Tindakan melibatkan kabinet dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) merupakan kesalahan dan bertentangan dengan semangat perlembagaan, tegas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari.
Katanya, Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan menyebut LKAN perlu disediakan oleh Ketua Audit Negara dan diserahkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.
"Perkara ini salah dan saya percaya boleh dibawa ke mahkamah. Dalam perlembagaan, di mana ada kabinet disebut (terlibat)? Lagi pun, kabinet sebahagian daripada 'player'.
"Secara logiknya juga, kalau bentang pada kabinet, buat apa perlu ada (jawatan) Ketua Audit Negara."
Untuk rekod, kedudukan Ketua Audit Negara merupakan antara jawatan tertinggi yang dilantik secara terus oleh Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.
Menghairankan
Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada 21 Oktober lalu menjelaskan, menjadi amalan badan tersebut sejak 1982, LKAN perlu dimaklumkan kepada kabinet sebelum dibentangkan atas alasan pihak kerajaan 'perlu mengetahui isu yang dibangkitkan' agar dapat bersedia 'memberi penjelasan apabila diperlukan'.
Prof Dr Aziz menjelaskan, walaupun Perlembagaan tidak menyatakan tempoh tertentu untuk LKAN dibentangkan di parlimen, akan tetapi Jabatan Audit Negara patut melakukannya dalam kadar segera demi menjaga integriti badan tersebut.
Ujar beliau, proses untuk laporan itu sampai ke Dewan Rakyat tidak memerlukan masa yang lama kerana baginda tidak perlu menyemak apa-apa kerana ia melibatkan perbelanjaan kerajaan.
Setakat ini, tambahnya, kelewatan itu masih 'amat misteri'.
Untuk rekod, Laporan Ketua Audit Negara 2010 telah diedarkan sebagai Kertas Perintah 40, Tahun 2011 kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada Isnin lalu
Berdasarkan amalan selama ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) biasanya dikemukakan bersekali dengan Laporan Ekonomi dan pembentangan belanjawan negara, tetapi isunya mula kontroversi apabila Laporan Ketua Audit Negara pada tahun ini diedarkan berasingan daripada hari pembentangan bajet.
Tarikh pembentangan Bajet 2012 adalah pada 7 Oktober 2011 yang lalu.