Isnin, Oktober 10, 2011

PM-UKM respon insiden sebenar

Blog PM-UKM sebelum ini enggan menyiarkan sebarang kenyataan berhubung insiden yang melibatkan dua orang MPP ; saudara Kamal dan Mohd Abdullah di atas kapasiti ia adalah hal peribadi dan sama sekali tidak melibatkan urusan PMUKM.

Justeru itu, setelah pihak yang dituduh telah mengemaskini status beliau di laman sosial Facebook, dan pihak PM-UKM telah mendapat penjelasan panjang lebar daripada saksi-saksi yang melihat insiden tersebut pada petang Jumaat yang lalu, maka di sini pihak PM-UKM merasakan ada keperluan untuk menjawab polemik yang sengaja ditimbulkan oleh pihak ketiga.

Saudara Mohd Abdullah bersama Faizal Ahmad komited menyelesaikan isu kelewatan JPA

RANGKA CERITA KURANG TEPAT
- Kejadian disahkan oleh saksi-saksi berlaku di dalam bilik PMUKM sekitar pukul 3 petang hari Jumaat yang lalu. Ini bercanggah dengan laporan polis bahawa Kamal 'dicekik' SEMASA PERJALANAN ke pejabat PMUKM. Harus diingatkan laporan palsu boleh juga disabitkan kesalahan cuba menipu sekiranya dibawa ke mahkamah.



- Saksi-saksi mengesahkan TIADA KATA-KATA KESAT dilontarkan oleh saudara Mohd Abdullah, sebaliknya saudara Kamal dengan niat provokasi telah menyebut "emosi, emosi" kepada saudara Mohd Abdullah. Justeru itu tidak timbul perkataan "BINATANG" sebagaimana yang turut dilaporkan di dalam laporan polis.
- Klimaks penceritaan yang kurang tepat ini adalah berkenaan saudara Mohd Abdullah telah MENCEKIK saudara Kamal. Ini sekali lagi dapat dibuktikan secara logik akal fizikal Mohd Abdullah yang bertangan sebelah (kanan) dan tidak stabil. Mana mungkin saudara Mohd Abdullah boleh 'berPUSING ke arah saudara Kamal dan menCEKIK leher Kamal' ? Bagaimana pula Kamal tidak mampu melawan Mohd Abdullah sekiranya benar Mohd Abdullah memang berniat menyerang Kamal ? Kekuatan orang kelainan upaya (OKU) tidak sama dengan orang yang normal. Jelas secara logik akal dan pandangan yang jujur langsung sama sekali tidak dapat menerimanya.
- Ditambah lagi oleh frasa "..Datang seorang rakan Abdullah (tidak dipastikan nama) cuba meleraikan namun Abdullah masih buas dan ingin menerkam saudara Kamal Ali.." jelas direka-reka dan berniat meraih simpati pembaca serta ingin memburuk-burukkan saudara Mohd Abdullah dengan menggambarkan beliau sudah benar-benar hilang pertimbangan. Sedangkan menurut saksi, saudara Mohd Abdullah telah ditarik keluar dari kawasan kejadian dan masuk ke bilik oleh MPP saudara Arif Misrol yang menyedari ketegangan yang bakal berlaku. Menurut saksi, 'drama' ini sengaja diada-adakan demi menutup malu Kamal yang jelas kelihatan pucat dan mahu lari keluar dari bilik PMUKM tapi terhalang oleh orang ramai yang mengunjungi gerai Pesta Komputer (PC Fair) petang itu.

CUBAAN MENJATUHKAN KREDIBILITI PMUKM
'Drama Minggu Ini' yang dicetuskan oleh blog MPP Aspirasi (yang jarang-jarang sekali update blog dan melaporkan pergerakan MPP Aspirasi) bersama-sama laporan polis oleh saudara Kamal, lalu diikuti blog Aspirasikampus (yang baru setelah admin blog Aspirasi yang lama enggan menyerahkan password akaun blog) dilihat cuba mengaitkan insiden ini dengan kredibiliti dan komitmen penuh MPP GMUKM dalam menerajui PMUKM tetapi gagal.

Tindakan mengheret saudara Presiden PMUKM, Lt M Ahmad Muzzammil yang mesra mahasiswa dan pentadbiran Universiti sebagai "..salah satu kelompangan dan keaiban PMUKM yang semakin tertekan akibat salah tadbir pimpinan presidennya.." adalah jelas betul-betul terpalit kembali kepada kepimpinan MPP Aspirasi. Ibarat meludah ke langit, akhirnya jatuh ke batang hidung sendiri apabila kepimpinan MPP Aspirasi yang gagal bertindak selaku 'check & balance'  prestasi PMUKM sesi ini. 

MPP Aspirasi dilihat sudah tidak relevan untuk berkhidmat sebagai seorang MPP apabila banyak kali bertindak membisu atau menarik diri daripada jawatankuasa program-program yang dirancang tanpa sebab yang munasabah; biarpun telah dikeluarkan surat lantikan oleh Presiden PMUKM sendiri. Ini jelas benar-benar menggugat kreditibiliti batang tubuh MPP Aspirasi yang pada awalnya menyuarakan hasrat mereka sebagai 'oposisi yang baik' di dalam PMUKM.

Sebaliknya kredibiliti PMUKM sesi 2010-2011 ini semakin meningkat dan mendapat pujian oleh banyak pihak khususnya di kalangan pihak pentadbir di unit-unit di dalam UKM khususnya apabila berjaya dalam menghubungkan dan membawakan suara-suara mahasiswa terus kepada pihak pentadbiran. Ini sekaligus berjaya mengurangkan karenah birokrasi di pihak pentadbiran UKM yang terjadi sekian lama dan sedia maklum.

PMUKM juga bersama-sama isu-isu kebajikan mahasiswa yang menjadi teras agenda utama kepimpinan PMUKM sesi ini dengan kebanyakan mengikut perancangan dan perlaksanaan manifesto  sama ada telah, sedang atau akan dilaksanakan.

Justeru itu tidak hairanlah banyak pihak yang cemburu dan hasad dengki dengan prestasi pencapaian PMUKM sesi kali ini yang nyata jauh berbeza daripada prestasi pencapaian PMUKM sesi-sesi terdahulu.


PMUKM BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI
Justeru itu ketika PMUKM diasak oleh pelbagai pihak sama ada di kalangan MPP Aspirasi (yang tidak menyumbang apa pun dalam perjalanan PMUKM sejak dilantik pada bulan Mac yang lalu sebaliknya lebih banyak mengkritik program-program termasuk Pesta Konvokesyen yang baru selesai dijalankan) ataupun di kalangan penggerak-penggerak Kelab Aspirasi (yang semakin berkurangan sehingga tahap terpaksa merekrut mahasiswa-mahasiswi tahun 1 seawal Bulan Mesra Pelajar -BMP) dan juga di kalangan alumni-alumni Aspirasi (yang terpaksa 'berkhidmat' lebih masa akibat ketiadaan penggerak Aspirasi di kolej-kolej) ; Persatuan Mahasiswa UKM tetap melangkah 'Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti' melalui program-program dan aktiviti-aktiviti yang bertujuan menjana mahasiswa UKM yang berdaya saing dan kebolehpasaran selain tidak melupakan nilai-nilai yang terkandung di dalam Falsafah UKM.

PMUKM secara dasarnya berpendapat, insiden yang berlaku di antara saudara Kamal dan Mohd Abdullah merupakan kes terpencil dan bersifat peribadi serta tidak perlu ditokok-tambah lagi oleh mana-mana pihak yang bakal menampakkan keburukan dan kelemahan peribadi masing-masing.

PMUKM juga menyarankan kedua-dua pihak segera menyelesaikan insiden ini demi keberlangsungan gerak kerja agenda kebajikan, keilmuan dan penerapan nilai-nilai mulia di kalangan mahasiswa UKM.

Apa pun diharapkan artikel ini tidak disalahanggap oleh mana-mana pihak kononnya sebagai langkah menutup isu yang sedang berlaku. Sebaliknya ia perlu dilihat pandangan yang telus dan jujur berdasarkan saksi-saksi dan pengakuan oleh si tuduh sendiri.


.: Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti :.