakil PMUKM turut menyatakan kesudian untuk membantu
PTSL mempromosikan segala jenis aktiviti keintekletualan yang dianjurkan pada
masa akan datang. Bahkan, pihak PTSL turut menyatakan harapan mereka untuk berkerjasama
secara lebih erat dengan JAKSA kolej-kolej kediaman memandangkan mereka mempunyai
wakil pustakawan yang sedia berkhidmat di setiap kolej khususnya dalam aspek
perkongsian maklumat dan kemahiran asas pengurusan pusat sumber.
Akhir sekali, pihak PTSL turut mengambil kesempatan atas pertemuan
ini untuk mendapatkan maklum balas umum daripada wakil PMUKM mengenai kemudahan
prasarana dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka.
AUTONOMI MAHASISWA MEREALISASI FALSAFAH VARSITI