Khamis, Oktober 06, 2011

BUKU : Membina Organisasi - Satu Panduan

GENERASI BARU BERWAWASAN
Golongan belia merupakan majoriti dalam sesebuah negara. Di Malaysia sekitar 60 peratus penduduk tergolong belia (15-40 tahun). Mereka merupakan golongan paling produktif bagi mewarisi masa depan negara dan melaksanakan pelbagai bentuk rancangan pembangunan. Golongan ini juga menjadi 'beban' (liabilities) kepada masyarakat jika menjadi penagih dadah, penjenayah dan seumpamanya.

Di zaman kegemilangannya, generasi muda khususnya mahasiswa dekad 70-an berjaya memperlihatkan fungsi mereka sebagai 'catalyst' perubahan masyarakat. Zaman mahasiswa dekad 60-an dan 70-an telah banyak memaparkan peristiwa penting berlaku hasil daripada perjuangan pelajar yang melahirkan hasrat perjuangan mereka terhadap sesuatu isu. Sesetengahnya meneroka perubahan seperti kewujudan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) telah bermula daripada perjuangan pelajar kerana perjuangan mendaulatkan bahasa kebangsaan dan Islam.

Mereka ini telah mendapat pengiktirafan masyarakat dan sebahagian daripada mereka sekarang ini menjadi pemimpin masyarakat, politik dan negara. Tetapi, gerakan pelajar abad ke-21 dan seterusnya tidak mungkin dapat disamakan ataupun mengulangi semula apa apa yang pernah berlaku sebelum ini. Tetapi kadang-kadangnya gerakan belia/pelajar itu seolah-olah tenggelam dan timbul, seperti terjadi kepada generasi dekad 80-an dan 90-an.

Berakhirnya zaman kegemilangan gerakan mahasiswa di IPT sebagai 'core' terpenting di kalangan generasi muda bakal menentukan corak dan masa depan negara menangani Wawasan 2020, banyak pihak telah mempertikaikan kredibiliti IPT dalam melahirkan pemimpin-pemimipin yang berwibawa, tahan uji dan mempunyai daya juang yang tinggi di masa akan datang.

BEBERAPA CABARAN GENERASI MUDA
Generasi muda tidak sepatutnya melihat permasalahan yang wujud di sekeliling mereka dengan rasa pesimik. Cabaran generasi muda dengan pesimik. Cabaran generasi muda sekarang adalah untuk membuktikan kemampuan kepimpinan terutama pelajar yang ada di IPT hari ini mampu dan bersedia untuk mengambilalih kepimpinan negara di masa hadapan.

Sebagai golongan yang menjadi tonggak kepada harapan negara, mereka mempunyai kesempatan meneliti dan memahami masalah yang sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dan negara serta mampu merumuskan penyelesaian terhadapnya. Tambahan pula kedudukan mahasiswa di universiti memberikan peluang kepada mereka mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan situasi dan isu-isu semasa yang lebih mencabar.



Jenis-Jenis Cabaran
a. Mentaliti dan sikap
Sebagai golongan pelapis kepada kepimpinan yang ada hari ini, mereka mestilah mempunyai mentaliti dan sikap yang baik. Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad telah menyatakan, “..rupa-rupanya masih banyak lagi mahasiswa kita yang tumpul daya sensitiviti mereka, yang beku daya intelek mereka, yang hampas daya minda mereka, langsung tidak peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka, langsung tidak ambil kisah apa yang menimpa manusia lain di luar dari diri mereka. Yang mereka [ela dan ambil kisah hanya diri mereka dan diri kelompok mereka sahaja. Dan itu hanya berkisar pada hal-hal yang berkaitan dengan kepentingab diri bersifat kebendaan, kepentingan diri bersifat kejayaan sementara sahaja.”

Kehadiran mereka ke kampus hanya semata-mata untuk meraih sekeping sahaja.

Mengikut James W.Trent dan J.Cvaise dalam jurnal sosial menyebut, “golongan ini lebih mementingkan kebahagiaan hidup dan status quo mereka setelah tamat pengajian kelak. Mereka biasanya berpuas hati dengan pelajaran yang di terima dan tidak berminat mencampuradukkan kegiatan politik kampus dengan akademik”.

Langkah pelajar/mahasiswa Islam untuk aktif dalam politik kampus bagi memperluaskan spekterum dakwah mereka telah menghasilkan suatu garis perjuangan yang selari dengan tuntutan islam dan seterusnya di jadikan landasan perjuangan mereka. Kehadiran mereka dalam gerakan kemahasiswaan di harap dapat memastikan dan memantapkan pelapis kepimpinan negara menuju ke tahun 2020 dan seterusnya tidak tergelincir dari syariat islam.

Mahasiswa tidak perlu membiarkan peranan tersebut di lepaskan kepada mereka dengan begitu sahaja. Seorang pemimpin belia, Saifuddin Abdullah menggariskan hujah sikap yang perlu ada kepada pelajar;

i. Pemikiran berlandaskan fakta, objektif, rasional, tidak emosional dan terbuka.
ii. Kritis terhadap apa-apa yang di dengar dan dilihat.
iii.Tegas,berani,amanah,jujur dan ikhlas.
iv. Berperibadi baik.
v. Sedar akan tanggungjawab dan haluan perjuangan.
vi. Aktif.
vii. Sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan nyawa.

Keadaan ini di sedari oleh Professor Bruno Bettleheim yang pernah menegaskan “para pelajar berasa bahawa mereka mempunyai tanggungjawab moral untuk memusnahkan masyarakat yang dianggap tidak bermoral,mereka telah sanggup membuat apa saja yang difikirkan perlu dan berkesan”.

b. Pengurusan masa
Mereka mestilah bijak membahagikan masa antara akademik dan kegiatan-kegiatan kokurikulum. Pelajar perlu mempunyai teknik yang terbaik menguruskan kegiatan kokurikulum kerana masa mereka adalah terbatas.

Di kalangan pelajar yang bergiat aktif,mereka perlu merancang masa dengan baik dan bijak supaya tidak terkejar ke sana ke sini dengan tergesa-gesa. Perancangan masa yang baik memudahkan dan menjimatkan masa mereka kerana tidak banyak masa yang terbuang dengan sia-sia.

Beberapa teknik yang biasa digunakan supaya tidak banyak masa terbuang dalam menyelenggarakan aktiviti atau projek;

Pertama: Menentukan secara tempatnya aktiviti-aktiviti yang hendak di jalankan dan menjangkakan kemungkinan yang akan berlaku serta mencari alternative-alternatif yang boleh dilaksanakan.
Kedua: Membuat jadual perancangan dengan baik dan melaksanakan kerja-kerja mengikut yang telah dirancangkan.
Ketiga: Menentukan masa digunakan dengan optimum supaya kerja-kerja dapat di bereskan pada masa yang telah di tetapkan.
Keempat: Mengelakkan membuat kerja bertindan atau beberapa kali membuat kerja yang sama
Kelima: Menentukan ahli-ahli organisasi dapat menepati masa dan tidak mengabaikan kerja-kerja yang telah dipertanggungjawabkan.

Mereka mesti bijak menentukan masa yang sesuai untuk sesuatu kegiatan/aktiviti yang bermanfaat. Tetapi dengan mempunyai sikap diatas sahaja tidak mencukupi sekiranya, pelajar sendiri tidak pandai mengatur dan mengendalikan masa dengan baik bagi memastikan mereka Berjaya dibidang akademik dan kokurikulum.

c. Bebanan akademik dan kerjaya
Sekarang adalah zaman di mana manusia terpaksa memburu pekerjaan. Dalam menghadapi fenomena ini, pelajar dipaksa menyiapkan diri mereka semasa berada di kampus lagi. Kejayaan dalam akademik bukan lagi menjadi penentu segala-galanya kerana saingannya terlalu tinggi. Kemampuan sampingan telah menjadi asas yang begitu penting dalam menentukan nilai seseorang siswazah di masa ini.

Kebolehan berkomunikasi dengan baik dan mempunyai kepimpinan yang tinggi memberikan ‘kredit’ kepada seseorang siswazah. Keadaan ini menyebabkan pelajar mesti terlibat aktif dalam aktiviti yang boleh membina diri semasa berada di kampus. Mereka sudah tidak ada masa lagi untuk bersuka ria semasa di kampus.

Mereka juga mesti peka dengan perkembangan semasa dan terlibat dengan masyarakat supaya tidak kekok apabila keluar dari kampus pengajian. Tetapi masih ramai di kalangan pelajar masih bersikap negatif terhadap kegiatan kokurikulum dengan mengatakan kegiatan ‘buang masa’ sahaja. Sebenarnya kegiatan-kegiatan kokurikulum boleh memberikan ‘advantage’ kepada mereka sama ada secara disedari ataupun tidak disedari. Perkembangan diri dan kerjaya mereka di masa hadapan banyak bergantung kepada kegiatan kokurikulum mereka semasa di kampus lagi.

d. Masalah kewangan
Faktor kewangan ini sedikit sebanyak telah menghalang kelancaran perjalanan program-program yang dirancangkan oleh organisasi persatuan belia/pelajar. Tidak ganjil jika didapati penganjur-penganjur program terpaksa menampung kekurangan perbelanjaan projek yang dilaksanakan dengan menggunakan wang saku sendiri bila projek tersebut menanggung hutang yang tak termampu dibayar oleh persatuan.

Keadaan ini menimbulkan rasa malas dan tidak bersemangat di kalangan aktivis mengadakan sesuatu program yang besar dan mencabar. Ekoran ini jadilah program yang dianjurkan oleh mereka sekadar ‘adanya’ sahaja. Malah ramai pelajar suka menjadi pemerhati sahaja daripada menjadi ‘aktivis’ disebabkan faktor tidak mampu menampung bebanan kewangan jika projek yang dilaksanakan.


Artikel di atas diambil daripada buku Membina Organisasi : Sebuah Panduan karangan Mohd Shuhaimi Embong (Cetakan Pertama 2007)