BANGI, 2 Nov 2011- Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) 2011 yang bermula 15 Oktober lalu berakhir dengan Kolej Rahim Kajai dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila berjaya meraih enam pingat emas, tujuh perak dan 10 gangsa hari ini. Ia menerima Piala Pusingan dan wang tunai RM1200.
Ia memenangi acara bola sepak, skuasy individu lelaki, bola tampar pantai lelaki, bola tampar pantai wanita, bola keranjang lelaki dan badminton campuran.
Naib johan disandang Kolej Aminuddin Baki yang mendapat enam pingat emas (catur campuran, sofbol lelaki, boling padang lelaki, boling padang wanita, woodball campuran dan golf wanita), lima pingat perak dan tiga gangsa dan menerima hadiah wang tunai RM700.
Tempat ketiga dimenangi Kolej Tun Syed Nasir, yang berjaya memungut lima pingat emas (bola baling wanita, hoki lelaki, bola keranjang wanita, olahraga dan taekwando), tiga pingat perak dan lapan gangsa dengan menerima hadiah wang tunai RM500.
Kolej Tun Syed Nasir juga diumumkan sebagai juara perbarisan SUKEM 2011 malam itu dengan bermottokan “KTSN Pasti Berjaya”. Kumpulan pelajar jurusan perubatan ini yang bermaskotkan helang telah memenangi Piala Pusingan dan wang tunai RM1000.
Naib johan perbarisan dimenangi Kolej Ibrahim Yaakob dengan motto “Profesionalisme Pemangkin Integriti” juga dengan mascot helang. Mereka menerima hadiah wang tunai RM600, manakala perbarisan kontigen Kolej Keris Mas yang bermaskotkan SiJingga yang melambangkan keberanian dan kekuatan dengan motto “Sukan Cemerlang Budaya Mahasiswa” di tempat ketiga menerima wang tunai RM400.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UKM, Prof Ir Dr Othman A Karim telah menyampaikan hadiah. Pengarah Pusat Sukan Dr Tajul Arifin, Ketua Pustakawan UKM, Muhamad Abu Bakar Maidin dan pengetua-pengetua kolej kediaman turut hadir.