Jumaat, Oktober 21, 2011

PMUKM: Sila Hormati Kesarjanaan Aziz Bari

PMUKM menganggap tindakan penggantungan Pakar Perlembagaan, Prof Dr. Aziz Bari sebagai suatu kerugian dalam dunia akademik.


Presiden PMUKM, Leftenan Muda Ahmad Muzzammil Muhd Hairi berkata, “PMUKM telah mengikuti perkara ini dan kami beranggapan penggantungan tugas beliau adalah tidak wajar dan merugikan persekitaran akademik universiti. Tidak harus bagi pengurusan sebuah taman ilmu (UIA) bertindak di luar sempadan intelektual dan budaya ilmu yang amat dijunjung selama ini”. 

“Seharusnya pihak pentadbiran UIA perlu meminta penjelasan daripada beliau terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil apa-apa keputusan. Justeru, kami bersepakat dengan tuntutan yang dikemukakan oleh Presiden MPP UIA, Sdra Mohamad Iqbal Ab Wahab bahawa pihak UIA perlu menjelaskan isu ini kepada seluruh warga UIA dan IPTA lain amnya, menarik balik penggantungan terhadap beliau (Aziz Bari), dan menjalankan sesi pengadilan terbuka.”

“Mahasiswa menolak campur tangan pihak ketiga yang kepentingan politik dan peribadi berhubung pandangan beliau tentang aspek perundangan yang perlu diketahui oleh masyarakat awam  mengenai institusi diraja dan peruntukan perlembagaan. Profesor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara.”

“Justeru katanya, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi ruang kepadanya untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat. Atas prinsip kesarjanaan dan kebebasan akademik, pendapat beliau haruslah diraikan, sejajar dengan dengan kepakaran beliau (Perlembangaan Negara).”

PMUKM optimis bahawa peristiwa tersebut mampu mencetuskan gerakan kesedaran besar-besaran rakyat dan warga universiti terhadap prinsip kesarjanaan, kebebasan akademik dan konsep pembudayaan ilmu.

“PMUKM yakin bahawa peristiwa ini akan melahirkan suatu kesedaran besar-besaran di kalangan rakyat dan warga universiti  terhadap nilai intelektual dan pembudayaan ilmu. Kebebasan akademik diasaskan daripada budaya ilmu. Justeru, ia perlu disokong oleh semua pihak.”