Ketika ini, semestinya kebanyakan mahasiswa sudah menamatkan tempoh latihan industri yang menjadi suatu kewajipan dalam jam kredit di kebanyakan universiti. Sedikit sebanyak, banyak perkara bermanfaat mahupun pengalaman yang telah diperoleh sepanjang tempoh ini. Sesuatu yang pastinya asing apabila selama ini terlampau selesa dengan suasana di dalam bilik kuliah yang terlalu bergantung kepada teori semata. Setelah 2 bulan didedahkan dalam latihan industri, ramai yang sudah tercelik mata akan realiti sebenar suasana kompetitif dalam dunia pekerjaan. Namun begitu, berapa ramaikah yang melihat tempoh latihan industri ini sebagai tempoh yang penting dalam menentukan halatuju karier pada masa akan datang?
Apakah yang dicari di dalam latihan industri?
Pemilihan tempat untuk melakukan latihan industri merupakan perkara terpenting dalam menentukan hala tuju masa depan anda. Ianya mungkin boleh dijadikan batu loncatan untuk anda pergi lebih jauh dengan mengenali lebih ramai orang di dalam industri tersebut. Apabila kehadiran anda disedari, peluang agak cerah untuk anda ditempatkan di situ pada masa mendatang. Adalah suatu kerugian tempoh ini hanya sekadar untuk anda ‘punch card’, berada di pejabat, ber’facebook’, atau makan dengan niat utama memenuhkan catatan laporan harian. Menjadikan diri aktif dan sentiasa bersama dengan majikan membuatkan kehadiran serta potensi anda disedari oleh orang di sekeliling. Di sini juga pentingnya kemahiran interpersonal yang membuatkan anda disenangi. Amat kritikal untuk tempoh ini menjadi ‘turning point’ ke manakah hala tuju anda selepas ini. Kebanyakan yang telah memasuki industri yang menukar hala tuju karier di pertengahan jalan disebabkan tiadanya pengetahuan khusus dan pengalaman berada di tempat tersebut. Mungkin kerana terpaksa atau melihat betapa prestijnya sesebuah institusi tersebut tanpa menyedari adakah ia menyediakan apa yang anda mahukan bertepatan dengan minat anda yang akan menjadi ‘driving factor’ untuk kekal di situ.
Branding yourself
Pepatah Inggeris ada menyatakan, ‘It’s not just about how good you are but also who do you know.’ Budaya ‘kabel’,‘connection’ dan ‘nepotisme’ tidak dinafikan amat berleluasa di negara ini samada dalam arena politik, sektor pekerjaan, hinggalah untuk mendapatkan tempat di sesuatu institusi pengajian kepada mereka yang tidak layak. Berbalik kepada pepatah tadi, kadang kala penting untuk mahasiswa dalam ‘menjenamakan’ (self branding) diri mereka untuk menarik perhatian pihak majikan terutamanya di dalam resume. Dengan ini, pihak industri akan dapat melihat potensi dalam mahasiswa tersebut dari awal yang boleh dijadikan aset berguna kepada mereka. Budaya ‘connection’ ini akan menjadi negatif sekiranya ianya dijadikan platform kepada mereka yang tidak layak namun dapat mengisi sesuatu tempat disebabkan ‘favoritism’ yang nyata bercanggah dengan prinsip meritokrasi yang ingin dicanangkan pihak kerajaan. Namun sekiranya tiada yang menyedari potensi anda, sejauh mana anda mampu melangkah?
Cuba mencari suasana kompetitif di firma atau konglomerat yang terkemuka
Ketika penulis berpeluang menghadiri sesetengah acara melibatkan ramai pemain utama di dalam industri, banyak input yang boleh diperoleh dan dikongsi daripada mereka berkenaan kebolehpasaran graduan hari ini. Salah satu cara penjenamaan kepada mahasiswa adalah dengan mendapatkan tempat di firma-firma terkemuka di negara ini supaya ‘track record’ ini boleh menjadi faktor yang boleh menarik pihak majikan untuk memberikan anda pekerjaan tetap. Majikan tidak akan menyebut siapa dia tetapi ‘dia yang dari ZICO, Azmi & Associates, Skrine’ dan sebagainya. Bergantung juga kepada di mana anda meletakkan sasaran untuk 10 tahun akan datang, di mana anda akan berada. Sekiranya impian anda untuk berada dalam pihak tertinggi pentadbiran universiti atau meneruskan perniagaan milik keluarga tanpa perlu ke fima-firma yang telah disebutkan tadi, teruskan asalkan anda mempunyai hala tuju dalam hidup dan anda melakukan sesuatu ke arah itu. Apa yang paling penting adalah jangan sentiasa meletakkan diri dalam keadaan selesa dan takut untuk keluar dari kepompong universiti. Hidup sekadar untuk cukup makan atau menjadi pemain utama dalam sesuatu industri, itu yang perlu kita fikirkan.
Peranan pihak universiti
Setiap universiti di negara ini pastinya mempunyai portfolio khusus yang bertanggungjawab mewujudkan platform jaringan antara mahasiswa dengan pihak industri. Penulis memuji tindakan pihak universiti yang mengadakan banyak program mahupun MOU dengan pihak industri dalam tujuan meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa. Pelbagai kursus telah dijalankan dalam menghasilkan mahasiswa yang lengkap pakejnya. Komunikasi tidak dinafikan antara nic utama yang perlu ditekankan dalam penghasilan graduan yang berkualiti terhadap pasaran. Sekian lama, ini merupakan penghalang utama dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran di mana-mana universiti sekalipun. Pendedahan kepada firma-firma terkemuka akan secara tidak langsung membiasakan mahasiswa dengan persekitaran berbahasa Inggeris dalam interaksi baik dengan pihak majikan mahupun klien. Suasana itu tidak boleh dicipta, kita akan terikut dan terbiasa apabila kita berada di dalamnya. Lihat, betapa pentingnya penempatan di firma-firma yang kompetitif ini dalam proses ‘selfbranding’.
Konklusi
Terakhir sekali, terserah kepada mahasiswa untuk melihat tempoh latihan indutri (internship) ini sebagai tempoh paling kritikal dalam perjalanan karier anda ataupun sebaliknya. Pepatah ada mengatakan, ‘Fail to Plan is Planning to Fail.’ Pihak universiti di dalam hal ini juga seharusnya bukan lagi menjadikan tahap ‘employability’ berapa ramaikah mahasiswa yang berjaya mendapat pekerjaan sebagai kayu ukur. Namun kita ingin melihat lebih ramai graduan berjaya menembusi firma-firma terkemuka di negara ini, lebih membanggakan bekerja untuk organisasi antarabangsa seperti United Nation. Kepada mahasiswa, jangan jadikan label ‘mahasiswa’ membuatkan anda tidak boleh diberikan sekecil-kecil kerja kerana setiap kejayaan itu adalah bermula dari bawah.
(Khas untuk Pelajar yang menghadiri Program Bicara Mobiliti pada 5 Oktober 2011, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu dalam usaha mencari tempat Latihan Industri yang sesuai dengan anda)
Disediakan oleh,
MUHAMMAD HARIS BIN AZMAN bersama dengan PHANG SIEW CHIN
SEKRETARIAT JARINGAN INDUSTRI
MPP FAKULTI UNDANG-UNDANG UKM
Program Bicara Mobiliti 2011 dianjur pada 5 Oktober 2011 oleh Secretariat Jaringan Industri MPP FUU bersama dengan PERUNDANG.