Pada tanggal 3 Jun 2011 yang lalu, satu mesyuarat yang mengumpulkan pelbagai peringkat pentadbiran telah dijalankan bagi membincangkan mengenai penstrukturan semula kursus Pusat Pengajian Umum yang dijangka akan dijalankan bermula dengan mahasiswa tahun satu yang akan mendaftar masuk pada bulan September ini. Turut hadir dalam perbincangan itu adalah 2 orang MPP UKM iaitu MPP Azidah Mashan selaku Bendahari Kehormat dan MPP Noraini Jumahir selaku Pengerusi Biro Perpaduan dan Kemasyarakatan. Tujuan perbincangan ini diadakan adalah untuk memberi taklimat mengenai penstrukturan semula kursus-kursus di Pusat Pengajian Umum (PPU) di samping untuk meminta maklum balas dari pelbagai pihak untuk penambahbaikan cadangan penstrukturan tersebut.
Seperti yang kita sedia maklum, dengan berpaksikan kepada matlamat ke arah penghayatan falsafah pendidikan berpandukan nilai-nilai murni dan sejarah, kebolehan untuk berfikir dan berkomunikasi secara kreatif dan kritis dengan menggunakan kemahiran kuantitatif, menyalurkan ilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang, melatih kemahiran berbahasa Melayu dan Inggeris; di samping memberi pendedahan kepada ciri-ciri ketrampilan intelektual, pusat pengajian umum telah menawarkan kepada para pelajar beberapa bentuk kursus yang menjadi pelengkap kepada kursus-kursus yang disediakan dalam program pengkhususan pelajar itu sendiri. Daripada segi pengendaliannya, kursus-kursus yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Umum terbahagi kepada dua jenis iaitu:
1. Kursus-kursus asas:
i. Kursus wajib Universiti (U1)
ii. Kursus-kursus Liberal (U2 & U3)
2. Kursus-kursus kemahiran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu (U4).
Bagi melicinkan lagi perjalanan kursus dan memastikan ianya merangkumi 8 domain kemahiran insaniah yang digariskan oleh pihak universiti, penstrukturan semula kursus-kursus Pusat Pengajian Umum telah dilakukan dan kursus yang baru telah dirangka iaitu diberi nama Kursus Pembangunan Diri. Kursus yang dirancang untuk dijalankan bagi 2 semester ini menggariskan mod pembelajaran berasaskan kursus bagi semester 1 manakala pada semester 2 berasaskan projek, aktiviti atau khidmat. Kursus Pembangunan Diri ini merupakan kursus baru setelah U2 dan U3 distrukturkan. Oleh itu, berdasarkan perancangan yang diatur, bermula dengan pengambilan pelajar baru tahun satu yang akan datang. mereka tidak perlu mengambil U2 dan U3, sebaliknya hanya mengikuti Kursus Pembangunan Diri, di samping kursus keusahawanan dan inovasi yg ditawarkan oleh CESMED.
Kursus baru yang merupakan kursus wajib universiti ini masih di dalam perancangan yang teliti dan maklum balas dari pelbagai pihak sedang dikumpulkan. Diharapkan dengan usaha yang baik ini dapat membantu melahirkan mahasiswa/wi UKM yang lebih cemerlang baik dari segi akademik, sahsiah mahupun kemahiran insaniah (softskill).
Syabas diucapkan kepada pasukan 'task force' dari Pusat Pengajian Umum yang bertungkus lumus merangka kursus bagi meningkatkan lagi kualiti mahasiswa/wi UKM.
Noraini jumahir
PMUKM 10/11