Sekretariat Pesta Konvokesyen Ke-39 di bawah pimpinan Saudara Mohd Faizal Ahmad sebagai Pengarah Eksekutif sudah pun menjalankan gerak kerja awal sejak April. Tema Pesta Konvokesyen Ke-39 ini adalah Apresiasi Melestari Kecemerlangan.
Perkampungan Ahli Jawatankuasa Dasar (AJKD) baru bermula pada 13 Jun 2011 lalu dan akan tamat pada 13 Ogos 2011. Pada peringkat awal ini, beberapa bengkel telah dianjurkan bagi memantapkan lagi AJKD iaitu Bengkel Pemasaran dan Bengkel Komunikasi Koperat. Selain menjalani latihan kerja melalui bengkel, latihan spiritual dan jasmani juga turut dititikberatkan melalui slot ceramah dan riadhah.
Pesta Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan satu acara tahunan yang gilang-gemilang dan juga merupakan acara yang terbesar anjuran Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) sesi 2010/2011 dalam meraikan para mahasiswa/i yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka. Pada tahun ini, Sekretariat Pesta Konvokesyen Ke-39 di bawah kendalian Presiden PMUKM sekali lagi akan menganjurkan projek mega ini. Pesta Konvokesyen UKM telah masuk tahun yang ke-39 dan sepanjang tempoh tersebut Pesta Konvokesyen telah mencetuskan pelbagai pembaharuan yang memberi impak mendalam pada seluruh warga UKM serta masyarakat luar. Pesta Konvokesyen mencerminkan imej universiti sebagai pusat pengembangan ilmu dan pembentukan modal insan yang berkualiti dan mempunyai nilai tambahnya yang tersendiri. Pelaksanaannya juga dapat dilihat sebagai wadah yang menghubungkan mahasiswa/i UKM dengan organisasi dan masyarakat luar. Program terbesar universiti ini akan disempurnakan oleh Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pesta Konvokesyen telah berjaya merealisasikan kesinambungan kerjasama dengan pelbagai organisasi korporat terkemuka di seluruh negara. Kerjasama yang dimeterai dari segi perkongsian maklumat, material, dan kewangan adalah bagi membolehkan Pesta Konvokesyen dapat dilaksanakan dengan penuh meriah dan jayanya. Selain itu, ia berjaya memartabatkan nama dan imej universiti di mata masyarakat tempatan sebagai sebuah universiti yang mampu melahirkan para intelektual berdedikasi, berketrampilan, berwawasan dan berkepimpinan.
Sejajar dengan status universiti penyelidikan di samping Anugerah Kualiti Perdana Menteri yang telah diperoleh, sudah cukup untuk membuktikan bahawa UKM adalah sebuah institusi pendidikan yang terulung di Malaysia. Justeru, peranan Pesta Konvokesyen Ke-39 adalah mewujudkan nilai tambah dalam pemeliharaan imej universiti serta membantu mempromosikan para intelektual yang lahir dari UKM.