Jumaat, Julai 08, 2011

Sekitar Kongres Profesor Negara

BERNAMA : Perdana Menteri Sampai Ucaptama Pada Kongres Profesor Negara Khamis Ini

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyampaikan ucaptama serta merasmikan Kongres Profesor Negara (MPN) yang menghimpunkan lebih 1,000 orang profesor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis ini.

Timbalan Pengerusi MPN Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata kongres sempena setahun penubuhan MPN itu juga bakal mencatat sejarah apabila ucaptama Perdana Menteri berjudul "Knowledge Transforming The Nation" akan dikupas oleh Prof Dr Michael E. Porter dari Harvard Business Scholl, Universiti Harvard secara langsung menerusi sidang video.

Shamsul Amri berkata ucaptama itu juga akan dibahaskan oleh Ketua Eksekutif Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin, yang turut bertindak sebagai moderator pada majlis yang bermula pada pukul 7.30 malam di Dewan Merdeka, PWTC.

Prof Dr Michael diiktiraf sebagai bapa strategi moden yang merupakan antara pemikir berpengaruh dalam pengurusan dan daya saing di peringkat global serta tersohor dalam bidang strategi kompetitif, pembangunan ekonomi serta aplikasinya dalam masalah sosial seperti kesihatan, alam sekitar dan tanggungjawab korporat.

Shamsul Amri berkata kongres selama tiga hari itu bermula Rabu ini dengan majlis penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

Bercakap pada sidang media pelancaran kongres itu, Shamsul Amri berkata selain Najib, kongres julung kali yang menghimpunkan pelbagai lapisan pemikir untuk menyatakan pendirian dalam satu suara iaitu "transformasi" itu juga akan diserikan dengan syarahan perdana bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjudul "Mentransformasi Negara Melangkau 2020", pada pukul 4 petang Rabu.

Selain itu, kongres juga bakal menampilkan syarahan utama Prof Dr Nay Htun yang berpengalaman lebih 25 tahun berkhidmat di Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai pembantu setiausaha agung badan itu.

Selain syarahan dari tokoh terbilang, kongres itu juga akan membincangkan pelbagai topik bagaimana untuk mentransformasikan negara daripada perspektif sains, teknologi dan inovasi serta sains kemanusiaan.

"Tujuan kongres diadakan adalah untuk mengemukakan resolusi mengenai agenda transformasi negara kepada kerajaan. Jadi, semua resolusi daripada perbincangan itu kita kumpul, bahas dan perincikan sebelum diserahkan untuk pertimbangan kerajaan," katanya.

Ditubuhkan atas inisitif Perdana Menteri pada 1 April tahun lepas, MPN yang kini dianggotai oleh 1,700 profesor daripada pelbagai universiti awam tempatan berperanan menyumbang input dan mencadangkan penyelesaian kepada isu-isu penting negara.

"Kongres ini akan memperkukuhkan lagi peranan dan sumbangan golongan profesor sebagai pemikir negara yang mampu menawarkan idea dan jalan penyelesaian terhadap cabaran semasa dan mendatang dalam usaha membantu kerajaan menjayakan agenda transformasi negara," katanya.

-- BERNAMA

SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada sidang pleno Kongres Profesor Negara (KPN) di PWTC, semalam
SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada sidang pleno Kongres Profesor Negara (KPN) di PWTC, semalam




Utusan - Profesor harus berperanan sebagai pemikir negara

KUALA LUMPUR 6 Julai - Profesor seharusnya memainkan peranan bukan sekadar sebagai cendekiawan di peringkat universiti tetapi juga sebagai pemikir kepada negara dalam menyelesaikan isu-isu rakyat untuk membantu pemimpin negara.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof. Emeritus Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, peranan profesor di universiti sebagai pendidik dan penyelidik tetap penting tetapi pada masa kini negara juga memerlukan pemikir hebat yang mampu membantu menyelesaikan masalah-masalah dalam negara.

Beliau berkata, peranan MPN yang ditubuhkan kira-kira setahun lalu adalah untuk menggerakkan peranan profesor melangkaui menara gading dan juga boleh turun padang serta mendampingi rakyat.

"Profesor seharusnya bertindak sebagai pemikir negara, profesor sebagai tonik intelektual, profesor sebagai pencetus idea dan juga sebagai penyelesai masalah yang harus menjadi penting bukan kepada universiti tetapi juga relevan kepada masyarakat.

"Ini adalah satu peranan yang saya lihat masih asing lagi dalam kalangan ramai di antara kita (profesor) tidak seperti di negara maju yang mana kumpulan intelektual sebegitu kukuh dan pandangan mereka dihormati oleh masyarakat,” katanya ketika berucap pada hari pertama Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.



Berita Harian : Kerajaan sedia dengar idea ahli akademik

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam mengambil kira pandangan ahli akademik walaupun ada antaranya bertentangan dengan dasar atau agenda yang hendak dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata perbezaan pandangan itu sesuatu yang positif kerana ia mampu menjadi kritikan dan teguran yang membina kepada kerajaan.

Katanya, perbezaan pandangan itu adalah sesuatu yang lumrah kerana ia akan dapat menyuburkan lagi budaya ilmu di kalangan ahli akademik dalam membantu kerajaan mewujudkan dasar untuk rakyat.

Beliau berkata, antara bukti kerajaan mengambil kira pandangan ahli akademik ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjemput seramai mungkin ilmuan dan pihak berkepentingan untuk menggubal gagasan besar beliau seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Kita yakin jika ia disampaikan dengan ikhlas serta niat yang baik, kerajaan boleh menerima dengan berlapang dada,” katanya pada sidang media selepas sidang pleno Kongres Profesor Negara (KPN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Saifuddin diminta mengulas pendirian kerajaan sama ada akan menerima pandangan pakar dan ahli akademik, walaupun bertentangan dengan dasar atau agenda yang hendak dibawa kerajaan seperti GTP dan ETP.
Terdahulu, Saifuddin turut mengikuti dua sesi plenari yang disampaikan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid serta Timbalan Pengerusi MPN, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Sementara itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, status Malaysia sebagai sebuah negara maju pada 2020 tidak akan bermakna jika rakyatnya mengalami masalah keruntuhan nilai moral seperti negara maju lain.

Katanya, tidak ada negara maju ketika ini yang boleh dicontohi Malaysia kerana kebanyakan negara terbabit mengalami masalah nilai moral.

"Saya berpendapat, tidak guna kita mencapai status negara maju, tetapi nilai moral kita runtuh. Saya lihat, nilai moral kalangan rakyat negara maju runtuh. Mereka tiada sekatan, rakyatnya bebas melakukan apa saja. Belum berkahwin tetapi bersekedudukan kerana itu boleh diterima.

"Perkara itu sudah jadi perkara biasa. Adakah kita mahu menjadi negara maju, tetapi nilai moral rakyatnya runtuh. Bagi orang Islam, nilai moral mereka perlu berasaskan ajaran Islam. Sebab itu isu moral penting dalam pembentukan negara maju. Ia adalah lambang sebenar manusia bertamadun," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada KPN, semalam.

Terdahulu, dalam ucapannya bertajuk `Mentransformasi Negara Melangkaui 2020’, Dr Mahathir turut mencadangkan sistem pendidikan negara di peringkat sekolah dan universiti dirombak bagi melahirkan generasi yang memiliki nilai moral tinggi apabila Malaysia mencapai status negara maju.