Selasa, November 15, 2011

Kertas Kerja " Pembinaan Negara Bangsa: Bagaimanakah peranan Ekonomi? "


TAJUK ISU KERTAS KERJA: 
Pembinaan Negara Bangsa: Bagaimanakah peranan Ekonomi?

DISEDIAKAN OLEH: 
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi 2010/2011

DISAMPAIKAN OLEH :
Ahmad Muzzammil bin Muhd Hairi
______________________________________________________________


1. RINGKASAN EKSEKUTIF

NAMA PROGRAM : Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011

MISI DAN PENCAPAIAN PROGRAM : Memperincikan dan menganalisa isu berkaitan Negara Bangsa dan perkaitannya dengan realiti masyarakat di Malaysia, meliputi aspek perancangan kearah pembentukan Negara Bangsa, serta proses sepanjang perancangan ini dilaksanakan.

OBJEKTIF PROGRAM : Untuk menyedarkan dan memperjelaskan kepada Mahasiswa tentang kepentingan Pembinaan Negara Bangsa;
- Memiliki kesedaran terhadap pembinaan negara bangsa bagi kepentingan negara dan masyarakat umumnya.
- Mewujudkan kefahaman kepada konsep Negara Bangsa yang tepat.
- Membentuk akhlak yang bermoral dalam kalangan mahasiswa.
- Mewujudkan kefahaman serta semangat kenegaraan yang utuh dalam jiwa setiap mahasiswa dan masyarakat.
- Melahirkan suasana yang harmoni dan membentuk sebuah masyarakat madani.
- Mewujudkan masyarakat yang celik dan cintakan negara

ANJURAN : Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi

TARIKH : 10 – 13 November 2011

TEMPAT : Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor

TEMA : Membina Negara Bangsa


2. PENDAHULUAN


2.1 Program Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kerjasama Universiti Teknologi Malaysia yang dianjurkan dengan tema ‘ Membina Negara Bangsa ini dilihat sebagai langkah yang baik dalam usaha memberikan kefahaman, khususnya kepada golongan mahasiswa diseluruh Malaysia akan konsep dan kepentingan membina Negara Bangsa itu sendiri.

2.2 Program ini dianggap sebagai suatu usaha yang amat murni dan boleh diklasifikasikan sebagai langkah awal yang sangat baik untuk menyemai kefahaman tentang negara bangsa kepada golongan pemimpin pelapis negara, khususnya di peringkat mahasiswa. Atas kesedaran dan keperihatinan ini adalah diharap siswa-siswi universiti dapat menjadikan peluang ini sebagai medium untuk berkongsi dan bertukar pandangan dan pendapat, yang seterusnya akan memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia khasnya.

2.3 Selain itu, program ini memberi peluang kepada peserta-peserta untuk mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah dan boleh memberi pengalaman baru kepada mereka. Aktiviti ini juga diharap dapat membentuk satu entiti masyarakat yang bersemangat waja, mempunyai sahsiah yang sihat serta pergaulan sosial yang murni di samping penerapan kepentingan nilai peribadi diri dan kepimpinan.

3. PERNYATAAN MASALAH

Di era globalisasi ini, proses pembentukan negara bangsa ini merupakan antara elemen utama yang sering diberikan penekanan oleh majoriti kerajaan dan pentadbiran di selruh dunia. Hal ini dilihat sebagai salah satu usaha bersama secara teratur dan sistematik, demi memastikan akan terbentuknya sebuah negara bangsa yang benar – benar berkualiti dan diberikan perhatian oleh ahli masyarakat yang bersama – sama mendokong pergerakan dan perencanaan kearah pembentukan negara bangsa itu sendiri. 

Maka, perancangan dan pembentukan Negara Bangsa ini mestilah bergerak seiring, dan didokong oleh indikator yang kuat. Antara perkara yang dititik beratkan dalam proses pembentukan negara bangsa ini adalah elemen penyatuan masyarakat yang meliputi persefahaman ataupun penggabungan antara Negara, Bangsa dan Individu.

Walau bagaimanapun, disepanjang proses pembentukan negara bangsa ini, terdapat beberapa kekangan yang dilihat agak sukar untuk diselaraskan iaitu pembentukan satu bangsa hasil daripada percampuran beberapa bangsa, dan persefahaman politik daripada pegangan politik yang berbeza ideologi, kepada pembentukan sistem pegangan satu ideologi sahaja. 

Kedua – dua perkara ini dilihat antara faktor terbesar yang akan mengekang pembentukan Negara Bangsa itu sendiri. Maka dalam keadaan ini, teori yang dicadangkan oleh Ibnu Khaldun dilihat antara formula utama untuk menyelesaikan masalah ini. 

Menurut Ibnu Khaldun ‘Negara adalah suatu tubuh yang keadaannya sama seperti tubuh manusia, mempunyai sifat-sifat dan tabiatnya sendiri, mempunyai jasmani dan rohani serta batas umur’. Maka dalam proses pembentukan sebuah Negara bangsa, kita seharusnya menyeimbangkan diantara aspek rohani dan jasmani, disamping pandangan dan reaksi semua lapisan masyarakat dalam usaha membentuk negara bangsa itu sendiri.

4. ISU / CADANGAN PENYELESAIAN / KESAN / OUTCOME

4.1 Isu 1 : Permasalahan dalam pertumbuhan ekonomi
Secara umumnya pertubuhan negara bangsa mesti di kaitkan dengan ekonomi. Ekonomi merupakan satu eleman yang penting dalam pembinaan negara bangsa. Permasalahan dalam penjanaan ekonomi perlu di pandang serius bagi mewujudkan negara yang mampu menjana ekonomi seiring dengan pembangunan masyarakat madani. Negara yang mengentengkan asas- asas ekonomi akan dihukum dengan penderitaan, kepapaan dan kemuflisan. Oleh itu, golongan yang berada di paras kemiskinan tidak mempunyai harapan apabila ekonomi jumud dan mundur.

4.1.1 Cadangan Penyelesaian
Mahasiswa khususnya perlu mengambil tindakan segera dan terancang untuk membentuk kefahaman diperingkat mahasiswa sendiri, dalam usaha memberikan kefahaman kepada masyarakat secara umumnya akan peri pentingnya penjanaan ekonomi bagi merangsang pertumbuhan negara. Cabaran utama ialah keperluan menjamin pertumbuhan yang mampan. Pertumbuhan bukan sekadar satu konsep yang tiada hubungan dengan kenyataan kehidupan manusia. Pertumbuhan menandakan suatu ekonomi itu hidup, anggotanya tekun dan giat bekerja menjalankan tanggungjawab menyara dan memperbaiki kehidupan. Oleh yang demikian, bagi masyarakat yang mempunyai kadar kemiskinan dan pertumbuhan penduduk yang tinggi maka kadar pertumbuhan yang tinggi adalah suatu kemestian untuk membasmi kemiskinan dan kemelaratan.

4.1.2 Kesan atau Outcome dari cadangan penyelesaian
Terbentuk nilai-nilai atau unsur-unsur positif dalam diri mahasiswa yang bertindak sebagai role model kepada masyarakat dalam proses memberikan kefahaman yang menyeluruh tentang mekanisme untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di samping tidak menjejaskan kestabilan harga barang dan perkhidmatan.
Terbentuk satu kesedaran kepada mereka yang mempunyai kuasa supaya bersifat adil dalam menjalankan amanah yang diberikan dan perlu wujudnya intergriti dan accountability dalam diri setiap pemimpin.

4.2 - Isu 2 : Urus tadbir ekonomi yang tidak cekap
Kegagalan di peringkat pemerintah untuk menguruskan ekonomi dengan baik akan menyebabkan negara berdepan dengan pelbagai hutang yang terpaksa di bebankan kepada rakyat jelata. Pengurusan yang tidak cekap akan membuatkan negara terpaksa menggunakan belanjawan defisit sebagai belanjawan alternatif dalam menguruskan pendapatan dan perbelanjaan negara. Defisit belanjawan yang besar merosakkan pertumbuhan ekonomi kerana ia akan melemahkn usaha tabungan wang negara dan mengurangkan pembentukan modal.

4.2.1 Cadangan Penyelesaian
Dalam jangka masa yang panjang kemampuan sesebuah negara mengangkat darjat kehidupan bergantung sepenuhnya kepada kejayaannya meningkatkan produktiviti dan daya pengeluaran rakyatnya. Jatuh bangunnya sesebuah negara adalah bergantung kepada daya pengeluaran, ia merupakan kunci kepada ketahanan dan pertumbuhan. Pembangunan sumber manusia merupakan sumber mutlak kemajuan ekonomi, sumber yang dinamis bukannya statis. Oleh itu, peningkatan mutu manusia adalah sumber pertumbuhan ekonomi.

4.2.2 Kesan atau Outcome dari cadangan penyelesaian
Melahirkan mahasiswa dan masyarakat yang bermutu dalam semua bidang bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta dapat merangsang kemajuan negara dalam bersaing di peringkat global.

5. KESIMPULAN

Secara konklusinya, pertumbuhan ekonomi amat penting sekali, tetapi ia bukanlah satu- satunya matlamat kebijakan ekonomi. Jika kita mahukan ekonomi yang bersifat manusiawi, dasar yang jelas perlu dirangka untuk menjayakan ialah keadilan sosial. Di kebanyakan negara- negara membangun pembasmian kemiskinan dan pembinaan keadaan yang hidup selesa lagi manusiawi merupakan tonggak keadilan sosial. Oleh hal yang demikian, pembinaan negara bangsa memerlukan penyertaan yang menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat dan kerajaan.

Faktor pemangkin kearah pembentukan negar bangsa ini juga perlu difahami, dihayati, diaplikasikan untuk memperkukuhkan usaha pembinaan bangsa Malaysia itu sendiri. Segala bentuk ancaman perlu ditangani dengan bijak sebagai satu kelebihan untuk memastikan proses pembentukan Negara ini berjalan mengikut acuan yang ditetapkan. Satu nilai dikongsi secara bersama perlu diwujudkan dan dihargai oleh seluruh warganegara Malaysia.
______________________________________________________________

6. RUJUKAN
  • Pembinaan Bangsa dan Negara Bangsa, Unit Sains Sosial, KUiTTHO
  • Negara Bangsa, Proses dan Perbahasan. Abdul Rahman Embong. 2001
  • Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya. Rustam Sani. Kuala Lumpur. Utusan Publications & Distributors. 1993
  • Capitalism and freedom. Friedman. Milton.1982.Chicago :University of Chicago Press.
  • Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP )