Selasa, November 15, 2011

Mahasiswa UKM diajak hayati tangisan Gaza


Ke arah melahirkan mahasiswa yang prihatin, PMUKM di bawah Pengerusi Biro Kerohanian & Pembangunan Insan iaitu MPP Wan Ahmad Fahmi dan Pengerusi Biro Siswazah & Pengantarabangsaan iaitu MPP Abdul Musyrif telah menganjurkan program GAZA MENANGIS pada 14 November 2011 di Masjid UKM pada 7.30 malam.

Program ini dengan kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Pusat Islam UKM. MAPIM merupakan badan bukan kerajaan yang mengusahakan projek membina Masjid dan Hospital di Palestin. Penceramah yang dijemput adalah Tn Hj Abdul Aziz (Penyelaras MAPIM Selangor), Muhammad Ishak (pelajar PhD UKM, berasal dari Palestin) dan Muhammad Hasnan (Aktivis dari Palestin).


Sekitar 100 orang yang hadir terdiri daripada mahasiswa UKM dan masyarakat luar khusyuk mendengar ceramah, menghayati penderitaan sahabat-sahabat seakidah di Palestin. Selain ceramah, tayangan multimedia dan kutipan derma juga diadakan.

Kegigihan masyarakat Palestin harus dicontohi mahasiswa UKM. Dalam kesengsaraan mereka di sana, mereka masih boleh menghantar sedikit sumbangan kepada masyarakat di Somalia yang sedang mengalami krisis. Setiap bedilan oleh Israel tidak pernah membuat mereka gentar untuk meneruskan kehidupan dan mencipta kejayaan.

Untuk makluman, 90% menteri kabinet Palestin mempunyai kelulusan doktor falsafah (PhD) dan setiap tahun ribuan anak-anak Palestin berjaya hafaz Al-Quran pada usia sangat muda.


Sumbangan di peringkat mahasiswa yang mampu dilakukan bukan sahaja dalam bentuk kewangan saja, sebagai generasi Y, kita boleh menyebarkan berita-berita dari Palestin, menunjukkan kecaknaan kita sebagai mahasiswa terhadap isu kekejaman Israel di laman sawang, laman sosial masing-masing.

Bahkan PMUKM berharap, mahasiswa dapat sebar-sebarkan bersama khabar dari Gaza ini agar rakan-rakan di luar sana turut mencakna.


BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI