Ahad, Oktober 23, 2011

Hayati Deklarasi HIMPUN

DEKLARASI HIMPUNAN SEJUTA UMMAH (HIMPUN)

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yg tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam Negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, hendaklah memastikan supaya Undang-Undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendididkan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutama ibubapa mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman islam yang syumul agar membentengi anak dan waris terdekat dengan daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

Kesembilan:Menggesa kerajaan supaya membantu dan mengawal aktiviti pihak media samaada media samaada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh: Menyeru seluruh umat islam yang hadir di perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat me mpertahankan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) selaku badan induk yang menaungi lebih 100 buah persatuan mahasiswa di UKM kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur menggesa agar semua warganegara Malaysia khususnya yang beragama Islam agar meneliti dan menghadami tuntutan-tuntutan resolusi yang digazetkan di dalam HIMPUN semalam. (rujuk di atas)

Apakah himpunan itu berjaya atau tidak, ia subjektif. Di pihak Himpun tetap mengatakan perhimpunan itu berjaya dan mencapai matlamatnya untuk menghimpun umat Islam bagi menentang gejala murtad dan pemurtadan.

Satu sejarah telah dicatat bahawa satu himpunan diadakan oleh umat Islam untuk mempertahankan akidah mereka. Majlis semalam akan tercatat dalam sejarah untuk sepanjang abad ini.



Manakala di pihak lain yang menyinis program itu dengan menganggap ia sebagai gagal, ini jawapannya. Ukuran atau hujahnya ialah kepada jumlah kehadiran yang tidak sampai 10,000 sedangkan sasarannya ialah 100,000 daripada 1 juta yang diimpikan.

Bagi kita jumlah itu tidak perlu dijadikan ukuran sama ada himpunan itu berjaya atau tidak. Tetapi yang penting ialah objektifnya dan niat mereka yang menganjurkannya. Niat dan nawaitu itu penting dari jumlah 100,000. Kalau 100,000 hadir seperti perlawanan bola sepak tetapi tujuan dan niatnya tidak jelas maka ia tidak memberi apa-apa erti dan guna.

Seharusnya umat Islam sendiri harus merasa segan kerana mereka gagal untuk berhimpun dengan jumlah menggerunkan bagi membela agama mereka.

Agama adalah tapak dan kuasa pemerintahan adalah pengawal, suatu yang tiada tapak pasti akan runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti akan hilang.