Rabu, Jun 08, 2011

220 pelajar UKM ambil bahagian Program Pembangunan Sahsiah Pelajar


Cetak PDF
Oleh Abdul Razak Hussin

PEKAN, PAHANG, 7 Jun, 2011 – Seramai 220 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil bahagian dalam suatu Program Pembangunan Sahsiah Pelajar selama lima hari di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Pekan Pahang minggu lalu.

Program itu bermula pada 1 Jun bertujuan menyemai kesedaran pelajar terhadap tanggungjawab membangunkan masyarakat khususnya dalam membentuk sikap positif terhadap pendidikan tinggi.

Ia juga memberi pendedahan dan kefahaman kepada pelajar mengenai realiti kehidupan di luar bandar dan membolehkan mereka mempraktikkan pengajian di universiti dengan melakukan penyesuaian berasaskan keadaan sebenar masyarakat yang dikunjungi.

Pelbagai aktiviti diadakan dalam program itu seperti pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah, program motivasi untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, kuliah agama, sukaneka, bimbingan belia, persembahan kesenian dan lawatan ke tempat pelancongan di Pekan.  

Ia dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi, UKM dan DUN Pulau Manis melibatkan Kampung Pulau Manis, Tanjung Pulai, Bukit Kenau, Ganchong Hulu, Ganchong Tengah, Kiambang dan Tanjung Batu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Dato’ Sri Haji Wan Mohamad Razali Haji Mahussin yang menutup program itu di Sekolah Kebangsaan Pulau Manis Ahad lalu menganggapnya sebagai pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan luar bandar di kawasan itu.

Beliau percaya, kehadiran pelajar dari pelbagai latar belakang pengajian, kaum dan budaya dengan keluarga angkat masing-masing telah membuka pemikiran penduduk kampung tentang kepentingan melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

Dengan pemikiran baru yang tersemai, menandakan bahawa langkah untuk membangunkan masyarakat khususnya dalam bidang pendidikan akan lebih mudah diterima dengan sikap yang terbuka. Beliau berharap, UKM akan mengadakan program yang sama pada masa akan datang supaya bimbingan berterusan dapat diberikan khususnya kepada generasi muda di Pulau Manis.   
 
ADUN Pulau Manis Encik Khairuddin Mahmud ketika meramikan program itu Rabu lalu berharap masyarakat kampung memperoleh inspirasi untuk mendorong anak-anak terus berjaya dalam pelajaran untuk menjadi rakyat yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dr Othman A Karim, dan Pegawai Daerah Pekan, Dato’ Mohd. Fadly Mohd Kenali turut hadir dalam program berkenaan.