Khamis, Jun 30, 2011

FAQ : Apa itu Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) ?

Informasi ini diperoleh daripada link di Portal Kementerian Pengajian Tinggi 


1. Apa itu PSPTN?
PSPTN ialah singkatan yang digunakan untuk merujuk kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

2. Apakah asas kepada pembentukan PSPTN?
PSPTN dibentuk berdasarkan Teras 2 dalam Rancangan Malaysia ke-9, yang jelas menyatakan bahawa untuk mencapai Wawasan 2020, Negara perlu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.

3. Apakah objektif PSPTN?
PSPTN digubal dengan hasrat untuk melahirkan modal insan untuk menyokong teras Misi Nasional dalam meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama.

4. Berapa lamakah tempoh pelaksanaan PSPTN?
Terdapat 4 Fasa dalam Pelaksanaan PSPTN:
Fasa1 (2007 – 2010): Peletakan Asas
Fasa 2 (2011 – 2015): Peningkatan dan Pemerkasaan
Fasa 3 (2016 – 2020): Kecemerlangan
Fasa 4 (melangkaui 2020): Kegemilangan dan Kelestarian

5. Apakah teras kepada PSPTN?
Terdapat 7 Teras dalam PSPTN:
  • Meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti;
  • Menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran;
  • Memperteguh penyelidikan dan inovasi;
  • Memperkasakan institusi pengajian tinggi;
  • Mempergiatkan pengantarabangsaan;
  • Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; dan
  • Mengukuhkan sistem penyampaian KPT

Kesemua teras ini menggariskan matlamat dan sasaran utama yang perlu dicapai ke arah kecemerlangan pengajian tinggi negara.

6. Bagaimanakah pelan ini diterjemahkan kepada tindakan?
Bagi pelaksanaan Fasa 1 PSPTN, sebuah dokumen Pelan Tindakan Fasa 1 telah diwujudkan untuk
menggariskan inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk menjayakan objektif stratetgik yang telah digariskan.

Beberapa Projek Agenda Kritikal (CAP; Critical Agenda Project) telah diwujudkan untuk mencapai hasrat PSPTN. Pendekatan pengurusan projek telah diambil, melalui pengwujudan kumpulan-kumpulan projek pada peringkat sentral dan pada pihak pelaksana di IPT. Pelaksanaan dipantau rapi oleh Pejabat Pengurusan Program di KPT, yang bekerjasama dengan pejabat pengurusan program peringkat institusi (iPMO) di semua IPTA.

7. Apakah hubungan CAP dengan dengan teras PSPTN?
Tiada hubungan satu-ke-satu (one-to-one) antara setiap CAP dan teras strategik. Terdapat kes-kes di mana pencapaian sesuatu CAP akan memenuhi hasrat beberapa teras sekaligus, atau pun, beberapa CAP akan memenuhi kehendak sesuatu teras yang spesifik.

Pada asasnya, pencapaian dan keberhasilan terkumpul kesemua CAP akan membawa kepada pencapaian hasrat 7 teras PSPTN.

8. Apakah aspek institusi yang diberi penekanan dalam Pelan ini?
Terdapat 5 tonggak institusi yang diberi penekanan dalam PSPTN; iaitu Tadbir Urus; Kepemimpinan; Akademia; Pembelajaran dan Pengajaran; dan Penyelidikan dan Pembangunan. Kesemua 5 tonggak ini dijadikan sebagai CAP, yang disokong dan berinteraksi dengan 18 CAP lain; menjadikan bilangan CAP (sehingga Jun 2011) sebanyak 23.

9. Adakah semua IPTA perlu melaksanakan CAP yang ditetapkan?
Semua IPTA perlu melaksanakan inisiatif-inisiatif tertentu bagi semua CAP yang telah ditetapkan pelaksanaannya di IPTA. Walau bagaimanapun, sasaran yang ditetapkan bagi setiap IPT bergantung rapat dengan beberapa faktor, seperti kematangan universiti tersebut, kemampuan sumber dan intelek, infrastruktur dan sebagainya.

10. Adakah Politeknik dan Kolej Komuniti terlibat dalam PSPTN?
Keterlibatan Politeknik dan Kolej Komuniti amat penting dan ketara dalam PSPTN, terutama dalam konteks teras yang berkaitan dengan perluasan akses dan pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam Fasa 2 pula, keutamaan dan kepentingan yang diletakkan kepada TEVT menjadikan peranan dan sumbangan Politeknik dan Kolej Komuniti semakin penting.