PMUKM 2014/2015

Memperkasa Mahasiswa, Meneraju Varsiti

Muhammad Sallehudin Bin Khalid

Presiden PMUKM Sesi 14/15

Universiti Kebangsaan Malaysia Varsiti Tercinta

Mengilham Harapan Mencipta Masa Depan

Ucapan Tun Abdul Razak

Majlis Konvokesyen Pertama UKM

Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Buku. Papar semua catatan

Selasa, Februari 19, 2013

MAKLUMAN LENGKAP PENGAMBILAN BAUCER BUKU 1 MALAYSIA (BB1M)


Dimaklumkan,Majlis Penyerahan Baucer Buku 1 Malaysia akan berlangsung seperti berikut:

Tarikh/Hari: 22 Februari 2013, Jumaat
Tempat : Pusanika
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang

Pelajar dialu-alukan untuk hadir dan bawa bersama Kad Pengenalan Diri dan Kad Matrik bersama. Kaunter Jabatan Bendahari juga dibuka jika ada permasalahan seperti nama tercicir dari senarai. Bagi yang tidak dapat hadir, BB1M boleh diambil di Pejabat Dekan fakulti masing-masing. Tarikh pengambilan BB1M di Pejabat Dekan akan diberitahu kemudian. Pengambilan BB1M tidak boleh diwakilkan, pelajar itu sendiri harus ambil sendiri. Bagi pelajar yang sedang menjalani latihan amali, pihak Pejabat Dekan akan memegang BB1M anda. Tarikh luput BB1M sehingga akhir bulan Mei.

Khamis, Januari 12, 2012

Kunjungi 'booth' UNIKEB di Pusanika


Koperasi UNIKEB Berhad kini telah membuka 'booth' buku-buku rujukan mengikut program kursus pengajian masing-masing mulai 10 - 20 Januari 2012 di hadapan kafeteria Pusanika.

Justeru itu mahasiswa-mahasiswi UKM dipelawa membeli dengan cara membuat tempahan buku-buku rujukan menggunakan Baucar Buku yang kini diedarkan.

Mahasiswa boleh mendapatkan contoh buku rujukan yang dijual di 'booth' tersebut. Buku-buku selain yang disenaraikan juga boleh diperoleh dengan cara emelkan nama anda, no. telefon anda, tajuk buku dan nama penulis buku tersebut ke emel iema_mim86@yahoo.com (Cik Hamimah)

Jumaat, Januari 06, 2012

PENGUMUMAN : Baucar RM 200 dan Pesta Buku UKM 2012

Sukacita untuk dimaklumkan kepada rakan-rakan mahasiswa, bahawa baucar buku RM 200 yang diwar-warkan dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober tahun lalu sudah boleh diperolehi mulai 4 Januari 2012, Rabu lalu di fakulti masing-masing.

Pemberian baucar buku RM 200 ini bagaimanapun tertakluk kepada warganegara Malaysia sahaja. 

Pengedaran baucar buku ini juga diedarkan kepada para pelajar pascaiswazah dan UKM-Graduate School of Business (GSB) sehingga 31 Mac 2012. Sila rujuk e-Pelajar untuk makluman lanjut

Dalam hal yang berkaitan, Koperasi Usahawan Siswa UKM Berhad (KOSISWA UKM) dengan kerjasama Koperasi UNIKEB dan Pustaka Prinsip Sdn Bhd bakal mengadakan Pesta Buku UKM 2012 pada sesi pengajian semester 2, 2011-2012 iaitu pada;

Tarikh : 20 Februari – 31 Mac 2012
Tempat : Pusanika UKM
Masa : 9.00 Pagi- 5.00 Petang

Rabu, Disember 14, 2011

Tukar baucer RM 200 di Kedai Buku UNIKEB Pusanika

Respon berkenaan bantuan baucer RM 200.00 seperti yang dimaklumkan minggu lalu di blog ini, dengan ini dimaklumkan bahawa Kedai Buku Universiti, KOPERASI UNIKEB BERHAD bersedia menerima penukaran baucer RM 200.00 kepada semua pelajar.

Penukaran tersebut boleh dilakukan bermula pada Januari 2012.

Dimaklumkan juga, pelajar-pelajar boleh membuat pesanan buku-buku yang digunakan terus kepada pihak UNIKEB di;


Tempat : KEDAI BUKU UNIVERSITI, PUSANIKA.
Masa : 8.30 pagi - 5.45 petang

Sebarang pertanyaan sila hubungi : PN HUDA (Pengurus), PN AIRIN & EN ZAIDI (Eksekutif) ditalian 03-8921 4040.

(ewarga/bul/bil.14122011-71)

Rabu, November 02, 2011

Penafsiran Falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Makalah ini adalah petikan daripada minit mesyuarat Jawatankuasa penggubal falsafah UKM 1978 yang dianggotai oleh Prof. Dr. Ghazali bin Haji Abdul Rahman, Dr. Yusuf bin Noor, Dr. M. Zawawi bin Ismail dan Dr. Hairi bin Abdullah. RUJUKAN BUKU: Falsafah, Dasar, Matlamat & Strategi UKM - Rancangan Malaysia Ke-6, 1992)


Falsafah UKM:

"Paduan antara iman kepada Allah dan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelaiar dan Pembangunan Universiti”

Ini bermaksud:

Bahawa Ilmu pengetahuan di universiti harus berkembang untuk manusia. Namun begitu perkembangan ilmu sama ada dalam bentuk sains dan teknologi dan sains kemasyarakatan dan kemanusiaan perlu kepada pengawasan ukuran yang lebih tinggi dari akal manusia untuk mengelakkan daripada kerosakan- kerosakan yang bakal timbul dari pemikiran manusia yang bergantung semata-mata dari keupayaan akal.

Pengurusan yang lebih tinggi ialah kebijaksanaan Pencipta yang Maha Kuasa yang diakui oleh manusia sebagai kebenaran yang tertinggi. Iman kepada Allah adalah manifestasi dari pengiktirafan kebiiaksanaan Pencipta di atas kehidupan manusia yang memberikan garis-garis panduan serta sempadan-sempadan demi keselamatan dan keseiahteraan manusia itu sendiri.

Pengawasan kriteria yang lebih tinggi dari akal ini tidak harus diertikan sebagai sekatan yang meluiu terhadap perkembangan ilmu pengetahuan yang rasional. Islam adalah agama yang menganjurkan perkembangan ilmu pengetahuan untuk membolehkan manusia menguruskan hidupnya di dunia dan menggunakan segala yang wujud di alam ini untuk membawa kesejahteraan dalam kehidupan manusia.

Tetapi perkembangan ilmu pengetahuan itu seharusnya menjadikan manusia berilmu itu bersyukur kepada Tuhan (Allah) sebagai tanda keterbatasan kemampuan manusia dan pergantungan manusia kepada rahmat Tuhan. Dengan demikian, sebarang kecenderungan ilmu pengetahuan yang bersifat anarkis, angkuh dan bebas lepas dapat dibanteras.

Adapun ilmu pengetahuan yang membolehkan manusia meluaskan ufuk kefahamannya tentang rahsia-rahsia alam dan kewujudan ini melalui kaedah-kaedah pembelajaran dan penyelidikan yang saintitik atau melalui kaedah-kaedah lain yang kemaskini pertumbuhannya tidak sama sekali terbantut dengan adanya kriteria pengawasan nilai iman kepada Allah, kerana iman kepada Allah juga menuntut supaya manusia, sebagai khalifah di bumi Allah, melengkapkan diri dengan segala macam ilmu pengetahuan yang boleh membantu manusia memainkan peranannya yang positif dan membina dunia dan tamadun (peradaban).

"Paduan antara iman kepada Allah dan ilmu yang bermanfaat" sebenarnya telah diamalkan oleh sarjana-sarjana dan ahli-ahli sains dalam sejarah tamadun Islam. Dasar ini tidak bererti menutup diri kepada ilmu pengetahuan yang baik yang datang daripada peradaban-peradaban lain, malah ia telah menolong para ilmuwan Islam tadi untuk membina ilmu pengetahuan dari segenap penjuru alam.

Sesuai dengan tradisi keterbukaan ilmiah ini ilmu pengetahuan yang datang daripada Barat tidak harus ditolak semata-mata kerana ia datang dari luar lingkungan masyarakat Islam. Tetapi ini tidak pula bererti kita harus menerima segala-gala yang datang dari Barat secara melulu atau secara tidak kritis.

Kehidupan Sosial Kampus
Sehubungan dengan itu, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan kampus sama ada yang berpendidikan formal atau yang bersifat ko-karikola perlu mendapat galakan dari pihak yang berkuasa Universiti asalkan ia tidak merendahkan martabat insan yang berilmu, bercanggah dengan tatasusila budaya timur dan tidak bertentangan dengan nilai iman kepada Allah.

Ini juga bererti bahawa budaya kampus harus dipupuk dengan memberi keutamaan kepada pembinaan ilmu pengetahuan yang sihat, kekritisan yang bermanfaat dan hubungan kemanusiaan yang didasari oleh prinsip hormat menghormati antara satu sama lain. Penggunaan masa lapang dalam bentuk sukan dan lain-lain adalah sebahagian daripada pembinaan budaya kampus yang patut diceburi oleh masyarakat pelaiar untuk perkembangan personaliti yang lebih berimbang.

Prinsip "paduan antara iman kepada Allah dan ilmu yang bermanfaat" tidak bererti kegiatan-kegiatan masa lapang itu harus dikurangkan atau dihentikan. Yang harus diberi perhatian ialah kegiatan yang boleh merugikan prestasi akademik pelajar-pelajar atau yang boleh rnenjejaskan nama baik Universiti atau yang bertentangan dengan agama Islam.


Falsafah UKM Meraikan Bukan Islam Juga
Falsafah Universiti ini ternyata memberi penghargaan yang tinggi kepada nilai-nilai Islam tetapi ia tidak bertujuan untuk menyekat masyarakat Universiti yang bukan beragama Islam daripada menjalankan kegiatan-kegiatan mereka sama ada yang bersifat formal atau bukan formal asalkan ia berlaku dalam batas kesopanan masyarakat cendekiawan dan sesuai dengan budi bahasa dan tatasusila ketimuran yang tradisional.

Ia tidak harus menjejaskan suasana kerukunan dan keharmonian dalam masyarakat kampus dengan meniaga kepekaan perasaan semua golongan pelajar di Universiti. Kerukunan hidup antara agama dalam kampus adalah satu faktor yang penting dalam pembangunan sebuah Universiti yang dihormati oleh masyarakat kerana ia akan menjadi contoh yang patut diikuti oleh masyarakat Malaysia yang berbilang agama ini.

Para ilmuan dan para cendekiawanlah yang harus memimpin masyarakat ke arah penghayatan nilai-nilai yang suci, mulia dan rasional.

Selasa, Oktober 18, 2011

BUKU : Falsafah Keilmuan & Pembangunan Tamadun Dunia

Falsafah & Keilmuan
Perkataan ‘falsafah’ berasal daripada bahasa Greek. Perkataan asalnya ialah philosophia yang merupakan gandingan dua perkataan- philo yang bermaksud suka/gemar dan Sophia yang bermaksud kebijaksanaan. Oleh sebab itu philosophia bermaksud cinta akan kebijaksanaan yang memaknakan falsafah adalah bermaksud yang sama.

Ahli falsafah suka akan kebijaksanaan. Oleh sebab budaya falsafah bermula di Greek, maka rujukan yang berkaitan dengan falsafah adalah bermula daripada sumber di Greek. 
Falsafah Greek banyak dipengaruhi pemikiran ahli falsafah terkenal mereka seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Kebijaksanaan yang dicari oleh ahli falsafah boleh dikenalpasti dengan mengkaji dialog antara Socrates dengan para juri yang membicarakan kes tuduhan yang dibuat ke atasnya

Wahai orang-orang Athens, aku hormat dan sayang kepada kamu; tetapi harus mematuhi Tuhan, bukan kamu. Dan ketika aku ada nyawa dan kekuatana aku tidak akan berhenti daripada mengamalkan ajaran dan mengajar falsafah, menggalakkan sesiapa jua yang aku temui dan berkata kepadanya dengan caraku; Kamu, kawanku – seorang rakyat Bandar yang hebat dan pintar Athens, tidakkah kamu rasa malu mengumpulkan begitu banyak wang, pangkat dan nama – dan tidak pedulikan kebijaksanaan dan kebenaran dan membaiki rohani kamu yang tidak pernah pedulikan atau ambil perhatian langsung ..?

Sejarah Pembangunan Dunia
Negara-negara Eropah dan Barat kini merupakan negara-negara yang maju dari sudut pembangunannya secara fizikalnya dan kini menjadi model bagi pembangunan negara-negara lain di dunia.

Pada suatu ketika dahulu negara-negara tersebut merupakan negara-negara yang mundur. Zaman kemunduran negara-negara Barat ini dikenali sebagai Zaman Medieval atau Dark Ages yang maksud literalnya ialah Zaman Pertengahan.

Kemunduran Zaman Pertengahan dapat dilihat menerusi perkataan medieval itu sendiri yang dikaitkan dengan kemudunduran dan kegelapan. Zaman Pertengahan di Eropah bermula dengan kejatuhan Empayar Rom Barat pada tahun 400 dan berakhir sekitar tahun 1500.

Sekitar tahun 400, suku kaum Jerman yang dikenali sebagai Barbarians telah menyerang tanah jajahan Rom. Pada ketika itu Empayar Rom kehilangan banyak kuasa dan tidak mampu lagi untuk menentang pencerobohan.

Suku-suku kaum yang menceroboh tanah jajahan Empayar Rom seperti Visigoth, Angles, Jutes, Saxons, Ostgogoths dan lain-lain membahagi-bahagikan Empayar Rom kepada beberapa kerajaan kecil. Banyak peraturan dan undang-undang Rom sebelum itu telah dimusnahkan oleh suku-suku kaum tersebut. Maka pada zaman tersebut secara ringkasnya ia digelar Dark Ages (Zaman Gelap)

Empayar Islam – Pengaruh Terhadap Pembangunan Barat
Ketika Eropah berada di Zaman Gelap, Sepanyol yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Islam sekitar tahun 711 – 1492 berada di zaman kemuncaknya. Sepanyol ketika itu mengalami pembangunan yang pesat dalam pelbagai bidang temasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, peradangan, seni dan sastera di samping negara yang toleran dan berdiplomasi berbanding dengan keadaan negara-negara Eropah lain ketika itu.

Di dalam sebuah buku karangan James Burkse (1985:85) bertajuk ‘The Day When Universe Changed’, beliau menggambarkan bagaimana orang-orang Bandar di Eropah hidup sebagai; 

Penduduk Bandar membuang semua sampah mereka ke dalam longkang di tengah-tengah jalan yang sempit. Bau busuknya terlalu kuat, walaupun ia tidak dilihat. Tikar yang digunakan untuk menutup lantai mereka yang kotor bercampur baur dengan tahi dan air kencing.

Pada masa yang sama, Sepanyol yang merupakan sebuah negara Eropah yang mempunyai rupa bumi dan iklim yang serupa dengan negara-negara Eropah yang lain, sejahtera diperintah oleh kerajaan Islam. Hanya setelah 200 tahun diperintah oleh orang-orang Islam, Andalusia telah berubah menjadi pusat budaya, perdagangan dan pelancongan. 

Kecanggihan Teknologi Negara Islam Sepanyol
Sistem pengairannya yang ditiru daripada Syria dan negara Arab telah menukar wajah tanah yang kering kontang menjadi lading zaitun dan gandum. Orang-orang Islam telah membawa bersama mereka limau, lemon, terung, pisang, kapas, beras dan peach (Burkes, 1985:37).

Pada awal kurun ke Sembilan, negara Sepanyol merupakan permata Eropah dengan ibu negaranya Cordova dan menjadi pusat intelektual Eropah.

Pada masa yang sama dan kota London ketika itu adalah sebuah perkampungan kecil dan rumah-rumah mereka dibina daripada tanah liat (Digest, 1973:622).

Cordova ketika itu telah mempunyai penduduk seramai setengah juta orang yang menghuni 113,000 buah rumah. Di Cordova pada ketika itu terdapat 700 buah masjud dan 300 buah bilik mandi awam di pusat bandar dan sekitarnya. Jalan-jalan bandar telah diturap dan berlampu (Burkse,1985:38)

Rumah-rumah mereka mempunyai anjung yang dibuat daripada batu marmar untuk musim panas dan lubang udara panas untuk musim sejuk. Rumah-rumah mereka dihiasi dengan taman-taman dengan pancutan air dan dusun buah-buahan (Digest, 1973:622)

Kertas, bahan yang tidak diketahui Barat terdapat di merata-rata tempat. Terdapat kedai-kedai buku dan lebih daripada 70 buah perpustakaan (Burkse, 1985:38).

Keintelektualan & Budaya Keilmuan
Pada akhir alaf yang pertama, Cordova merupakan ‘telaga’ intelektual di mana orang-orang Eropah datang untuk ‘minum’. Pelajar-pelajar daripada England dan Perancis datang untuk belajar daripada sarjana Muslim, Kristian dan Yahudi untuk belajar ilmu falsafah, sains dan perubatan (Digest, 1973:622)

Di perpustakaan Besar Cordova terdapat lebih kurang 600 ribu manuskrip (Burkes, 1978:122) Masyarakat Andalusia pula bersikap toleran terhadap penganut agama lain kerana sikap ini adalah daripada ajaran Islam. “ribuan orang-orang Yahudi dan Kristian hidup dalam keadaan amaan dan harmoni dengan orang-orang Islam yang merupakan pihak yang memerintah” (Burkse, 1985:38)

Dalam konteks ekonomi pula, kemakmuran mereka tiada bandingan dengan negara-negara lain untuk ratusan tahun lamanya. Para bangsawan mereka menggalakkan pemilikan tanah persendirian dan menggalakkan orang-orang Yahudi untuk mewujudkan bank. Hanya sedikit atau tiada langsung paksaan untuk menganut agama Islam.

Selain daripada itu, muncul bandar-bandar setelit dan juga universiti-universiti yang berjaya menarik ramai pendeta Eropah datang untuk menuntut ilmu. Pelajar-pelajar Eropah ini menyebarkan ilmu yang dituntut di negara Sepanyol ke bahagian lain Eropah. Mereka datang ke Sepanyol untuk menuntut ilmu university-universiti teruatamanya dalam bidang matematik, astronomi, astrologi dan perubatan (Haskin, 1960).

Paul Kennedy dalam bukunya ‘The Rise And Fall Of The Great Power (1988:12) mengatakan bahawa orang-orang Islam telah mendahului Barat sebelum tahun 1500.

*Artikel tersebut dipetik daripada buku Falsafah Pembangunan oleh PM Dr Mohd Arif Kasmo
Empayar Ottoman merupakan lebih daripada daripada jentera ketenteraan. Ia bukan sahaja sebagai penakluk, kerajaan Ottoman telah mengasaskan kesatuan dalam agama rasmi, budaya dan bahasa di kawasan yang lebih luas daripada Empayar Rom, dan penduduknya lebih ramai. Berkurun sebelum tahun 1500, dunia Islam mendahului Barat dari segi budaya dan teknologi.

Bandar-bandar mereka adalah besar, dilengkapkan dengan lampu-lampu dan perparitan; ada di anatara bandar-bandar tersebut yang mempunyai universiti dan dan perpustakaan dan masjid-masjid yang indah menawan.

Dalam bidang matematik, kartografi, perubatan dan banyak aspek sains dan industry seperti kilang, pembuat senapang, rumah api, penternakan kud. Sitem perlantikan pengawal daripada pemuda-pemuda Kristian di Balkan melahirkan askar-askar yang berdedikasi. Toleransi terhadap bangsa-bangsa lain menyebabkan ramai orang Greek, Yahudi dan Kristian yang berbakat datang untuk berkhidmat kepada kerajaan.

Di bawah pemerintahan pemerintah seperti Suleiman I, satu birokrasi yang kuat telah menyelenggarkan 14 juta penduduk ketika Sepanyol mempunyai 5 juta penduduk dan England hanya mempunyai 2.5 juta penduduk.

Constantinople, pada zaman gemilangnya adalah lebih besar daripada mana-mana Bandar di Eropah dengan penduduk seramai 500 ribu orang pada tahun 1600 (Kennedy, 1988:12)

Kenyataan-kenyataan seperti itu menunjukkan bahawa Tamadun Islam pernah mengalami zaman gemilang dan sudah pasti tamadun yang gemilang tersebut mempunyai sistem pembangunan yang tersendiri.

Isnin, Oktober 10, 2011

Mahasiswa & Pembudayaan Ilmu

Mahasiswa & Pembudayaan Ilmu
PM Dr Abdul Razaq Ahmad, Fakulti Pendidikan UKM

Pendahuluan

Mahasiswa dan ilmu diibaratkan lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan, maka tidak mungkin seseorang digelar 'mahasiswa' jika tidak berilmu. Istilah 'maha' itu sendiri memberi konotasi 'yang terhebat' , 'yang tertinggi' atau segala yang bersifat luar biasa kecemerlangannya. Maka mahasiswa yang cemerlang sudah semestinya seorang yang berilmu dengan segala ketrampilan dalam pelbagai bidang yang dipelajari ketika menuntut di universiti.

Menjadi seorang mahasiswa yang berilmu ‘memaksa’ para mahasiswa menjadikan akumulasi ilmu pengetahuan sebagai proses pencarian atau kegiatan ‘suci’ tanpa henti dan berterusan sehinggalah ke akhir hayatnya tanpa jemu termasuklah mencemerlangkan dirinya dengan ilmu semasa menempuh alam pekerjaan.

Syarat utama mencemerlangkan diri dengan ilmu ialah penghayatan budaya membaca. Budaya membaca tidak dapat dinafikan merupakan suatu ‘budaya suci’ harus dimantapkan dalam diri mahasiswa dan kehidupannya.

Membaca bagi mahasiswa bukan sekadar sebagai wahan menjelang persediaan peperiksaan, tugasan akademik dan sebagainya. Ia suatu proses berterusan dan tidak ada titik noktah untuk berhenti. Ia juga menuntut para mahasiswa menanam kecintaan kepada segala aktiviti yang mengangkat martabat ilmu seperti melibatkan dalam program wacana, diskusi, seminar, bicara buku dan sebagainya. Dengan kata lain, pembudayaan ilmu dalam kehidupan merupakan ciri-ciri intelektualisme yang mewarnai kehidupan dan idealism mahasiswa.

Budaya Ilmu
Budaya ilmu secara mudah dapat difahamkan sebagai kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada satu keadaan di mana segala tindakan masyarakat baik di tahap individu ataupun di peringkat masyarakat , diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian atau perbincangan analisis. Dalam budaya ini, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat di peringkat peringkat (Wan Mohd Nor Wan Daud,1991)

Sehubungan dengan itu, budaya tersebut sama ada dalam diri individu atau institusi berpengaruh dalam masyarakat akan member keutamaan, bantuan, kemudahan, pengiktirafan yang tinggi kepada sesiapa saja yang melibatkan diri mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan. Natijahnya budaya ilmu membentuk peribadi individu dan masyarakat yang meminggirkan sifat jahil, anti-ilmu atau bebal (Wan Mohd Nor Wan Daud,1991).

Teras pada penerusan budaya ilmu ialah budaya membaca. Sekiranya aspek membaca sudah dapat dimantapkan sebagai satu budaya di kalangan mahasiswa maka proses pembudayaan ilmu akan menjadi lebih mudah kerana faktor asa iaitu membaca sudah sebati (Shaharom TM Sulaiman,2002)

Pembudayaan Ilmu & Pembinaan Keintelektualisme Mahasiswa
Kata intelektual adalah kata Inggeris yang sepada dengan kata Melayu yang bermaksud 'cendikia'. Sementara orang yang mengamalkan 'hidup yang intelektual' disebut sebagai golongan intelektual atau cendikiawan.

Dahulu kata cendekia berkait dengan kata 'pendeta', 'bestari', 'budiman' dan 'bijaksana'. Daripada kata-kata tersebut, lahir kata-kata 'kependetaan' , 'kebestarian', 'kepujanggaan' , 'kebudimanan' dan 'kebijasanaan'. (Jaafar Abd Rahim,2002)

Semua kata-kata ini merujuk kepada soal pergulatan ilmu dalam diri seseorang. Dengan kata lain sama ada mereka pendeta atau pujangga, mereka tetap mencintai ilmu dan kebenaran. Mereka tetap memberi nilai yang tinggi. Jadi apabila menyebut 'intelektualisme' ertinya kita menggabungkan orang yang terpelajar dan ilmu yang digulati dan disuburkannya. Ertinya ilmu yang mereka gulati dan suburkan menjadi ideologi dan fahaman pada diri mereka, bahkan menjadi bahagian dari mereka (Jaafar Abd Rahim,2002)

Mahasiswa yang memiliki intelektualisme bererti mereka adalah golongan terpelajar yang 'menguli' dan menyuburkan ilmu sebagai fahaman mereka. Inilah kaitan intelektualisme dengan mahasiswa.

Mahasiswa yang menyuburkan ilmu ini secara sungguh-sungguh akan mendapati dirinya hidup dalam suasana intelektual yang murni.

Mahasiswa semacam ini akan memancarkan nilai ilmu dan kebenarannya melalui percakapannya, pemikirannya, penulisannya, pembawakannya, penerapan dalam kehidupannya.

Pendek kata setiap detik hidupnya, biar dalam keadaan apa sekalipun akan memancarkan nilai ilmu dan kebenarannya. Inilah mekanisme pembudayaan ilmu dalam kehidupan mahasiswa.

Manakala pembudayaan ilmu dalam kehidupan mahasiswa akan membuahkan ketrampilan intelektual. Ketrampilan intelektual bermakna kemampuan mengungkapkan ilmu dan kebenaran supaya ia dapat dinikmati dan diamalkan oleh mahasiswa dan masyarakat (Abdul Razaq Ahmad, 2000)

Ketrampilan intelektual sangat berkaitan dengan kemampuan berbicara, kemampuan berfikir secara berkesan, kemampuan menulis secara berkesan, Kemampuan mempengaruhi pemikiran masyarakat agar mereka akan 'mencintai' ilmu dan kemampuan menyebati ilmu dan kebenaran dalam masyarakat agar ilmu dan kebenaran menjadi ikuti dalam kehidupan.

Ini juga bermakna tiada guna jika kita memiliki ijazah yang tinggi dan berjela-jela tetapi pada masa yang sama, sikap kita terhadap ilmu dan kebenaran sentiasa negatif.

Proses pembudayaan ilmu dalam diri mahasiswa akan tetap hidup subur selagi ia ditekuni, dinikmati dan dimantapkan dalam diri. Dan ini boleh dilakukan melalui pelbagai wahana, antaranya ialah amalan berfikir secara kreatif dan kritis dan amalan membaca yang tidak pernah mengenal jemu.

Pembinaan intelektualisme mahasiswa juga tidak terbatas semasa berada di kampus, malah akan terus berkembang di luar kampus sekalipun. Ertinya mahasiswa yang sudah lulus pengajiannya akan tetap mengangkat martabat ilmu tatkala mereka berada dalam masyarakatnya.


Kesimpulan
Mahasiswa yang mantap budaya ilmunya dan intelektualismenya akan berperanan sebagai pengembang ilmu. Untuk itu, syarat membuat pembaharuan dalm ilmu haruslah dipatuhi yakni kesungguhan usaha menekuni ilmu, sentiasa membuat percubaan, mencuba melihat daripada sudut pandangan yang lain dan mempunyai sikap yang positif dan kreatif.

Jika mahasiswa terus memartabatkan nilai ilmu, mereka pastinya dapat mencapai status sebagai seorang intelektual 'kawalan' atau intelektual ikutan. Usaha-usaha ini menjadi proses pembudayaan ilmu seumur hidup yang dilalui melalui gabungan antara ilmu dan pemikiran yang sedia mereka miliki dengan pengalaman hidup yang pelbagai warna dan ragam.

Akhirnya biarlah kehidupan kita sebagai mahasiswa dibimbing oleh ilmu yang disesuaikan dengan kehidupan masyarakat. Biarlah kita terus menjadi 'pelita ilmu' kepada diri kita dan kepada masyarakat. Adab dalam ilmu harus kita pelihara agar ia mendatangkan barakah dalam hidup kita sebagai intelektual sejati yang berilmu dan beriman.

Artikel ini diolah daripada kertas kerja asal bertajuk MAHASISWA & PEMBUDAYAAN ILMU yang dikarang oleh PM Dr Abdul Razaq Ahmad, pensyarah di Fakulti Pendidikan UKM.

Khamis, Oktober 06, 2011

BUKU : Membina Organisasi - Satu Panduan

GENERASI BARU BERWAWASAN
Golongan belia merupakan majoriti dalam sesebuah negara. Di Malaysia sekitar 60 peratus penduduk tergolong belia (15-40 tahun). Mereka merupakan golongan paling produktif bagi mewarisi masa depan negara dan melaksanakan pelbagai bentuk rancangan pembangunan. Golongan ini juga menjadi 'beban' (liabilities) kepada masyarakat jika menjadi penagih dadah, penjenayah dan seumpamanya.

Di zaman kegemilangannya, generasi muda khususnya mahasiswa dekad 70-an berjaya memperlihatkan fungsi mereka sebagai 'catalyst' perubahan masyarakat. Zaman mahasiswa dekad 60-an dan 70-an telah banyak memaparkan peristiwa penting berlaku hasil daripada perjuangan pelajar yang melahirkan hasrat perjuangan mereka terhadap sesuatu isu. Sesetengahnya meneroka perubahan seperti kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) telah bermula daripada perjuangan pelajar kerana perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan Islam.

Mereka ini telah mendapat pengiktirafan masyarakat dan sebahagian daripada mereka sekarang ini menjadi pemimpin masyarakat, politik dan negara. Tetapi, gerakan pelajar abad ke-21 dan seterusnya tidak mungkin dapat disamakan ataupun mengulangi semula apa apa yang pernah berlaku sebelum ini. Tetapi kadang-kadangnya gerakan belia/pelajar itu seolah-olah tenggelam dan timbul, seperti terjadi kepada generasi dekad 80-an dan 90-an.

Berakhirnya zaman kegemilangan gerakan mahasiswa di IPT sebagai 'core' terpenting di kalangan generasi muda bakal menentukan corak dan masa depan negara menangani Wawasan 2020, banyak pihak telah mempertikaikan kredibiliti IPT dalam melahirkan pemimpin-pemimipin yang berwibawa, tahan uji dan mempunyai daya juang yang tinggi di masa akan datang.

BEBERAPA CABARAN GENERASI MUDA
Generasi muda tidak sepatutnya melihat permasalahan yang wujud di sekeliling mereka dengan rasa pesimik. Cabaran generasi muda dengan pesimik. Cabaran generasi muda sekarang adalah untuk membuktikan kemampuan kepimpinan terutama pelajar yang ada di IPT hari ini mampu dan bersedia untuk mengambilalih kepimpinan negara di masa hadapan.

Sebagai golongan yang menjadi tonggak kepada harapan negara, mereka mempunyai kesempatan meneliti dan memahami masalah yang sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dan negara serta mampu merumuskan penyelesaian terhadapnya. Tambahan pula kedudukan mahasiswa di universiti memberikan peluang kepada mereka mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan situasi dan isu-isu semasa yang lebih mencabar.



Jenis-Jenis Cabaran
a. Mentaliti dan sikap
Sebagai golongan pelapis kepada kepimpinan yang ada hari ini, mereka mestilah mempunyai mentaliti dan sikap yang baik. Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad telah menyatakan, “..rupa-rupanya masih banyak lagi mahasiswa kita yang tumpul daya sensitiviti mereka, yang beku daya intelek mereka, yang hampas daya minda mereka, langsung tidak peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka, langsung tidak ambil kisah apa yang menimpa manusia lain di luar dari diri mereka. Yang mereka [ela dan ambil kisah hanya diri mereka dan diri kelompok mereka sahaja. Dan itu hanya berkisar pada hal-hal yang berkaitan dengan kepentingab diri bersifat kebendaan, kepentingan diri bersifat kejayaan sementara sahaja.”

Kehadiran mereka ke kampus hanya semata-mata untuk meraih sekeping sahaja.

Mengikut James W.Trent dan J.Cvaise dalam jurnal sosial menyebut, “golongan ini lebih mementingkan kebahagiaan hidup dan status quo mereka setelah tamat pengajian kelak. Mereka biasanya berpuas hati dengan pelajaran yang di terima dan tidak berminat mencampuradukkan kegiatan politik kampus dengan akademik”.

Langkah pelajar/mahasiswa Islam untuk aktif dalam politik kampus bagi memperluaskan spekterum dakwah mereka telah menghasilkan suatu garis perjuangan yang selari dengan tuntutan islam dan seterusnya di jadikan landasan perjuangan mereka. Kehadiran mereka dalam gerakan kemahasiswaan di harap dapat memastikan dan memantapkan pelapis kepimpinan negara menuju ke tahun 2020 dan seterusnya tidak tergelincir dari syariat islam.

Mahasiswa tidak perlu membiarkan peranan tersebut di lepaskan kepada mereka dengan begitu sahaja. Seorang pemimpin belia, Saifuddin Abdullah menggariskan hujah sikap yang perlu ada kepada pelajar;

i. Pemikiran berlandaskan fakta, objektif, rasional, tidak emosional dan terbuka.
ii. Kritis terhadap apa-apa yang di dengar dan dilihat.
iii.Tegas,berani,amanah,jujur dan ikhlas.
iv. Berperibadi baik.
v. Sedar akan tanggungjawab dan haluan perjuangan.
vi. Aktif.
vii. Sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan nyawa.

Keadaan ini di sedari oleh Professor Bruno Bettleheim yang pernah menegaskan “para pelajar berasa bahawa mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk memusnahkan masyarakat yang dianggap tidak bermoral,mereka telah sanggup membuat apa saja yang difikirkan perlu dan berkesan”.

b. Pengurusan masa
Mereka mestilah bijak membahagikan masa antara akademik dan kegiatan-kegiatan kokurikulum. Pelajar perlu mempunyai teknik yang terbaik menguruskan kegiatan kokurikulum kerana masa mereka adalah terbatas.

Di kalangan pelajar yang bergiat aktif,mereka perlu merancang masa dengan baik dan bijak supaya tidak terkejar ke sana ke sini dengan tergesa-gesa. Perancangan masa yang baik memudahkan dan menjimatkan masa mereka kerana tidak banyak masa yang terbuang dengan sia-sia.

Beberapa teknik yang biasa digunakan supaya tidak banyak masa terbuang dalam menyelenggarakan aktiviti atau projek;

Pertama: Menentukan secara tempatnya aktiviti-aktiviti yang hendak di jalankan dan menjangkakan kemungkinan yang akan berlaku serta mencari alternative-alternatif yang boleh dilaksanakan.
Kedua: Membuat jadual perancangan dengan baik dan melaksanakan kerja-kerja mengikut yang telah dirancangkan.
Ketiga: Menentukan masa digunakan dengan optimum supaya kerja-kerja dapat di bereskan pada masa yang telah di tetapkan.
Keempat: Mengelakkan membuat kerja bertindan atau beberapa kali membuat kerja yang sama
Kelima: Menentukan ahli-ahli organisasi dapat menepati masa dan tidak mengabaikan kerja-kerja yang telah dipertanggungjawabkan.

Mereka mesti bijak menentukan masa yang sesuai untuk sesuatu kegiatan/aktiviti yang bermanfaat. Tetapi dengan mempunyai sikap diatas sahaja tidak mencukupi sekiranya, pelajar sendiri tidak pandai mengatur dan mengendalikan masa dengan baik bagi memastikan mereka Berjaya dibidang akademik dan kokurikulum.

c. Bebanan akademik dan kerjaya
Sekarang adalah zaman di mana manusia terpaksa memburu pekerjaan. Dalam menghadapi fenomena ini, pelajar dipaksa menyiapkan diri mereka semasa berada di kampus lagi. Kejayaan dalam akademik bukan lagi menjadi penentu segala-galanya kerana saingannya terlalu tinggi. Kemampuan sampingan telah menjadi asas yang begitu penting dalam menentukan nilai seseorang siswazah di masa ini.

Kebolehan berkomunikasi dengan baik dan mempunyai kepimpinan yang tinggi memberikan ‘kredit’ kepada seseorang siswazah. Keadaan ini menyebabkan pelajar mesti terlibat aktif dalam aktiviti yang boleh membina diri semasa berada di kampus. Mereka sudah tidak ada masa lagi untuk bersuka ria semasa di kampus.

Mereka juga mesti peka dengan perkembangan semasa dan terlibat dengan masyarakat supaya tidak kekok apabila keluar dari kampus pengajian. Tetapi masih ramai di kalangan pelajar masih bersikap negatif terhadap kegiatan kokurikulum dengan mengatakan kegiatan ‘buang masa’ sahaja. Sebenarnya kegiatan-kegiatan kokurikulum boleh memberikan ‘advantage’ kepada mereka sama ada secara disedari ataupun tidak disedari. Perkembangan diri dan kerjaya mereka di masa hadapan banyak bergantung kepada kegiatan kokurikulum mereka semasa di kampus lagi.

d. Masalah kewangan
Faktor kewangan ini sedikit sebanyak telah menghalang kelancaran perjalanan program-program yang dirancangkan oleh organisasi persatuan belia/pelajar. Tidak ganjil jika didapati penganjur-penganjur program terpaksa menampung kekurangan perbelanjaan projek yang dilaksanakan dengan menggunakan wang saku sendiri bila projek tersebut menanggung hutang yang tak termampu dibayar oleh persatuan.

Keadaan ini menimbulkan rasa malas dan tidak bersemangat di kalangan aktivis mengadakan sesuatu program yang besar dan mencabar. Ekoran ini jadilah program yang dianjurkan oleh mereka sekadar ‘adanya’ sahaja. Malah ramai pelajar suka menjadi pemerhati sahaja daripada menjadi ‘aktivis’ disebabkan faktor tidak mampu menampung bebanan kewangan jika projek yang dilaksanakan.


Artikel di atas diambil daripada buku Membina Organisasi : Sebuah Panduan karangan Mohd Shuhaimi Embong (Cetakan Pertama 2007)