Ahad, Jun 26, 2011

Tahniah! Kejayaan anda kebanggaan kami..

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA... seindah namanya.. Begitulah keharumannya semakin mekar hari demi hari dengan pelbagai kejayaan dan aksi hebat yang telah disumbang oleh mahasiswa/wi UKM itu sendiri menerusi pelbagai bidang yang diceburi baik dalam akademik, sukan, kepimpinan, kebudayaan, rekacipta dan pelbagai acara-acara yang disertai. Seiring dengan gagasan yang dijulang, "Mengilham harapan, Mencipta masa depan", UKM terus menempah nama baik menerusi kegemilangan pelajarnya.

Yang terkini, pasukan dari UKM telah menunjukkan aksi yang bergaya dengan memenangi tempat kedua bagi kategori reka bentuk dalam cabaran Perodua Eco Challenge di litar MIMC iaitu Malacca International Motorsport Circuit. Tahniah diucapkan buat kontinjen UKM dari fakulti kejuruteraan dan semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.


Di samping itu, tidak lupa juga kepada beberapa pasukan dari UKM yang menunjukkan prestasi yang cemerlang satu demi satu di karnival sukan MASUM yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada tahun ini. Antaranya seperti Pasukan Bola Tampar UKM yang berjaya menumpaskan pasukan dari UPSI dengan kemenangan 3 berbalas 0. Kejayaan ini merupakan kejuaraan keenam UKM secara berturut-turut bagi sukan ini di dalam karnival MASUM. Satu pencapaian yang mantap dipersembahkan oleh mahasiswa UKM. Seterusnya, tahniah juga diucapkan kepada barisan pasukan kriket UKM yang memberikan rentak yang menarik juga sepanjang perlawanan berlangsung dengan kemenangan bergaya ke atas beberapa universiti ternama. Syabas buat kalian! Juga buat beberapa kontinjen sukan UKM yang lain di dalam MASUM seperti pasukan silat dan sebagainya yang berjaya membawa pulang pingat dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Beberapa keputusan akhir masih dinantikan dalam beberapa acara yang belum selesai. Semoga pasukan UKM terus mencipta kecemerlangan kerana ANDA adalah kebanggaan kami.

~BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI~