Sabtu, Oktober 29, 2011

Mesyuarat Pra-Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Capai 2 Resolusi

Selesai sudah Mesyuarat Pra-Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 yang berlangsung sehari suntuk pada hari ini.

Mesyuarat penting ini yang dihadiri hampir 30 orang wakil kepimpinan mahasiswa Fakulti Pendidikan seluruh IPT di Malaysia ini telah membincangkan beberapa buah perkara dasar yang ingin dicapai dalam program ulung Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 yang dijadualkan bakal berlangsung 2- 4 Disember 2011 di Kompleks Tun Abdullah Mohd Salleh (KTAMS) , UKM Bangi.

Mesyuarat yang dirasmikan oleh saudara Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM), Lt M Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi dan diikuti pembentangan tentatif penuh program Konvesyen tersebut oleh saudara Muhammad Aiman Zulkefli selaku Pengarah Unit Program.

Seterusnya sesi sumbangsaran (brainstorming) isu pendidikan semasa yang melibatkan pembabitan semua hadirin.

Pelbagai permasalahan bersifat nasional dan dalaman kampus masing-masing telah dibawa. Antaranya isu lambakan mahasiswa Fakulti Pendidikan yang sudah lama bergraduasi (melebihi dua tahun) dan baru bergraduasi baru-baru ini.


RESOLUSI MESYUARAT
Di penghujung mesyuarat ini, terdapat dua buah resolusi yang disepakati bersama hadirin mewakili kampus masing-masing.

Dua (2) buah resolusi tersebut adalah;
1. Penubuhan Gabungan Mahasiswa Pendidik Kebangsaan yang bakal menggabungkan mahasiswa-mahasiswi seluruh IPT tempatan termasuk dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang dulu dikenali sebagai Maktab Perguruan.
2. Mengadakan Konvensyen Mahasiswa Pendidik Kebangsaan dalam tempoh berkala secara tahunan di seluruh IPT Malaysia.

Majlis bersurai dengan sidang rakaman video dan sesi bergambar bersama-sama pada pukul 5.30 petang.

Daripada pihak PMUKM khususnya daripada MPP Fakulti Pendidikan, saudara Mohd Izzuddin bin Pisol sangat-sangat mengalu-alukan kehadiran semua wakil pimpinan kampus masing-masing dan sumbangsaran yang sangat bermakna.

Semoga mesyuarat yang berlangsung pada siang hari tadi bakal membawa 1001 hikmah dan kesan kepada pembinaan generasi hadapan yang lebih berilmu dan intelektual.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI