Isnin, Jun 13, 2011

Jalinan Mesra PMUKM Bersama PPU


Meneruskan misi ramah mesra bersama setiap unit-unit dan jabatan di UKM, pada 2 Jun 2011 yang lalu, barisan PMUKM yang diwakili oleh 5 orang MPP terdiri daripada Speaker PMUKM iaitu Saudara Arif Bin Misrol, Naib Presiden 2 Saudari Muslimah Marsi, Naib Presiden 3 Saudara Faizal Ahmad, MPP Noraini Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan PMUKM dan juga MPP Noriah selaku Biro Akademik dan Keintelektualan PMUKM beserta 2 orang setiausaha kerja MPP iaitu Siti Zubaidah Ismail dan Emy Marhin Aman telah mengadakan lawatan ke Pusat Pengajian Umum (PPU).


Dengan membawa 2 objektif utama Lawatan Ramah Mesra ini iaitu untuk membina kerjasama dengan pihak pentadbiran dan menekankan peranan PMUKM sebagai agen penghubung dan penyampai maklumat antara pihak pentadbiran dan mahasiswa, jalinan hubungan yang baik dan utuh telah berjaya diwujudkan bersama pihak PPU dalam membincangkan pelbagai isu mahasiswa dan permasalahan yang timbul.

Antara isu yang dibangkitkan dalam pertemuan yang dipengerusikan sendiri oleh Pengarah Pusat Pengajian Umum UKM iaitu Profesor Dr. Khairul Anwar Mastor ialah beberapa permasalahan yang berlaku mengenai semester pendek. Walaupun isu ini telah selesai, namun PMUKM telah mengambil inisiatif untuk memohon penjelasan yang lengkap dari pihak PPU agar masalah semester pendek tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Menurut pihak PPU, InsyaAllah mereka dalam proses untuk membuat penyelarasan bersama pentadbiran Fakulti Sains Teknologi yang kebanyakan pelajarnya mengalami percanggahan waktu untuk mengambil subjek PPU seperti workplace dan academic communication sewaktu semester panjang sehingga menyebabkan ramai yang berebut untuk mendaftar semester pendek untuk mengambil subjek berkenaan. Mengikut perbincangan yang telah dijalankan, waktu khusus akan diberi kepada subjek PPU tanpa ada percanggahan dengan waktu makmal pelajar FST. Dengan itu, tidak akan timbul masalah percanggahan waktu sehingga pelajar terpaksa menggugurkan subjek PPU untuk mengutamakan waktu makmal. 


Selain itu, Timbalan Pengarah PPU, Prof. Madya Dr Khalim Zainal turut memberi penekanan bahawa semester pendek ini diwujudkan khusus untuk pelajar-pelajar yang akan tamat pengajian. Oleh itu, bagi pelajar tahun satu, mereka tidak boleh mengambil semester pendek dan diharapkan dapat memberi laluan kepada pelajar-pelajar senior yang perku menghabiskan subjek PPU yang masih berbaki.

PMUKM juga ada menerima aduan daripada mahasiswa mengenai isu subjek PPU yang tidak dimasukkan di dalam pointer walaupun perlu mengambil peperiksaan. Dan untuk menjawab persoalan ini, pihak PPU mengulas bahawa hal ini bergantung kepada setiap fakulti. Dan dari pihak PMUKM, setakat ini, dilihat bahawa tiada masalah bagi setiap fakulti kecuali fakulti kejuruteraan memandangkan aduan hanya diterima dari pelajar fakulti berkenaan. Dan perkara ini akan dirujuk kepada pihak fakulti.

Mengenai masalah yang dilontarkan pelajar iaitu berkaitan subjek Bahasa Inggeris, pihak PMUKM difahamkan bahawa terdapat pelajar yang perlu mengambil ketiga-tiga peringkat subjek Bahasa Inggeris iaitu bermula dari Foundation English, Academic Communication dan seterusnya ke Workplace walaupun dicatatkan dalam pendaftaran kursus, mereka hanya perlu mengambil 2 kali sahaja subjek Bahasa Inggeris. Hasil penerangan yang telah diberikan oleh pihak PPU, situasi ini hanya dialami oleh pelajar yang mendapat keputusan MUET band 1 dan 2 sahaja. Bagi kelompok pelajar ini, mereka dikendaki mengambil ketiga-tiga peringkat kursus Bahasa Inggeris. Bagi kelas Foundation English, ianya merupakan kelas tambahan dan prasyarat untuk mengambil subjek academic communication dan seterusnya ke subjek workplace. Mereka perlu mengikuti kelas Foundation sehinggalah mendapat keputusan lulus bagi menjejaki peringkat seterusnya. Bagi subjek Foundation English ini, ianya tidak termasuk dalam jam kredit bagi subjek Bahasa Inggeris tetapi merupakan syarat untuk pelajar memasuki kelas Academic Communication.

Pihak PMUKM berharap agar setiap mahasiswa tidak meletakkan persepsi bahawa subjek PPU yang ditawarkan merupakan subjek yang tidak penting memandangkan ianya bukanlah subjek major yang perlu diambil. Setiap pelajar perlu faham bahawa subjek yang ditawarkan oleh pihak PPU merupakan kursus wajib universiti dan perlu mendapat taraf lulus bagi menamatkan pengajian. Seharusnya setiap pelajar perlu ikhlas dalam menuntut ilmu dan bukan untuk mendapatkan ‘A’ semata-mata. Perkara ini turut menjadi harapan pihak pentadbiran PPU agar mahasiswa UKM tidak mengambil ringan subjek yang mereka ditawarkan. Dengan sifat yang ditanamkan ini, pastinya pada masa akan datang, masalah semester pendek dapat dielakkan dan diatasi. 

Akhirnya, jutaan terima kasih diucapkan dari pihak PMUKM buat pihak pentadbiran PPU atas kesudian menerima lawatan kami. Mudah-mudahan lawatan tersebut akan melancarkan gerak kerja pada masa akan datang dan merapatkan lagi jalinan mesra yang terbina. Syabas diucapkan di atas segala kesungguhan pihak PPU dalam melahirkan mahasiswa UKM yang berketrampilan dan memiliki nilai-nilai murni melalui kursus-kursus yang ditawarkan.
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI