Selasa, Jun 14, 2011

Kursus Pemantapan Organisasi Berjalan Lancar

Bertunjangkan misi 'Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti', barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) telah mengambil peluang mengumpulkan barisan kepimpinan persatuan-persatuan  mahasiswa seluruh UKM dalam satu kursus pemantapan organisasi iaitu '1 Malaysia Leadership & Youth Training'. Program ini diadakan pada 10-12 Jun 2011 di Excel Training & Country Resort, Negeri Sembilan. Seramai 76 orang peserta dari Jawatankuasa Kebajikan Siswa/Siswi (JAKSA), persatuan mahasiswa fakulti, persatuan anak negeri dan persatuan-persatuan lain termasuklah Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) dan wakil dari kampus UKM Cheras iaitu dari Persatuan Mahasiswa Fakulti Perubatan (PERSIAP).

Bertemakan slogan "Kepimpinan Bersepadu, Organisasi Bermutu", program yang julung kali diadakan ini diharapkan dapat memberi sedikit sebanyak input mengenai pengurusan organisasi yang terancang di samping memecahkan jurang antara PMUKM dengan persatuan-persatuan yang ditubuhkan di UKM. Pelbagai aktiviti diadakan seperti jungle trekking, explorace, forum, slot santai dan ceramah. Sesi santai sejenak bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ybhg. Prof. Ir. Dr. Othman Karim telah memberi peluang kepada para peserta untuk mengemukakan sebarang permasalahan dan cadangan penambahbaikan terus kepada beliau. Beliau menyambut baik inisiatif PMUKM mengumpulkan semua barisan kepimpinan persatuan dalam program ini En. Musa selaku wakil JPPel turut hadir.


Ceramah 'A Leader as a Role Model' oleh En. Muhammad Syaari Abd Rahman dari konsultan IP Minda menunjukkan betapa pentingnya pemimpin untuk  menguasai 'intelligence qoutient', 'emotional quotient 'dan 'spiritual quotient' dengan mengambil contoh dari seorang tokoh kepimpinan Islam iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menawan Kota Konstantinopel atau Istanbul dalam usia yang muda.



Forum 'UKM System Knowldege' yang dibarisi ahli panel, Cik Najwa selaku wakil JPPel dan En.Nasir Amir,wakil Wisma Aman. Forum ini secara dasarnya telah mendedahkan kepada para peserta mengenai bidang tugas Wisma Aman dan JPPEL serta aduan-aduan yang biasa diterima. 



Sesi sejenak bersama PMUKM memberi ruang kepada para peserta untuk lebih mengenali barisan kepimpinan PMUKM  dan mengutarakan sebarang masalah yang timbul dalam persatuan masing-masing. 'Jungle trekking' telah menguji ketahanan fizikal peserta apabila mereka perlu mendaki bukit yang curam. Bagi aktiviti 'explorace' para peserta dikehendaki menyelesaikan semua cabaran yang diberikan termasuklah berakit, sumpit, rempuh halangan, kuiz dan sebagainya.










Sepanjang program ini berlangsung, para peserta telah memberikan kerjasama dan komitmen yang terbaik kepada urusetia walaupun terpaksa tidur di khemah pada malam pertama sebelum berpindah ke bilik penginapan yang lebih selesa. Satu resolusi telah disepakati bersama di akhir program ini iaitu mengadakan MOU antara PMUKM dan persatuan-persatuan lain agar dalam setiap program  persatuan dihadiri oleh semua pihak.





Pada dasarnya program ini diadakan adalah untuk meningkatkan lagi mutu pengurusan organisasi para peserta dan juga PMUKM dalam usaha meningkatkan imej UKM ke persada antarabangsa seiring dengan tema PMUKM, Bersama Mahasiswa Merealisasi Varsiti. Program ini memberikan seribu kenangan pahit dan manis kepada ksemua para peserta dan kesemua pihak yang terlibat dalam menjayakannya. Diharapkan kepada semua para peserta agar perhubungan silaturrahim  tidak terhenti disini dan diteruskan supaya kita semua dapat bekerja dalam suasana yang aman dan harmoni.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI