Jumaat, November 25, 2011

AUKU : Utamakan intipati, tolak retorikal

Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) berpandangan pengumuman pihak kerajaan untuk meminda Seksyen 15 AUKU perlu dibuktikan dengan komitmen segera pihak kerajaan meminda dan melaksanakannya beroritentasikan keperluan yang diingini mahasiswa, berbanding sekadar beretorik untuk 'menyedapkan hati' sahaja.

Presiden PMUKM, Lt M Ahmad Muzzammil Muhd Hairi menegaskan, “Kita menyambut baik (pengumuman) kenyataan itu (pindaan AUKU). Apa pun, pihak kerajaan harus komited, jujur dan telus dalam (perlaksanaan) pemindaan tersebut. (Walaubagaimanapun) Buat masa ini, saya optimis dengan kenyataan Datuk Seri Najib (Perdana Menteri) tersebut.

Kita harap hal ini (pindaan AUKU) tidak hanya (manis) di bibir sahaja; dalam tempoh 2-3 bulan akan datang. Adalah mengecewakan (dan tidak bermakna sekiranya) kenyataan tersebut hanya sekadar kempen (menjelang) Pilihanraya (Umum) akan datang."


Pindaan AUKU bukan 'kosmetik pilihanraya'
Isu Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 sebelum ini kembali hangat dibincangkan setelah Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober lalu memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, panel tiga hakim itu memutuskan seksyen tersebut tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Gesaan untuk meminda AUKU juga hangat dibicarakan di peringkat pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang menyahut desakan sekian lama oleh badan pemimpin mahasiswa universiti tanah air.

Antara pemimpin Barisan Nasional yang lantang menyuarakan kebebasan mahasiswa berpolitik melalui pindaan Seksyen 15 AUKU ialah Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sendiri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Khairy Jamaluddin dalam kenyataannya sebelum ini menyebut, 'ramai mahasiswa yang ingin menyertai perjuangan Umno tetapi disebabkan kekangan undang-undang di negara ini mereka tidak dapat merealisasikan hasrat itu.'

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dalam satu program bersama belia berkata, pihak kerajaan bersedia meminda Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) sekiranya mahasiswa 'kata OK' dan 'benar-benar bersedia' menerima AUKU.

Apa pun, di peringkat PMUKM, kita mengharapkan pengumuman pindaan AUKU ini bakal merubah senario dan fenomena politik mahasiswa; bukan sekadar 'kosmetik pilihanraya'.

Pindaan Seksyen 15 buka ruang mahasiswa cakna isu semasa
Saya berpandangan, pindaan tersebut perlu menjamin kebebasan berpolitik mahasiswa di luar kampus. Pada masa yang sama, ia juga perlu menjamin nilai dan idealisme kemahasiswaan yang bebas, tulen dan dinamik. Ia juga harus menjamin kebebasan akademik pensyarah-pensyarah universiti, " komen saudara Ahmad Muzzammil.

Pihak kerajaan dan pihak pentadbiran universiti perlu buka ruang seluasnya (kepada) mahasiswa dan ahli akademik untuk menyampaikan pandangan mereka. Jika mampu, (mahasiswa) juga terlibat dalam penggubalan polisi negara; (termasuk) dilibatkan dalam perbincangan bidang kritikal dasar (negara), diberikan ruang (untuk menyampaikan) peranan (yang) bermakna kepada masyarakat, di parlimen.

Utamakan intipati, tolak retorikal

“Berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini, kita mendapati slogannya mungkin berubah, tetapi intipatinya masih statik. Mahasiswa masih tidak diberi peluang sebagaimana yang diwar-warkan. 


"Contoh mudah, permohonan penganjuran program PMUKM sendiri sudah digantung beberapa minggu. Ini baru di UKM, belum lagi pada peringkat nasional. Hakikatnya, layanan kepada mahasiswa masih lagi sama.

“Suka saya ingatkan, mahasiswa bukanlah budak sekolah. Boleh dibuli, diumpan dengan gula-gula retorik dan sebagainya."

Untuk rekod larangan pelajar terbabit dalam politik yang diperkenalkan melalui Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) 1971 oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.