Khamis, November 10, 2011

PTPTN : Dana wakaf untuk para mahasiswa


Agak ironik di tengah-tengah keceriaan kita menyambut perayaan Aildiladha, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Ismail Mohamed Said mengumumkan cadangan untuk tidak memberi pinjaman perbelanjaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam mulai 2013. (Berita Harian, 4 November 2011)

Menurut Datuk Ismail, mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PTPTN pada 31 Oktober lalu membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan dihentikan pada tahun 2013 untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu yang kini semakin kekurangan dana menampung permohonan pelajar-pelajar baru.

Ibu Bapa Gusar
Kenyataan Pengerusi tersebut tentunya menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa, khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah apabila saban tahun hampir ratusan ribu pelajar IPT memohon tabung pinjaman tersebut.

Umum mengetahui sebahagian besar mahasiswa amat bergantung dengan tabung pinjaman tersebut itu bagi menampung kehidupan mereka di kampus.

Biarpun yuran pengajian Universiti telah dibayar, adakah rasional untuk mahasiswa berbelanja membeli keperluan pengajian dan kos kehidupan seharian di kampus sekiranya pinjaman perbelanjaan itu dihentikan?

Justeru respon kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sehari selepas itu bahawa kerajaan akan memastikan PTPTN terus memberi pinjaman berkenaan, pastinya melegakan banyak pihak terutama ibu bapa. (Utusan Malaysia , 6 November 2011)

GMUKM Usul Cadangan Carian Dana PTPTN
Di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) dalam merespon isu ini, lebih gemar melihat masalah yang dialami pihak Perbadanan dapat dikurangkan dengan beberapa usul di bawah;

(i) PTPTN perlu ditransformasikan sebagai salah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) yang berorientasikan budaya penswastaan dan pengkorporatan. Maksudnya di sini Perbadanan lebih diurustadbir sebagai syarikat swasta yang bijak mencari dana sendiri di samping tidak melupakan 'Corporate Social Responsibility' (tanggungjawab sosial korporat) yang turut menyumbang kepada pinjaman-boleh-ubah kepada biasiswa kepada mahasiswa yang cemerlang. Dan jika perlu, Pengerusi Perbadanan juga perlu dilantik daripada kalangan ahli perniagaan yang berjaya sebagaimana yang dilaksana Malaysia Airlines (MAS) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) agar idea-idea Perbadanan lebih berkembang dan tidak mengharapkan bantuan GLC lain.

(ii) PTPTN membuat pelaburan-pelaburan yang strategik khususnya dalam bidang komersil yang berkembang pesat yang lain di dalam atau luar negara. Perkara ini dapat dicontohi melalui GLC yang lain seperti Petronas, Telekom, Lembaga Urusan Tabung Haji dan lain-lain.

(iii) PTPTN perlu memperkasa (empowerment) Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Ironinya walaupun SSPN dilancar awal tahun 2008 yang lalu, tetapi hanya baru-baru ini promosi berkenaan skim ini diperhebatkan. Sedikit sebanyak PTPTN dilihat tidak serius apabila gagal mempromosi dan menggunapakai produk tersebut.

(iv) PTPTN juga dilihat perlu belajar daripada badan berkanun lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguruskan keluar-masuk dana dengan cekap.

(v) Cadangan PTPTN untuk mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat multinasional dan transnasional untuk mengadakan tabung berbentuk wakaf, pembiayaan dan sumbangan dilihat tepat pada masanya. Bagaimanapun sewajarnya idea ini diadakan sejak dulu lagi serta harus direalisasikan dan bukan sekadar di atas kertas semata-mata. Idea tersebut juga dicadangkan bukan hanya tertumpu kepada syarikat milik negara Malaysia juga, tetapi juga dikembangkan kepada syarikat-syarikat luar yang melabur di dalam negara juga. Untuk rekod, sesetengah negara Islam hari ini sudah banyak menyediakan dana wakaf untuk para mahasiswa memasuki universiti secara percuma kerana walaupun bukan warganegara tersebut. Sebagai contoh, Syria dan Maghribi.

Rumusan
GMUKM berpandangan jelas bahawa dengan kos hidup hari ini amat tinggi. Justeru sekiranya isu peminjam liat membayar balik hutang PTPTN menjadi puncanya, kita berpendirian PTPTN perlu mewujudkan satu mekanisme baru dalam menyelesaikan isu ini. Jangankan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.


Gabungan Mahasiswa UKM