Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) menyambut baik langkah yang diambil oleh pihak kerajaan untuk memperkenalkan portal 1Malaysia Pengguna Bijak (1MPB) yang telah dirasmikan pada 7 Jun yang lalu.
Portal tersebut merupakan portal terkini tentang kepenggunaan yang interaktif dan berinformasi yang memberi manfaat kepada pengguna dalam mendapatkan panduan maklumat kepenggunaan. Portal tersebut telah disediakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang telah menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan semasa harga lebih 100 barangan keperluan pengguna di seluruh negara melalui aplikasi Pricewatch. Pricewatch membantu pengguna merancang perbelanjaan secara bijak dengan membuat perbandingan harga dan mengetahui premis berhampiran yang menawarkan harga barangan berpatutan.
Sebanyak 110 buah hipermarket, 404 pasar raya, 360 pasar basah dan 381 Kedai Serbaneka 24 Jam telah mengambil bahagian dalam aplikasi portal tersebut yang akan juga dipantau oleh seramai 1,200 pegawai pemantau harga (PPH) dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memastikan peniaga yang mengambil bahagian menjual barangan mereka pada harga yang berpatutan.
Selain daripada membuat semakan harga barangan, para pengguna juga boleh membuat aduan dan tuntutan secara online kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM)
Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) yang menyedari tekanan dan desakan kos sara hidup ini dengan ini menyeru kepada rakyat Malaysia untuk bertindak bijak memanfaatkan kewujudan portal ini. Amalkan budaya membandingkan harga semasa terlebih dahulu. Jangan lupa amalkan juga pembelian yang terancang dengan mengutamakan keperluan daripada kemahuan.
Jadilah pengguna bijak!