Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak negara Bawah 23 tahun yang berjaya menewaskan pasukan Indonesia yang juga merupakan tuan rumah bagi Sukan SEA XXVI kali ini.
Perlawanan yang berakhir dengan berkesudahan 4-3 melalui penentuan sepakan penalti yang disudahkan oleh ketua pasukan Baddrol Bakhtiar,23 menewaskan Kurnia Meiga Hermansyah sesudah penjaga gol negara Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan tendangan pemain Indonesia sebelum itu.
Penentuan penalti terpaksa diadakan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit permainan dan 30 minit masa tambahan.
Emas yang dirangkul skuad negara kini hampir melengkapkan pemburuan kontinjen negara memungut 60 pingat emas sebelum berakhirnya kempen Sukan SEA hari ini, 22 November.
Sehingga pukul 12 tengah malam tadi, kontinjen negara yang diketuai Chef-de-Mission Datuk Naim Mohamad telah memperoleh 59 pingat emas, 48 pingat perak dan 77 pingat gangsa dan berada di tangga keempat selepas kontinjen negara Vietnam.
Mendahului pemegang pingat adalah tuan rumah, Indonesia yang jauh mendahului negara Thai dengan 171 pingat emas berbanding 105 pingat emas yang dipungut negara Thai. Maklumat terkini pungutan pingat Sukan SEA ke-26 ini boleh dirujuk di sini
Acara Sukan SEA XXVI di Jakarta-Palembang, Indonesia ini menawarkan 545 buah pingat emas telah bermula 11 November dan dijadualkan berakhir pada pukul 8 malam ini.
Maklumat lanjut pungutan pingat dan jadual-jadual perlawanan yang bakal berlangsung serta keputusan perlawanan-perlawanan terdahulu boleh diperoleh di laman sesawang rasmi di http://www.seag2011.com
Turut menyediakan perkembangan terkini secara langsung adalah melalui laman web http://tv3.com.my/seagames
BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI