Pelajar lelaki di IPTA diberitakan semakin merosot bilangannya dari tahun ke tahun. Sebenarnya bukan sahaja di IPTA, malahan di IPTS dan kolej-kolej swasta juga situasi ini dilaporkan berlaku. Ini membimbangkan ramai pihak.
Jika keadaan ini berterusan, bermakna bekalan tenaga kerja profesional lelaki akan berkurangan di pasaran bagi tahun-tahun mendatang. Apa yang lebih menyedihkan, keadaan ini lebih ketara jika statistiknya dilihat dari segi bangsa Melayu. Jumlah pelajar lelaki Melayu, amat ketara berkurangan berbanding pelajar perempuan Melayu.
Mengapakah ini berlaku?.
Apabila hal ini di bawa kepada perbincangan umum, pelbagai pendapat dan rumusan dibuat. Namun sehingga kini, tiada satu langkah berkesan yang telah dilaksanakan bagi merubah situasi yang membimbangkan ini. Ada pihak berpendapat situasi ini wujud kerana perubahan budaya semasa.
Dalam perbincangan seterusnya, kita akan lebih menumpukan kepada pelajar-pelajar Melayu. Berkaitan perubahan budaya ini ialah perubahan akibat proses urbanisasi yang ketara dan pesat membawa kepada satu sikap baru dalam masyarakat Melayu iaitu sikap mementingkan kebendaan (materialistik).
Dalam dunia mengejar kebendaan ini, wang sentiasa berada di hadapan apabila keputusan ingin dibuat. Jadi tidak hairanlah apabila tamat persekolahan menengah atas (tingkatan 5), para pelajar Melayu, bersegera mendapatkan kerja. Apabila sudah bekerja dan mendapat wang, mereka mula membeli dan membelanjakan wang yang diperolehi untuk apa yang mereka idamkan selama ini. Akhirnya mereka mula seronok dengan corak kehidupan yang memang jauh menyeronokkan berbanding suasana di zaman persekolahan yang dikatakan tersekat (tidak bebas), kesempitan wang, dipenuhi peraturan dan sebagainya lagi.
Seterusnya, minat mereka terhadap pelajaran dan langkah untuk melanjutkan pelajaran semakin berkurangan. Dalam keadaan sebegini, remaja perempuan Melayu dikatakan bersikap lebih matang. Mereka memandang lebih jauh ke hadapan. Mereka masih melihat proses melanjutkan pelajaran sebagai satu keperluan. Mereka telah mula berfikir mengenai kehidupan bekeluarga yang memerlukan persediaan yang lebih baik. Bermakna pelajaran perlu diteruskan untuk potensi kehidupan yang lebih baik.
Sebaliknya pelajar lelaki, khasnya remaja lelaki Melayu, lebih mementingkan keseronokan yang mereka telah perolehi. Ingin bebaskan minda mereka dari segala sekatan dan kongongan yang dialami semasa di sekolah dulu. Boleh dikira dengan jari, berapa orang remaja lelaki pada umur sebegini yang mula memikirkan lebih jauh tentang kehidupan du masa depannya. Tentang keluarga yang akan dibinanya dan sebagainya lagi.Apa yang kerap terpacul dari mulut mereka ialah "Enjoy!!!".
Jika dibandingkan dengan bangsa lain, khasnya remaja Cina, kebanyakan mereka menghabiskan masa luang sementara menunggu peperiksaan ini untuk mempelajari ilmu-ilmu yang tidak mereka pelajari semasa di sekolah seperti menimba pengetahuan komputer, mengikuti kursus menaip dan trengkas, kursus meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris, mengikuti kursus-kursus teknikal, menguruskan perniagaan keluarga dan sebagainya lagi yang bukan sahaja mendatangkan keseronokan semata, tetapi memberi impak positif untuk kehidupan masa depan mereka.
Ada pihak pula menyatakan nisbah penduduk sekarang menjadi punca pelajar lelaki berkurangan di pusat pengajian tinggi. Kajian oleh JAWI menunjukkan nisbah lelaki perempuan adalah 1:14, yakni satu lelaki bagi setiap 14 orang wanita. Jika hal ini benar (dan memang telah dinyatakan bahawa suatu masa nanti nisbah lelaki wanita akan meningkat menjadi 1:50), maka kesannya tentulah seperti situasi yang berlaku sekarang ini.
Tapi ini tidak dapat membuktikan kenapa apabila ada sekolah, jumlah calon yang mengambil SPM adalah seimbang antara lelaki dan perempuan, tetapi selepas keputusan ke IPT diumumkan, hanya sebilangan kecil calon lelaki berjaya menjejakkan kaki ke IPT.
Ada pula pihak menyatakan, sikap memilih lelaki dan suka mengambil jalan mudah merupakan satu lagi faktor penyumbang kepada kemerosotan ini. Pelajar-pelajar lelaki yang memohon ke IPT memohon kursus bukannya mengikut kelulusan dan pencapaian mereka, sebaliknya mengikut populariti dan bidang pekerjaan yang boleh diceburi selepas ikuti pengajian.
Akibatnya mereka tersalah membuat pilihan, diletakkan dalam senarai calon simpanan yang panjang dan tempat di IPT tidak diperolehi. Jika selepas tamat SPM, mereka juga memilih jenis kerja, mereka juga memilih jenis kursus yang hendak diikuti, terlalu memilih universiti dan sebagainya lagi. Akhirnya, sikap memilih mereka memakan diri.
Ada pihak yang mengemukakan hujah yang lebih logik dan jelas berlaku, iaitu pencapaian lemah pelajar-pelajar lelaki ketika peringkat SPM menjadi sebab utama mereka kandas ke IPTA dan IPTS. Faktor ini memang nyata kebenarannya. Tapi kita masih tercari-cari kenapa para pelajar lelaki lepasan SPM, peratus yang berjaya dalam peperiksaan berkenaan juga nampaknya makin merosot.
Jelasnya, dengan jumlah calon lelaki yang makin berkurang dan ditambah lagi dengan sikap sentiasa 'enjoy' dan ambil mudah menyebabkan mereka kandas selepas SPM dan tidak dapat menjejakkan kaki ke menara gading. Hanya pelajar-pelajar lelaki yang rajin, tekun berusaha serta tahu impian dan matlamat masa depan mereka berjaya ke sana.
Guru Prihatin