Selasa, November 15, 2011

ISIUKM : Bagaimana Sistem Ekonomi Kapitalis Akan Hancur?

Umum mengetahui, kebangkitan rakyat Amerika mutakhir ini yang digelar dengan gerakan Occupy Wall Street berkait rapat dengan kebosanan dan kemuakan rakyat Amerika terhadap sistem ekonomi negara Uncle Sam itu yang cuma mengenyangkan perut para golongan elit dan menindas pekerja bawahan secara berterusan.

Kebangkitan mereka disuntik dengan semangat bahawa ekonomi negara adalah milik rakyat, bukan menjadi harta kekal kepada beberapa golongan elit yang memegang kepentingan dalam pentadbiran Amerika. Malah, ini menjadi titik tolak kepada kesedaran bahawa sistem ekonomi yang di gunapakai oleh Amerika dan hampir keseluruhan dunia pada masa ini iaitu sistem ekonomi Kapitalis nyata gagal untuk membuktikan bahawa itulah sistem ekonomi terbaik yang pernah dicipta oleh manusia.


Untuk lebih memahami bagaimana sistem Kapitalis ini akan hancur, mari kita tonton video ringkas ini yang menerangkan bagaimana kesan kejatuhan ekonomi di Amerika yang sedang berlaku sekarang ke atas seluruh dunia dan akhirnya menjadi alasan kepada hancurnya sistem ekonomi ciptaan nafsu manusia ini.



Mari kita fahami apakah maklumat yang cuba disampaikan melalui video di atas.

1. Pertama, perlu difahami ekonomi Amerika semakin merudum adalah akibat jumlah pembelanjaan ($3.8 trillion) melebihi jumlah pendapatan ($2 trillion) mereka iaitu $2 trillion.
2. Hal ini dinamakan defisit, iaitu jumlah pembelanjaan melebihi daripada jumlah pendapatan negara sendiri.
3. Keadaan ini memaksa kerajaan Amerika membuat pinjaman daripada bank, pelabur dan juga negara luar dalam bentuk bon. Sebarang pinjaman yang dilakukan akan diberi dalam bentuk bon sebagai tanda aras keselamatan.
4. Dalam kata lain, Amerika telah membeli bon dalam skala yang besar dan berterusan bagi mengatasi beban defisit tadi.
5. Sifat ekonomi kapitalis, para penghutang akan menanggung beban hutang serta faedahnya sekali. Begitu juga Amerika, mereka terpaksa menanggung beban faedah hutang mereka dan jumlah itu semakin meningkat hari demi hari.
6. Bagi mengatasi masalah hutang dan faedah ini, Amerika telah mengambil langkah membeli lebih banyak bon bagi membayar hutang dan faedah yang mereka tanggung.
7. Ini konsep berhutang untuk membayar hutang. Sama seperti apabila kita membeli kereta atau barangan dengan menggunakan kad kredit atau pinjaman bank, kita berhutang dengan suatu pihak untuk melangsaikan hutang kita yang sedia ada.
8. Akibatnya, masa telah menghukum Amerika apabila jumlah hutang dan faedah yang ditanggung mencecah $14 trillion.
9. Mereka terpaksa mencari jalan bagi menyelesaikan masalah hutang, namun pada masa yang sama mereka tidak mempunyai pendapatan yang mampu untuk menanggung beban hutang tersebut.
10. Tempat untuk mereka meminjam wang semakin ketandusan sumber.
11. Mahu tidak mahu, Amerika terpaksa menaikkan cukai dan mengurangkan perbelanjaan negara. Video di atas menunjukkan graf bagaimana kadar cukai (taxes) vs kadar perbelanjaan (spending) bermula sekitar 1940-2011.
12. Namun, tindakan menaikkan cukai bukanlah penyelesaian yang bijak kerana rata-rata rakyat Amerika bukanlah berduit sangat. Situasi ini mampu menjurus ke arah berlakunya rusuhan rakyat terhadap kerajaan.
13. Hal ini kerana menaikkan cukai secara lansung akan menyebabkan jumlah perbelanjaan akan dikurangkan. Maka, sudah tentu para pekerja terutamanya sektor awam akan terjejas teruk akibat polisi ini.
14. Akhirnya, kerajaan terpaksa melakukan "magik" apabila dengan mudahnya menyuruh Federal Reserve Bank mencetak lebih banyak wang dollar bagi menampung dan membayar hutang yang mereka tanggung.
15. Masalah lain pula bertandang, apabila wang Dollar USA dicetak secara banyak akan menyebabkan nila wang tersebut jatuh merudum. Situasi ini dinamakan inflasi.
16. Situasi ini secara tidak lansung menyebabkan harga barangan seperti minyak mentah, emas dan makanan melambung tinggi.
17. Inilah akibat "magik" kerajaan Amerika yang meminta FRB mencetak lebih banyak wang dollar. Harga barangan meningkat akibat nilai duit yang semakin menyusut kecil.
18. Begitu juga hal yang terjadi terhadap negara luar yang memberi pinjaman kepada Amerika. Nilai matawang mereka akan jatuh merudum manakala nilai dollar USA akan meningkat akibat transaksi ini.
19. Sebagai contoh, $1 = RM2.90.
20. Makanya, kos tenaga buruh di negara terbabit akan menjadi lebih murah berbanding kos tenaga buruh di Amerika.
21. Hal ini menyebabkan kos penghasilan produk turut menjadi rendah dan pengeluar dapat menjualnya dalam harga yang lebih rendah.
22. Jadi, situasi ini menyebabkan banyak syarikat pengeluar produk Amerika mula memindahkan kilang-kilang penghasilan mereka di negara-negara luar seperti China.
23. Malaysia juga tidak terkecuali apabila turut menjadi sasaran banyak syarikat gergasi luar yang melabur dan membuka kilang mereka di sini seperti RIM. Di China, syarikat Dell, Apple dan banyak lagi membuka kilang mereka di sana.
24. Namun begitu, situasi ini memberi tekanan terhadap rakyat Amerika apabila peluang pekerjaan di negara Uncle Sam itu semakin berkurangan. Ramai dalam kalangan mereka kehilangan kerja.
25. Akibat utama masalah ini ialah, rakyat tidak mampu membayar cukai kepada kerajaan. Sedangkan pada masa yang sama, kerajaan Amerika terpaksa membayar elaun pengangguran bagi setiap rakyat mereka yang tidak mempunyai peluang pekerjaan.
26. Logiknya, ini makin memeritkan masalah sedia ada Amerika.
27. Pada masa yang sama, rakyat yang mempunyai kerja akan melakukan kerja secara banyak walaupun tidak mendapat bayaran yang setimpal akibat masalah kekurangan peluang pekerjaan di sana.
28. Bilangan rakyat yang bekerja berkurang menyebabkan jumlah kutipan cukai turut berkurang secara berkadar terus.
29. Hal ini mengundang kepada permasalahan kemelesetan ekonomi iaitu penyusupan kadar kutipan cukai.
30. Kini, Amerika berdepan dengan 2 masalah utama iaitu inflasi dan kemelesetan ekonomi (recession). Video di atas menyebut situasi ini sebagai stagflasi.
31. Bahasa mudah kepada stagflasi ialah dilema. Amerika dalam keadaaan dilema dengan bebanan hutang sebanyak $14 trillion dan terperangkap dalam 2 masalah utama diatas iaitu inflasi dan kemelesetan ekonomi.
32. Atau pilihan lain, Amerika boleh terus meminjam duit daripada pihak luar namun, bagaimana pula dengan jumlah hutang $14 trillioan di atas apabila faedah akan terus meningkat?
33. 2 bulan atau 2 tahun dari sekarang, masa akan membuktikan suatu hari nanti Amerika tidak lagi mampu menanggung perbelanjaan mereka sendiri lantaran hutang yang mereka tanggung.
34. Amerika tidak membayar hutang kepada pelabur, akan menyebabkan pelabur kekurangan duit lantas akan mengurangkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan menghentikan operasi mereka.
35. Amerika tidak membayar hutang kepada bank, akan menyebabkan bank tidak lagi mampu berfungsi sebagai peminjam wang kepada pengguna dan menyalurkan perkhidmatan mereka tidak kita dalam apa bentuk sekalipun.
36. Amerika tidak membayar hutang kepada negara yang meminjamkan wang kepadanya, akan menyebabkan keseluruhan sitem ekonomi negara tersebut turut jatuh kerana pasa asasnya mereka menggunakan sistem ekonomoi yang sama iaitu berhutang untuk membayar hutang.
37. Inilah asas sistem ekonomi Kapitalis. Sistem ini hidup dengan frasa "hutang".
38. Masa akan menentukan, apabila tiba saatnya sistem ini akan hancur. Masanya bila? Sama-sama kita tunggu.
39. Maka, bersedialah kita untuk berdepan dengan situasi dan saat kehancuran sistem ekonomi Kapitalis ini.

Itulah serba sedikit ringkasan yang boleh diambil daripada video di atas. Meskipun video tersebut tidak menyebut secara khusus bahawa sistem ekonomi yang digunapakai oleh kerajaan Amerika dan dunia sekarang ialah sistem ekonomi Kapitalis, namun kita sebagai umat Islam harus tahu bahawa itulah sebenarnya hakikat sistem ciptaan nafsu manusia iaitu Kapitalis.

Maka tidak hairanlah kenapa sebahagian rakyat Amerika yang sedar tentang hakikat ini telah bangun bangkit melawan kepentingan yang sejak dahulu menjadi barang agihan sesama golongan elit di Amerika.

Kebangkitan Occupy Wall Street ini juga membuktikan bahawa Amerika bukanlah negara yang mengamalkan dogma demokrasi secara telus dan tulen apabila berita mengenai kebangkitan ini tidak mendapat sambutan hangat dalam kalangan media terutamanya media Amerika sendiri tidak seperti mana mereka rancak melaporkan perkembangan kebangkitan rakyat di Timur Tengah. Apakah mereka bimbang maklumat ini akan diketahui umum?

Mungkin ini juga menjadi petanda penting bahawa sudah tiba masanya untuk sistem ekonomi yang diasakan melalui petunjuk al-Quran dan sunnah digunapakai semula oleh seluruh penduduk dunia.

*Artikel asal diambil daripada blog Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM)