Sesi perkongsian ilmiah. |
20 Januari 2014, UKM Bangi - Satu sesi
perkongsian ilmiah di antara Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia
(PMUKM) bersama wakil pimpinan mahasiswa Universiti Kyung-IL telah diadakan. Sesi
perkongsian ini dikelolakan oleh Pusat Hubungan Antarabangsa UKM (PHA UKM).
Perkongsian ini juga dihadiri oleh Puan Noor Salini, wakil daripada Jabatan
Pembangunan Pelajar (JPPeL), UKM.
Slot perkongsian dimulakan dengan ucapan alu-aluan JPPel dan
pembentangan berkenaan sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, Pengurus
Delegasi, Encik Ryu Jang-Ho menyatakan ribuan terima kasih kepada pihak UKM kerana
sudi menerima kunjungan mereka. Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan lawatan
tersebut adalah untuk mengetahui perlaksanaan pengajian bahasa di Malaysia
untuk diguna pakai di Universiti Kyung-IL, dan berpendapat UKM merupakan universiti
yang terbaik dalam bidang tersebut. Beliau turut berkata, kepimpinan mahasiswa
di Universiti Kyung-IL juga ingin berkongsi dan mempelajari kepimpinan
mahasiswa di UKM.
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kyung-iL, Saudara Kim Gun-Oh
berkongsi tentang pergerakan persatuan
mahasiswa disana. Beliau juga memberi penjelasan lanjut mengenai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dan suasana
pilihanraya kampus di sana. Seterusnya, Yang Dipertua PMUKM, Saudara Mustapha
Kamil Husen dijemput untuk berkongsi
pembawaan PMUKM selama satu sesi, dan memberi penjelasan lanjut tentang beberapa aktiviti yang telah berjaya
diadakan. Pimpinan Mahasiswa Universiti Kyung-IL menyatakan pendirian bahawa
penting untuk mahasiswa terlibat sama
dalam merespon isu-isu nasional selain aktif dan produktif dalam menyelesaikan
isu mahasiswa di dalam kampus.
Hasil daripada perkongsian ini, PMUKM dapat menyimpulkan bahawa
tidak berlaku jurang perbezaan besar dalam
konteks pembawaan pimpinan mahasiswa antara Universiti Kyung-iL dengan PMUKM.
Semoga perkongsian ini dapat memberi impak yang positif untuk kedua-dua belah
pihak. PMUKM mengucapkan selamat maju jaya buat delegasi Universiti Kyung-iL.
::Bersama Mahasiswa Memacu Varsiti::