KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersifat fleksibel dalam menjalankan prosedur tuntutan semula pinjaman mereka supaya tidak menyusahkan para peminjam.
Ia termasuk dengan mengeluarkan empat notis peringatan iaitu notis tuntutan, notis peringatan pertama, notis peringatan kedua dan notis peringatan terakhir terlebih dahulu sebelum surat saman dikeluarkan pihak mahkamah.
Justeru, mana-mana nama peminjam PTPTN yang disenarai hitamkan adalah ekoran sikap peminjam itu sendiri yang tidak mengambil peduli terhadap amaran yang dikeluarkan kepada mereka selama ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, seramai 132,801 peminjam PTPTN telah disenarai hitam sehingga 31 Ogos lalu membabitkan pinjaman berjumlah RM2.1 bilion.
“Sekiranya peminjam masih gagal tampil (selepas surat saman dikeluarkan pihak mahkamah) maka tindakan senarai hitam akan dilakukan dan setiap notis yang dikeluarkan juga masing-masing mempunyai jarak tempoh yang agak lama bagi memberi ruang kepada peminjam memberikan maklum balas,” katanya.
Saifuddin berkata, PTPTN tidak bermaksud untuk menyusahkan peminjam malah bersifat fleksibel dalam menjalankan prosedur tuntutan semula pinjaman sebelum menyenarai hitam nama peminjam.
Jelas beliau, prosedur tuntutan semula pinjaman dilakukan secara berperingkat sehingga ada kala PTPTN sendiri berhadapan dengan isu mengapa terlalu fleksibel dalam melayan karenah peminjam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang mahu tahu jumlah terkini peminjam PTPTN yang telah disenarai hitam pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. – mynewshub.my
Sekadar gambar hiasan |