Rabu, November 30, 2011

Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011

Sukacita dimaklumkan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) bersama-sama dengan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan (PENDIDIK) mengambil inisiatif untuk menganjurkan KONVENSYEN MAHASISWA PENDIDIKAN KEBANGSAAN 2011 pada 2 - 4 Disember 2011 (Jumaat-Ahad) ini dengan harapan dapat menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan sesama mahasiswa dalam bidang pendidikan di seluruh Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia menghadapi tekanan dan cabaran besar dalam mendepani persaingan abad ke-21 sejajar dengan transformasi pendidikan negara.

Justeru itu diharapkan melalui konvensyen ini bakal membentuk medium penyatuan mahasiswa dalam bidang Pendidikan daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dan Institusi Pendidikan Guru (IPG) di Malaysia seterusnya memberi ruang kepada mahasiswa bertukar-tukar fikiran serta melahirkan idea-idea untuk membuat satu resolusi bersama sebagai bakal guru seiring dengan pembangunan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju.


Tema bagi Konvensyen Mahasiswa Pendidikan Kebangsaan 2011 adalah “Guru Berkualiti Asas Pendidikan Yang Unggul” yang bakal berlangsung pada 5.00 petang (2 Disember, Jumaat) dan tamat pada 3.00 petang (4 Disember, Ahad). Program tersebut dijadualkan berlangsung di Kompleks Tun Abdullah Salleh, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jumlah anggaran peserta ialah 250 orang dari semua kampus IPTA dan setiap kampus diwakili seramai 15-20 orang serta dianggarkan peserta tuan rumah UKM hampir 100 orang.

Sebanyak tiga siri ceramah dan dua buah forum dijadualkan berlangsung yang bakal menampilkan tokoh-tokoh pendidikan negara untuk membincangkan isu-isu semasa dunia pendidikan. YB Dr. Hj Mohd Puad Bin Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia dijangka merasmikan penutup program ini pada 2.00 petang, hari Ahad (4 Disember 2011) tersebut.

Untuk maklumat lanjut berkenaan program ini, sila hubungi saudari Aminah (019-5363380) atau Nur Aida (013-7940240)

Turut memeriahkan Konvensyen, berlangsung Karnival Fakulti Pendidikan yang diadakan berhampiran KTAMS.

Karnival tersebut turut mengadakan pameran dan jualan-jualan termasuk makanan dan jualan buku. Turut diadakan acara-acara seperti 'Jamboree "Jom Kayuh" , 'Running Man' , tayangan perdana "Papa, I Love U' dan lain-lain lagi.

Semua dijemput hadir ke program Konvensyen dan Karnival Fakulti Pendidikan dari 8 pagi hingga 11 malam yang berlangsung sekitar KTAMS dan Fakulti Pendidikan.

BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI