Sabtu, Julai 30, 2011

Membudaya Intelektual : Bengkel Perundangan & Forum Mahasiswa

Bengkel

Institute of Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Jaringan Siswazah Malaysia (JASA) dengan kerjasama PMUKM telah menganjurkan satu bengkel perundangan pada tarikh 16 Julai 2011 yang bertempat di Puri Pujangga UKM yang dihadiri sekitar 50 orang peserta. Bengkel ini dihadiri oleh panel yang sangat berpengalaman dan pakar perundangan yang juga sebagai pensyarah perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia iaitu Prof Dr Aziz Bari. 

Prof Dr Aziz Bari, Pakar Undang-Undang

Tuan Speaker PMUKM, Saudara Mohd Arif bin Misrol telah diberikan kepercayaan untuk menjadi moderator bengkel tersebut. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada golongan mahasiswa dan masyarakat berkaitan undang-undang negara. Langkah ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada masyarakat agar tahu dan mengambil berat terhadap perjalanan dan perkembangan terbaru yang berkaitan dengan Perlembagaan Negara.

Tuan Speaker, Mohd Arif bin Misrol

Usaha pihak penganjur perlu dilihat secara positif bagi melahirkan masyarakat yang celik undang-undang. Antara pokok utama perbincangan adalah hubungan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri. Dalam hal ini, Malaysia sebuah negara yang menggunakan konsep kerajaan federal perlu menghormati dan melaksanakan hak-hak kerajaan negeri. Sebagai contoh, hak kerajaan negei untuk menerima royalti petroleum. Kedua, kupasan berkaitan peruntukan perlembagaan seperti hak istimewa bumiputera, bidang kuasa sultan, konsep kerajaan sebagai badan eksekutif perlembagaan yang jujur dan konsisten. Ketiga adalah isu-isu semasa perundangan yang berlaku dalam negara ini. 


“Insyaallah, dengan kemampuan yang ada, kita akan terus memberikan sokongan dan berusaha menganjurkan bengkel-bengkel sebegini bagi memberi kefahaman kepada kemasyarakat”, ujar saudara Arif bin Misrol.

Tuan Presiden
Presiden PMUKM, Leftenan Muda Ahmad Muzzammil bin Mohd Hairi berkata,“kita menggagaskan dasar keintelektualan bukan sebagai penyedap ucapan bahkan kita memang bersungguh dalam melaksanakan dasar ini. Hal ini dibuktikan dengan usaha PMUKM memperbanyak siri-siri diskusi ilmiah dan wacana ilmu. Kami berharap usaha ini mampu memperkasa agenda pembudayaan ilmu di kampus”   

Pada waktu berlainan, Saudara Mohd Abdullah bin Mohamed Yusoff selaku Timbalan Presiden turut diundang menjadi ahli panel dalam forum Mahasiswa Merencana Pembangunan Ummah” di Melaka Tropical Fruit Farm. Forum ini berlangsung pada 3 Julai 2011. Antara yang turut bersama menjadi panelis ialah wakil NGO, dan Timbalan Presiden Uniten. Forum ini adalah sebahagian dari kursus bengkel calon Majlis Perwakilan Pelajar Uniten yang dianjurkan oleh Hal Ehwal Pelajar Uniten.
 
Forum ini memberi fokus berkaitan gagasan kefungsian mahasiswa dalam memberi peranan dan manfaat kepada masyarakat sekeliling. Selain itu, ahli panel juga turut berkongsi mekanisma untuk menjaga kebajikan masyarakat kampus dan dasar-dasar yang dibawa oleh Majlis Perwakilan Pelajar.

Saudara Mohamad menerima cenderamata dari Presiden Uniten

Forum sebegini mampu memberi percambahan idea dan melatih pemimpin pelajar untuk terkehadapan dalam melontarkan idea dan kritikan. Forum, wacana dan bengkel ilmiah patut diperbanyak di kalangan mahasiswa dan ia juga selari dengan saranan Dato’ Saifuddin Abdullah, selaku Timbalan Menteri Pengajian yang mahukan universiti dan sekolah mengiatkan lagi program berbentuk debat ( dan seumpamanya ). Ini satu proses melahirkan mahasiswa yang mempunyai budaya ilmu bukanya budaya “tingkahlaku emosi” dan “pak turut”. PMUKM bersedia menyahut budaya ilmu dan meluaskan kepada seluruh warga kampus.

“Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti”