Khamis, November 03, 2011

GMUKM : Pinda Seksyen 15 (5), Bukan Mansuh AUKU

Bangi, 3 Nov : Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) menyelar tindakan sesetengah pihak yang cuba memanipulasi isu Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) yang sedang hangat diperkatakan ramai pihak ketika ini.

GMUKM dalam kenyatannya menyelar pihak yang mempersoalkan kembali tindakan GMUKM yang ‘sekejap membantah, sekejap menyokong’ dalam isu AUKU ini.

GMUKM konsisten


“Harus diperjelaskan di sini bahawa kita di peringkat Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) adalah konsisten dan tetap membuat desakan agar Seksyen 15(5) segera dipinda.

“Dalam Seksyen 15(5) yang ‘melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara’ yang jelas bercanggah dengan pengamalan mahasiswa hari ini.”, ujar mereka.

“Adalah jelas dan umum mengetahui di luar negara, terdapat sebuah badan yang digelar ‘Kelab UMNO Luar Negara’ yang terang-terang ‘menyatakan sokongan dan simpati’ dan kecenderungan kepada parti pemerintah negara masa kini.

“Juga jangan dilupakan kes dua orang mahasiswa UKM yang menyertai sebagai pengiring dalam perbarisan Perasmian pada Perhimpunan UMNO tahun lalu. (klik Malaysiakini dan Pelajar UKM dalam perhimpunan UMNO)

“Pandangan daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga dilihat lebih harmoni dan mengikut realiti semasa.”

“Ingin ditekankan, Seksyen 15(5) yang lapuk ini juga sudah lama dicabuli secara terang-terangan oleh mahasiswa yang berada di bawah ‘ketiak’ pemerintah.

“Adakah golongan ini terkecuali daripada Sekyen 15(5) sekiranya ingin ia masih ingin dikekalkan?”, tulis mereka dalam laman sesawang rasmi mereka.

Mahasiswa 3K perlu dijaga, bukan dikata
GMUKM dalam kenyataannya juga menyatakan mahasiswa hari ini tidak bodoh untuk memperjudikan nasib mereka dengan melibatkan dalam parti politik semata-mata atas semangat tanpa kefahaman.

“Tak perlu dirisau kononnya mahasiswa akan ponteng kelas atau tidak menyiapkan tugasan semata-mata kerana program parti politik, sedangkan umum mengetahui mahasiswa hari ini lebih kepada 3k (Kolej, Kuliah, Kafe).

“Dalam isu lambakan graduan misalnya, pihak kerajaan seharusnya melihat dilihat isu ini dari pandang sisi mahasiswa dan mendapati sebilangan mahasiswa ini berjaya tampil mengasah soft-skill mereka dengan mengetengahkan idea-idea kreatif mereka.”

“Maka, seharusnya golongan mahasiswa ini yang berani tampil membawa idea-idea ‘gila’ mereka perlu dirai, bukan dicaci. Juga perlu dijaga, bukan dikata.”

“Pihak kerajaan khususnya pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat semakan terhadap Seksyen 15(5) daripada sudut positif, dan bakal mendapati ia lebih banyak membina kemahiran generik / soft skill.

“Makanya, tiada apa yang perlu dikhuatirkan.”, tegas pertubuhan utama UKM tersebut lagi.

Mahasiswa matang nilai politik atau retorik
“Jelas di sini GMUKM bukan membangkang semata-mata tanpa fakta, tetapi lebih kepada pencerahan dan pengharmonian dan gesaan supaya Seksyen 15(5) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 disemak kembali.”

“Juga harus diperjelaskan juga bahawa sekiranya Seksyen 15(5) dipinda atau dimansuhkan, pihak kerajaan tidak harus khuatir kerana kita selaku mahasiswa sudah matang menilai mana satu politik, dan mana satu retorik.” – GZDaily

Short URL: http://gazebodaily.net/?p=2215